Rabu, 4 Jun 2008

MELONJAKKAN PERMADAH SEBAGAI GERAKAN PERJUANGAN MAHASISWA – BAHAGIAN 2


Oleh:
Mohamad Azizuddin Md Daud
Mantan Presiden (Sesi 2006/2007)
Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya (PERMADAH)
http://www.pemudaview.blogspot.com/



Pembangunan Organisasi


Dalam membincangkan mengenai pembangunan organisasi, ada beberapa perkara yang perlu kita sedari. Pertamanya ialah gagasan yang menjadi matlamat persatuan iaitu melonjakkan PERMADAH sebagai gerakan perjuangan mahasiswa. Keduanya, realiti organisasi PERMADAH pada ketika ini. Hakikatnya hari ini PERMADAH wujud sebagai organisasi yang berpengaruh di dalam kampus tetapi agak terpinggir di persada masyarakat. Masyarakat Kedah khususnya mengenali PERMADAH melalui generasi yang terdahulu. Ini bermakna kita pernah berada di tengah-tengah persada masyarakat suatu ketika dahulu. Sememangnya kita pada hari ini tidak tahu apa yang dilakukan oleh generasi yang terdahulu sehingga PERMADAH dikenali dan dingati sehingga kini. Maka sekarang tugas dan tanggungjawab kita untuk meletakkan kembali PERMADAH pada kedudukan yang seiring dengan usianya. Dalam menerangkan mengenai pembangunan organisasi, terdapat tujuh elemen yang saya akan ketengahkan.


Elemen yang pertamanya yang perlu digerakkan untuk mencapai gagasan tersebut ialah menyusun atau merekabentuk semula struktur organisasi supaya selaras dengan peranan sebagai gerakan perjuangan mahasiswa yang akan dimainkan selepas ini. Secara umumnya, struktur organisasi PERMADAH terdiri daripada Majlis Teringgi (MT), Jawatankuasa Perhubungan Ahli (JPA), Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (HELWA), Kelab Fasilitator dan Jawatankuasa Peringkat Eksekutif. Dalam soal rekabentuk semula organisasi ini, ada beberapa struktur yang perlu dikekalkan dan beberapa struktur yang lain memerlukan penegasan. Bagi saya struktur pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) adalah memuaskan dan perlu diteruskan. Tetapi bagi peringkat jawatankuasa-jawatankuasa yang lain perlu beberapa penegasan supaya ia lebih berfungsi dengan baik.


Pembaikpulih mana-mana kecacatan atau kelompangan pada bahagian-bahagian dalam struktur organisasi adalah perlu dan mendesak. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada bahagian-bahagian lain. Keseluruhan ia akan berbalik kepda MT. Mereka yang menjadi MT ini akan menghadapi masalah dan sukar melaksanakan peranannya jika jawatankuasa di peringkat pelaksana tidak berfungsi dan tiada kerjasama yang baik. Inilah yang perlu diberi perhatian khususnya oleh semua pihak. Sikap bergantung sepenuhnya kepada perincian daripada MT harus diubah. Sebaliknya, sebagai pihak yang dilantik memegang jawatan, kita perlu memahami peranan yang perlu dimainkan dan pandai memperluaskan fungsi serta tugas.


Elemen yang kedua ialah memantapkan barisan kepimpinan dari segenap peringkat melalui permahaman berkaitan organisasi dan pentingnya ikatan ukhwah yang padu terutamanya sesama pimpinan. Tanpa proses ini, perjalanan persatuan boleh terjejas terutama sekali apabila timbulnya konflik di dalam persatuan. Menyedari pemahaman organisasi dan ukhwah adalah perkara asas dan yang paling utama kepada pimpinan persatuan, saya mengesyorkan program Akademi Kepimpinan (AK) dan Dewan Induksi Kepimpinan (DIK) menjadi sistem organisasi yang perlu diadakan setiap sesi. Ini kerana program ini adalah satu proses pemantapan barisan kepimpinan PERMADAH yang berperanan besar mengukuhkan pemahaman terhadap organisasi PERMADAH dan mengukuhkan ukhwah sesama ahli dan pimpinan.


AK diwujudkan untuk menjadi pusat latihan kepada setiap ahli PERMADAH terutamanya dalam aspek kepimpinan, pemahaman organisasi dan ikatan ukhwah yang erat. Aktiviti dalam AK lebih menjurus kepada pembinaan seseorang untuk menjadi pemimpin dalam organisasi. Manakala DIK ialah lanjutan daripada AK yang berperanan melatih bakal barisan kepimpinan PERMADAH secara bersepadu dan menyeluruh. DIK lebih menumpukan soal berpasukan dalam kepimpinan iaitu membina asas berkaitan usaha mewujudkan pasukan kepimpinan. Ini kerana kita telah mengorak langkah menjadikan pasukan kepimpinan sebagai identiti kepada barisan kepimpinan PERMADAH. Kita mahu pihak-pihak lain mengenali barisan kepimpinan PERMADAH berasaskan pasukan dan bukannya secara individu.


