Ahad, 4 Mei 2008

BANTAHAN KUNJUNGAN CHELSEA KE MALAYSIA


Hasrat pasukan bola sepak Chelsea untuk berkunjung ke Malaysia bagi persiapan pra musim EPL menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia. Ada yang membantah, ada yang tiada masalah dan ada juga yang berbelah bahagi. Polemik ini timbul kerana pasukan Chelsea tersebut membariskan dua orang warga Israel untuk kunjungan tersebut. Umum mengetahui Malaysia tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel dan yang lebih penting sensetiviti umat Islam di atas kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin.

Keputusan kerajaan Malaysia menerima kunjungan tersebut nyata mengejutkan dan mengecewakan umat Islam. Walupun keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan dari sudut konsep kesukanan, tetapi tidak wajar berkompromi dalam soal maruah umat Islam. Dalam masa saudara kita di Palestin dibunuh tanpa belas kasihan dengan pelbagai senjata, adakah kita sanggup menghulurkan tangan menyambut kedatangan warga Israel ini dengan kemesraan. Ini adalah soal maruah umat Islam. Sepatutnya kita perlu bertegas dan berpegang teguh dengan prinsip kita dan bijak meletakkan keutamaan yang harus dituruti. Tidak seharusnya semangat kesukanan mengatasi soal maruah umat Islam. Segala ruang untuk Israel perlu ditutup.

Paling tidak pun, jika perlu sangat untuk menerima kunjungan pasukan Chelsea ini, kerajaan harus meletakkan syarat supaya mereka tidak membariskan dua warga Israel tersebut ke Malaysia. Kita mungkin boleh mempertimbangkan untuk mernerima kedatangan pasukan Chelsea tetapi tidak untuk warga Israel. Mereka hanya boleh datang ke Malaysia tanpa warga Israel tersebut. Jika kerajaan tegas dan jelas dalam soal ini, kita percaya pasukan Chelsea akan menghormatinya.

Kita berharap kerajaan Malaysia akan bertegas dalam soal ini dan mengkaji kembali kebenaran tersebut. Warga Israel dan Yahudi perlu diharamkan daripada memijakkan kaki di bumi umat Islam Malaysia. Diharapkan juga kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh orang Islam menjadi contoh terbaik dalam mempertahankan maruah umat Islam seluruh dunia.

Jumaat, 2 Mei 2008

REMAJA : MENGAPA ME‘REMPIT’ ?


Ketika ini, isu rempit merupakan isu yang paling hangat dibincangkan dan diperdebatkan oleh segenap lapisan masyarakat, dari peringkat kanak-kanak hinggalah kepada golongan emas. Dari meja dapur hinggalah ke dewan parlimen, perkataan rempit diangkat dan dipopularkan oleh masyarakat. Kupasan yang hanya tinggal kupasan, tanpa disertai dengan tindakan akhirnya menyebabkan isu ini menjadi muak dan basi. Oleh itu perlunya satu tindakan mengesan sebab mereka menjadi sedemikian dan seterusnya menyegerakan pencegahan serta pembasmian.

Kehidupan kini, kita disibukkan dengan pembasmian kemiskinan, dan adalah wajar pembasmin gejala rempit disertakan sekali supaya fenomena yang boleh mengakibatkan kemiskinan budaya dan adab ini dapat kita cegah daripada bermaharajalela. Biarpun gejala ini telah sampai ketahap yang sukar dibendung, kalau dlihat seluruh pelosok Negara telah subur dengan gejala ini, namun ia tetap menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mencegahnya. Pencegahan dan pembasmian sebenarnya perlulah didahului dengan kajian punca gejala ini berleluasa supaya kita dapat menfokuskan kepada sasaran yang sebenarnya dan menggunakan strategi yang berksan dan menepati. Kajian dari sudut psikologi ataupun pendapat amatlah mustahak dititiberatkan kerana masalah ini sebenanya bermain antara psikologi individu dan hubungan sesama manusia, iaitu berlingkaran dikalangan manusia.

Jika diamati, golongan remajalah yang mengisi keseluruhan posisi kumpulan-kumpulan rempit. Mereka sebenarnya sukakan cabaran yang menguji keberanian. Jalan raya adalah pentas mereka mempamerkan aksi dan memperagakan kebolehan dan keberanian. Selain itu, perasaan bosan terhadap suasana kehidupan sebenar yang menyelubungi mereka juga menyumbang penglibatan mereka dalam dunia rempit Bagi mereka dunia rempit merupakan suasana baru yang memerlukan penyertaan mereka dan memahami kehendak hati mereka.

Hari ini, Ibubapa seolah-olah diselebungi sindrom kurang keyakinan untuk mengawal kelakuan anak-anak mereka sehingga menyerahkan hampir seratus peratus kepada anak-anak untuk menentukan masa depan mereka. Perasaan takut menegur kerana bimbang menyakiti hati anak-anak atau didakwa atas kesalahan melakukan penderaan menjadi penghalang kepada ibubapa untuk berperanan dalam keluarga. Istilah memukul atau merotan dengan tujuan membetulkan keadaan oleh ibubapa wajar dibezakan dengan situasi penderaan kerana kita bimbang ibubapa akan lebih kurang berperanan menangani gejala ini.

Selain itu, sikap masyarakat yang kurang mempeduli apa yang berlegar disekeliling mereka menjadi penyumbang penyuburkan gejala ini mengembangkan pengaruhnya. Sikap membisu masyarakat seolah-olah merelakan dan merestui gejala ini berlaku tanpa melakukan apa-apa tindakan selain hanya menghangatkan isu ini di warung-warung kopi sahaja sebagai alas berhujah. Oleh itu masyarakat harus kembali berperanan dengan menghidupkan budaya tegur-menegur yang telah lama hilang. Tidak ada perkataan ‘sudah terlambat’ dalam kehidupan bermasyarakat untuk mengatasi masalah sosial seperti ini kerana istilah seperti akan menyebabkan remaja-remaja kita semakin hanyut dalam dunia yang tidak bererti.

Fungsi pergerakan dakwah melalui peranan NGO pula tidaklah terlalu menyeluruh dalam menangani gejala seperti ini kerana kebanyakan mereka hanya berlegar dikalangan yang mengerti sahaja dan kesampingkan golongan yang memerlukan. Oleh itu kita amat mengharapkan sasaran dakwah haruslah diperluaskan kepada golongan yang memerlukan seperti remaja yang terlibat dengan gejala rempit ini. Peranan berkesan yang dimainkan oleh pergerakan dakwah amat diyakini dan diharapkan kerana boleh memberi impak yang positif dalam diri individu hidup bersosial dan bermasyarakat jika mereka benar-benar memainkan fungsi ini.

Dalam menangani gejala ini keterlibatan mahasiswa amat dituntut kerana pendekatan yang menepati golongan remaja disebabkan faktor usia yang tidak jauh berbeza memudahkan pergaulan. Sebagai golongan yang digelar intelek, mahasiswa harus memainkan peranan membantu usaha-usaha untuk memulihkan keadaan ini. Peluang melalui kem-kem motivasi atau kepimpinan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak samada pihak sekolah, sektor koporat atau sebagainya harus digunakan untuk menyedarkan golongan remaja daripada pelbagai budaya yang mendatangkan musibah kepada diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Mahasiswa harus bertindak menyedarkan dan memulihkan keadaan sahabat-sahabat kita diluar kampus. Dengan kelebihan nikmat ilmu yang dikurniakan oleh Allah S.W.T menjadikan kita sebagai golongan yang seharusnya bertindak menangani keadaan ini. Kegagalan kita untuk bertindak beerti mengkhianati kelebihan nikmat ilmu yang dianugerahkan.

Selasa, 29 April 2008

BERPECAHKAH UMAT MELAYU MALAYSIA?

Berakhir sudah pilihanraya umum ke-12 dengan pelbagai kejutan dan perubahan telah dilakukan oleh rakyat Malaysia. Pelbagai pandangan dan tanggapan yang diberikan oleh pelbagai pihak di atas keputusan rakyat ini. Ada yang menyambut baik dan ada juga yang memandang sinis.