Elemen yang ketiga ialah proses pengukuhan ahli. Berkaitan perkara ini, kita terpaksa menghadapi cabaran yang besar dan memerlukan satu formula yang berkesan kerana berdepan dengan realiti semasa yang menyaksikan fenomena hilang minat mahasiswa terhadap kegiatan persatuan pelajar. Fenomena ini tidak saya huraikan dalam ruangan yang terbatas ini, tetapi saya serahkan kepada pimpinan hari ini untuk mencari formula yang sesuai bagi mengembalikan mood mahasiswa terhadap persatuan pelajar.


Dalam proses pengukuhan ahli ini, bagi saya, aktiviti Diskusi Ilmiah (DI) yang diwujudkan sebelum ini perlu terus dikekalkan dan menjadi sistem organisasi. Walaupun kurang sambutan tetapi ia adalah penting sebagai satu program pendidikan atau tarbiah di dalam PERMADAH. Aktiviti ini tidak boleh dimansuhkan tetapi perlu diberi nilai tambah supaya ia menjadi nyawa kepada PERMADAH. Ini bermakna ia akan menjadi tugas berat yang harus dipikul oleh kepimpinan hari ini dan akan datang dengan melipatgandakan usaha supaya matlamat menjadikan DI sebagai nyawa PERMADAH terlaksana.


Elemen yang keempat menjurus kepada kepelbagaian aktiviti persatuan. Aktiviti persatuan ialah aktiviti berterusan yang lazimnya dilaksanakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa dalam PERMADAH. Mempelbagaikan aktiviti persatuan boleh memainkan peranan menarik penyertaan dan minat mahasiswa kembali kepada persatuan jika aktiviti yang dilaksanakan sesuai dengan budaya mahasiswa semasa dan bersifat santai. Ini dibuktikan dengan aktiviti santai yang dilaksanakan pada sesi lepas, nyata ia mendapat sambutan. Tetapi bagi aktiviti yang menjurus kepada pembangunan sangat dukacita sambutan yang diberikan. Ini bermakna budaya mahasiswa hari ini lebih kepada akviti sebegitu. Persoalannya bagaimana kita hendak mengalih sambutan yang diberikan dalam aktiviti santai kepada aktiviti pembangunan. Perkara ini memerlukan kebijaksanaan kita untuk menangani secara strategik. Walaupun begitu, dalam mempelbagaikan program ini, matlamat, budaya dan akhlak di dalam PERMADAH harus diutamakan. Soal prinsip, kita adalah tegas, tidak boleh dikorbankan sesuka hati. Ia juga harus tidak lari daripada agenda persatuan.


Elemen yang kelima ialah berkaitan dengan pemerkasaan program. Dalam PERMADAH program adalah berbeza dengan aktiviti, ia mempunyai pengertian tersendiri. Program lebih merupakan acara besar dalam PERMADAH yang perlaksanaannya memerlukan tempoh masa yang panjang. Program harus diperkasakan supaya perlaksanaannya dapat memberi manfaat kepada organisasi dan ajk pengelola. PERMADAH perlu berani meneroka program berskala besar yang boleh memberi impak yang strategik pada masa akan datang. Menumpukan terhadap program yang lebih bersifat interaksi antara mahasiswa dengan masyarakat adalah relevan dengan masa supaya dapat membentuk jiwa mahasiswa yang sensitif atau peka dengan persekitaran. Namun begitu dalam masa yang sama tidak wajar kalau kita memingirkan terus program yang bersifat interaksi dalaman.


Elemen yang keenam ialah penjanaan kewangan. Menyedari kewangan adalah suatu yang penting dalam menguruskan persatuan, PERMADAH perlu mewujudkan plan kewangan yang strategik berserta dengan dasar-dasar yang realistik supaya dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Berdasarkan pengalaman saya, kita agak memandang enteng dalam soal ini. Kita tidak bernafsu besar dalam mengukuhkan kewangan kita, ini mungkin kerana budaya kita yang tidak terlalu bermewah. Atas sebab itu kita terlepas pandang dalam mewujudkan dan menyusun struktur kewangan yang strategik untuk diwarisi oleh generasi seterusnya. Begitu juga ketika saya memimpin persatuan ini, kita ada menyusun tindakan dalam memperkasakan kewangan kita, tetapi ia tidak distrukturkan dengan baik sehingga tidak jelas untuk dilaksanakan. Oleh itu, pemikiran kewangan kita dalam organisasi perlu di ubah bermula pada hari ini. Dalam perkara ini, saya cadangkan PERMADAH lebih menjurus kepada minda usahawan iaitu menjana kewangan dan bukannya sekadar mengurus kewangan. Disamping itu, PERMADAH boleh meneroka sumber kewangan melalui sumbangan tahunan setiap Wakil Rakyat Negeri Kedah dan lain-lain sumber lagi.