Kini, di pasca pilihanraya, setelah ulasan-ulasan keputusan PRU 12 dikemukakan, rakyat dihidangkan pula dengan pelbagai teori perpecahan umat Melayu. Mengapa teori ini timbul selepas PRU? Mengapa ia tidak timbul sebelum atau semasa kempen pilihanraya? Adakah keputusan PRU tersebut mengambarkan perpecahan orang Melayu? Bagaimana pula dengan keputusan-keputusan PRU sebelum ini? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengatakan orang Melayu berpecah? Dan yang paling utama, benarkah orang Melayu berpecah sebagaimana teori-teori yang dikemukakan?

Dari satu sudut, keputusan PRU yang lepas memperlihatkan bahawa kita sedang menuju ke arah perpaduan kaum di Negara ini. Bukankah ini yang menjadi agenda kerajaan sebelum ini untuk memebentuk perpaduan kaum dan bangsa Malaysia di kalangan rakyat. Masihkah kita ingat, sebelum ini kita disibukkan mengenai masalah perpaduan kaum terutamanya di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah sehingga kerajaan menghapuskan sistem kuota kemasukan ke IPT, membuka kepada kemasukan 10 peratus kalangan bukan bumiputera ke kolej-kolej Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Bukankah ini yang dicita-citakan oleh kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.

Bagi organisasi-organisasi pelajar di peringkat IPT pula, mereka digalakkan untuk memastikan setiap program yang hendak dilaksanakan menjurus kepada penglibatan pelbagai kaum sehingga ada program-program yang sukar diluluskan disebabkan tidak memenuhi keadaan tersebut. Tekanan-tekanan sebegini membawa kepada perubahan pemikiran mahasiswa yang bersifat lebih terbuka dan berdiplomasi dengan kaum lain. Kalau dahulu apabila hendak mengadakan program, kita hanya memikirkan kaum majoriti sahaja dalam organisasi kita sebagai sasaran kehadiran ke dalam program. Tetapi dengan tuntutan tersebut, organisasi pelajar lebih bersifat integrasi kaum.

Maka tidak hairanlah golongan muda hari ini kurang jelas dalam perjuangan kaum atau bangsa kerana mereka telah didesak, dimomokkan dan disuntik dengan keutamaan perpaduan kaum yang keterlaluan sebelum ini. Juga tidak hairan kalau suatu hari nanti golongan muda sudah tidak berjatidirikan Bahasa Melayu kerana ia sudah tidak dinobatkan sebagai bahasa ilmu secara mengejut.

Pandangan ini bukan bertujuan untuk menolak dasar perpaduan kaum yang diperkenalkan, tetapi biarlah dasar-dasar yang diperkenalkan bersifat sederhana dan tidak terlalu mendesak. Bayangkan apabila bercakap tentang perpaduan kaum di kalangan mahasiswa contohnya, mereka ditohmah bertalu-talu. Maka pihak pentadbiran IPT pun tergesa-gesa melaksanakan apa yang dibangkitkan. Mustahil dalam masa satu hari kita dapat mewujudkan keadaan tersebut. Sebenarnya ia memerlukan langkah berperingkat-peringkat dan berkesan untuk mengatasi keadaan tersebut.

Begitu juga masalah penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar yang apabila dibangkitkan, maka dihentam bertalu-talu. Akhirnya perubahan dasar tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains diputuskan dan dilaksanakan dengan tergesa-gesa. Persoalannya mengapa subjek Sains dan Matematik pula yang menjadi korban. Masalah yang timbul adalah penguasaan Bahasa Inggeris, sepatutnya kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris yang perlu diubah dan dikaji semula. Tetapi lain pula yang diubah. Adakah pimpinan negara tidak mengerti apa masalah yang timbul sehingga mengubah sesuatu yang bukan keutamaan kepada masalah tersebut.

Apa-apapun Bahasa Melayu telah hilang kredit sebagai bahasa ilmu akibat langkah tersebut. Kita tidak pasti samaada terdapat kajian yang mendalam yang dilakukan oleh pakar-pakar mengenai langkah tersebut. Tetapi apa yang kita dengar, cadangan dan perlaksanaan tersebut tidak sunyi daripada kritikan dan kebimbangan beberapa tokoh dalam pelbagai bidang. Sekarang timbul suara-suara daripada kalangan ahli UMNO sendiri yang merupakan teras kepada kerajaan BN supaya dikaji semula langkah tersebut. Langkah tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Melayu yang dipelopori oleh UMNO.

Langkah kerajaan BN meminggirkan identiti Melayu tersebut sebenarnya hanya mengurangkan sentimen Melayu dalam diri orang Melayu. Apa tidaknya, pemimpin Melayu lebih mengutamakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di bumi orang Melayu sendiri. Begitu juga soal berpakaian, kita memakai pakaian yang diperkenalkan oleh Barat dalam urusan harian, contohnya pakaian kerja. Mengapa tidak kakitangan kerajaan termasuk menteri-menteri terutamanya memakai pakaian kebangsaan iaitu Baju Melayu lengkap dengan samping sebagai pakaian ditempat kerja sebagaimana Y.A.B Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (MB Kelantan). Bukankah ini pakaian orang Melayu?

Sememangnya tanggungjawab kerajaan untuk mempertingkatkan martabat bangsa Melayu ke tahap yang lebih baik. Tetapi biarlah perubahan dasar yang hendak dilakukan itu didahului dengan kajian yang mendalam dalam pelbagai sudut dan mendengar pandangan daripada pelbagai pihak. Juga tidak perlu menyentuh perkara yang menjadi identiti dalam perubahan tersebut. Menggunakan pendekatan yang sederhana dan berperingkat-peringkat, bukan tergesa-gesa dan mendesak sebagaimana sekarang. Pendekatan secara sederhana membolehkan semua pihak lebih memberikan fokus dan memahami tentang apa yang dikehendaki daripada perlaksanaan dasar yang baru dan perubahan yang dilakukan selepas itu pula boleh menjadi pengukuh kepada dasar yang sedia ada. Contohnya, perpaduan Melayu dikukuhkan dengan perpaduan kaum. Tidakkah itu lebih harmoni dan cantik untuk dilihat.

Berbalik kepada keputusan PRU 12, secara peribadi ia adalah perterjemahan daripada keputusan-keputusan kerajaan yang berkaitan perpaduan kaum sebelum ini. Apa-apapun tahniah kepada kerajaan BN kerana apa yang digariskan dalam perlaksanaan dasar yang berkaitan sebelum ini mencapai hasratnya. Jadi tidak perlu melenting dan marah kepada orang Melayu dengan perubahan yang dibuat dalam keputusan PRU yang lepas. Ini semua hasil daripada dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan BN.

Melihat kepada pola pengundian golongan muda khasnya, mereka lebih terbuka dalam memberi undi. Mereka boleh mengundi calon daripada pelbagai kaum asalkan calon itu disukai dan membawa sesuatu yang kepada mereka. Orang Melayu berani mengundi orang bukan Melayu, begitu juga orang bukan Melayu berani mengundi Orang Melayu. Hal ini terbukti dengan kemenangan besar pembangkang di kawasan bercampur-campur. Ini boleh disimpulkan yang mereka menuju ke arah perpaduan kaum yang lebih luas. Tetapi bagaimanapun bagi orang Melayu ia agak tempang kerana tidak didasari dengan perpaduan dalaman Melayu yang kukuh. Inilah keadaan yang dihasilkan oleh pimpinan Melayu dalam kerajaan BN yang berkepentingan sempit dan tidak telus dalam mengubal dan melaksanakan dasar kepada orang Melayu.

Pola pengundian sebeginilah yang meruntuhkan penguasaan besar BN sebagai kerajaan dan dalam masa yang sama melonjakkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang yang kuat. Maka ia disimpulkan oleh sesetengah pihak yang terdesak sebagai perpecahan Melayu. Benarkah Melayu berpecah. Secara peribadinya, tidak nampak perpecahan ketara dikalangan orang Melayu. Yang kelihatannya rakyat semakin menunjukkan kematangan dalam perbezaan ideologi politik. Apa yang kita dengar sebelum mengenai pulau memulau majlis kenduri dan kematian di kampung-kampung hanyalah kes terpencil yang diperbesarkan atas kepentingan politik pihak yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya berapa banyak kampung yang mengahadapi masalah tersebut, hanya beberapa peratus saja. Tetapi yang nyatanya, soal pengagihan bantuan kerajaan samaada dalam bentuk subsidi atau kewangan menjadi masalah utama yang menimbulkan penindasan politik kepada golongan yang menyokong pembangkang. Itupun hasil penerapan fahaman politik yang ketara yang mengenepikan sifat kemanusian.

Jika direnung kembali, adakah peristiwa yang menimbulkan perpecahan Melayu?Apakah perbezaan antara UMNO dan PAS itu dimaksudkan sebagai perpecahan Melayu? Adakah perpecahan besar UMNO sebelum ini seperti kes Tengku Razali Hamzah dan Anwar Ibrahim dianggap sebagai perpecahan Melayu? Adakah dengan mewujudkan satu parti Melayu sahaja boleh mengatasi perpecahan Melayu? Kalau begitu, parti mana yang perlu dibubarkan? Hanya PAS dan UMNO sahaja yang boleh dianggap parti dominan Melayu. Jadi wujudkah perpecahan Melayu? Yang ada cumanya perbezaan politik yang perlu terus dibaiki dan dibajai supaya menghasilkan situasi menang-menang dalam perbezaan tersebut.

Hakikatnya kita sebenarnya tidak jelas tentang perpecahan Melayu yang dimaksudkan. Cuma yang jelas wujud perbezaan politik yang kurang matang sebelum ini sedang menuju ke arah kematangan. Perbezaan politik ini sebenarnya boleh diwujudkan persefahaman antara parti sekiranya semua pihak dapat mengenepikan prejudis sesama mereka. Oleh itu, wajarlah kita bergerak ke arah persefahaman tersebut yang natijahnya adalah perjuangan Melayu yang menguntungkan rakyat.

Ahad, 20 April 2008

SEMEMANGNYA KEWAJIPAN UMNO

Heboh diperkatakan baru-baru ini tentang mewujudkan surahanjaya kehakiman untuk memulihkan sistem kehakiman dan pembayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman pada tahun 1988. Iaitu satu titik hitam yang telah tercatat dalam sejarah negara yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Sejak itu sistem kehakiman kita melalui zaman kegelapan. 20 tahun berlalu yang memberi gambaran yang cukup negatig kepada negara. Peristiwa ini telah mencalarkan imej sistem kehakiman Malaysia di mata dunia.

Umum mengetahui, segala yang terjadi adalah dilakukan oleh pimpinan-pimpinan UMNO ketika itu. Mereka melangsaikan misi dendam ekoran peristiwa pengharaman UMNO akibat daripada perebutan jawatan sesama mereka. Hakim-hakim yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya ini akhirnya dipecat dari jawatan mereka. Tiada siapa yang boleh menutup kronologi tragedi hitam yang membawa kepada pemecatan hakim tersebut. Semuanya telah berlaku, tidak boleh diundur lagi, cuma boleh disembuhkan semula mana-mana yang parah. Tetapi tetap akan meninggalkan parut dan kesan.

Oleh itu, sememangnya menjadi kewajipan dan tanggungjawab UMNO untuk memulihkan semula sistem kehakiman Malaysia kerana merekalah yang bertanggungjawab mencalarkan imej kehakiman tersebut. Mereka yang merosakkan dan mereka yang sepatutnya memulihkannya.

Dari satu sudut, kita memang mengalu-alukan apa yang dilakukan oleh mereka pada hari ini. Tetapi sepatutnya langkah ini diambil 20 tahun yang lalu. Apa yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan UMNO sepanjang 20 tahun. Mereka terlambat membuat keputusan. Kita tidak perlukan pimpinan negara yang lambat bertindak ini.

Ingatan juga kepada mereka bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu mereka perbetulkan akibat perbuatan mereka. Jangan terlalu mengambil masa yang lama untuk memperbertulkan sesuatu yang salah dan tempang. Rakyat sudah bijak, pandai menilai dan berani membuat perubahan. Ingatlah pemimpin-pemimpin sekelian, tindak tanduk anda diperhatikan dan dinilai dari semasa ke semasa. Pilihanraya adalah tempat untuk anda mengetahui tahap perkhidmatam anda. Adakah ia memuaskan atau sebaliknya. Hanya perkhidmatan yang cemerlang akan dikekalkan, yang tempang akan disingkirkan.

Rabu, 16 Januari 2008

KRISIS MORAL

Baru-baru ini ketika seluruh dunia sedang merasai kehangatan sambutan tahun baru, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan suatu berita tentang vcd seks seorang pimpinan negara. Perkara ini amat memeranjatkan dan memberi tamaparan yang cukup hebat kepada kedudukan saf pimpinan negara sekarang. Ini bagi kita merupakan satu kes berprofail tinggi dan dalam pada itu kita tidak boleh lari dari membangkitkan juga beribu-ribu kes berprofail rendah iaitu daripada rakyat kebanyakan.
Seketika sebelum ini jika dibangkitkan soal masalah sosial jari-jari telunjuk kita masyarakat Malaysia termasuk pimpinan negara akan terarah kepada golongan remaja. Tanpa kita sedari atau sengaja membutakan mata empat lagi jari menunjukkan ke arah kita. Memang tidak dinafikan ramai golongan remaja yang terlibat atau hanyut dengan masalah sosial yang berpunca daripada dasar negara yang membuka luas kepada kemasukkan budaya yang merosakkan dan jelas bertentangan dengan agama Islam dan budaya masyarakat Malaysia. Kita juga tidakmenafikan keterlibatan golongan terpelajar khususnya pelajar IPT dalam masalah ini. Tetapi apa halnya denganterjerumusnya walaupun seorang pimpinan negara dalam kebejatan sosial ini.
Siapa yang harus kita perbaiki, barisan kepimpinan negarakah atau golongan remaja. Mungkin benar perpatah Melayu dahulu kala, 'Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari' atau 'Bapa borek anak rintik'. Siapakah yang kronik dalam masalah ini? Pelbagai persoalan yang boleh ditimbulkan dan pelbagai jawapan juga boleh diberikan, malah pelbagai alasan juga boleh dikemukan. Ini masaalah siapa?
Walaupun dari sudut politik politikus, perkara ini mungkin dikiraberakhir dengan pengakuan dan perletakan jawatan pimpinan berkenaan tapi dari sudut maruah dan kredibiliti pimpinan negara ia sudah dikira jelas tercalar dan memalukan. Oleh itu, amat tidak patut lagi kita mengangkat pimpinan yang mempunyai masalah moral sebagai pimpinan negara pada masa akan datang. Rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang baik sebagai peneraju negara pada masa akan datang. Ini kerana pemimpin adalah contoh dan teladan kepada masyarakat.
Sesuatu yang sangat penting dan perlu negara lakukan pada masa ini ialah mengatasi dan menyelesaikan kemelut moral masyarakat negara ini yang semakin membarah. Hakikat semasa telah membuktikan semua golongan daripada goloangan atasan hinggalah golongan bawahan tidak terkecuali daripada terjebak dengan krisis moral ini. Mungkinkah negara memerlukan undang-undang moral untuk mengatasi masalah ini bersesuaian dengan keterbatasan dan kekangan politik anatarabangsa pada masa ini, supaya semua golongan yang bersalah dihukum termasuklah si penzina tersebut dan bukan sahaja si penyebar vcd sahaja. Ataupun pilihan yang tepat dan terbaikbagi umat Islam ialah melaksanakan Hukum Allah iaitu Hudud.