Akhirnya ialah memperluaskan jaringan dengan organisasi yang lain daripada pelbagai sektor. Berkaitan fokus ini, PERMADAH perlu menjalinkan dan mengadakan kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak. Antara yang boleh dilakukan pada peringkat permulaan ini ialah imej yang baik di peringkat UM, hubungan yang erat dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah, kerjasama yang erat dengan persatuan pelajar Kedah universiti lain, persefahaman yang baik dengan persatuan pelajar yang lain dan jalinan yang kuat dengan NGO atau badan-badan koporat. Perluasan jaringan ini adalah penting untuk menjadi sebuah Gerakan Perjuangan Mahasiswa kerana kerjasama yang wujud itu akan saling menguatkan antara satu sama lain.


* Seterusnya untuk bahagian tiga nanti akan dibincangkan mengenai perkara kedua iaitu Pusat Ilmu Berorganisasi. Nantikan...

MELONJAKKAN PERMADAH SEBAGAI GERAKAN PERJUANGAN MAHASISWA – BAHAGIAN 1


Oleh:
Mohamad Azizuddin Md Daud
Mantan Presiden (Sesi 2006/2007)
Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya (PERMADAH)
http://www.pemudaview.blogspot.com/

Pendahuluan

Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya atau ringkasnya PERMADAH adalah sebuah organisasi pelajar yang berteraskan negeri. Ia ditubuhkan pada 8 Julai 1976 bersama dengan kebanyakan persatuan anak negeri yang lain. Kini usianya telah menjangkau 31 tahun kewujudan di Universiti Malaya (UM). PERMADAH ditubuhkan bertujuan untuk menghimpunkan anak-anak Kedah yang menuntut di universiti ini di bawah wadah silaturrahim yang kemudiannya bergerak sebagai satu platform perjuangan mahasiswa. Kehadirannya di lembah ilmu ini banyak memberi impak dan sumbangan yang berguna kepada mahasiswa serta masyarakat. Walaupun berteraskan negeri, PERMADAH diterima baik oleh pelbagai pihak kerana sifatnya yang universal, selari dengan budaya masyarakat Kedah.

Sepanjang kewujudannya, PERMADAH telah merentasi pelbagai suasana yang mencoretkan kisah suka dan duka penggeraknya mewarnai zaman gemilang dan suram. Mereka datang dan pergi silih berganti meneruskan kesinambungan perjuangan PERMADAH di universiti ini. Jasa dan pengorbanan mereka sangat dihargai dan disanjungi. Tanpa usaha dan semangat kental mereka, memungkinkah kita berada dibawah organisasi yang seindah namanya ini.

Kini tiba giliran kalian untuk mencorak dan mewarnai latar perjuangan PERMADAH. Tanggungjawab yang diamanahkan itu diharapkan dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Cabaran dan peluang yang dihadapi oleh kalian sememangnya berbeza dengan apa yang telah kami lalui. Oleh itu, gunalah segala kebijaksanaan untuk menghikmahkan keputusan dan tindakan yang terbaik dalam meneruskan perjalanan PERMADAH untuk sesi ini.

Pasti masih ditanam di dada kita semua berkaitan gagasan baru PERMADAH yang diperkenalkan pada sesi 2006/2007 dan ditonjol serta dipopularkan pada sesi 2007/2008. Bagi yang lupa dan yang baru mengenali PERMADAH, gagasan itu ialah ‘Melonjakkan PERMADAH Sebagai Sebuah Gerakan Perjuangan Mahasiswa’. Menjadi hasrat kita semua untuk melihat PERMADAH berada dilandasan Gerakan Perjuangan Mahasiswa dengan versi tersendiri yang masih berlandaskan jati diri dan ciri-ciri PERMADAH sebagai persatuan yang berteraskan negeri. Teras negeri bukan suatu halangan untuk kita mencapai matlamat tersebut. Atas kapasiti itu kita gariskan langkah mengharmoni dan mengimbangi elemen-lemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan sebagai suatu aliran ke arah pencapaian matlamat.

Mungkin ramai yang masih kurang jelas dengan gagasan yang dipasakkan ini. Hasrat kita untuk meletakkan PERMADAH pada tahap itu bukanlah bermaksud menukarkan secara keterlaluan lanskap PERMADAH. Tetapi kita hanya mengadakan penegasan terhadap peranan PERMADAH supaya ia lebih prihatin terhadap persekitaran terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti manusia disekelilingnya. Ini kerana zaman yang kita sedang lalui menuntut kita untuk prihatin terhadap pelbagai perkara yang berlaku samada kebaikan atau kerosakan. Sebagai salah satu contoh, kita mahu supaya PERMADAH sentiasa mendahului dan terkehadapan dalam membanteras gejala sosial yang berlaku dikalangan remaja. Secara jelasnya kita hanya mahu memainkan peranan yang sebenar dalam membanteras kerosakan dan menyetujui kebaikan, dan kita bukannya hendak mencetuskan konfrontasi dengan mana-mana pihak kerana kita sedar banyak jalan yang boleh kita lalui untuk merealitikan matlamat tersebut.

Lain-lain perkara yang berkaitan adalah bergantung kepada kebijaksanaan pada pimpinan ketika itu untuk menyusun strategi yang wajar dengan suasana ketika. Realiti dan suasana semasa yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi sesuatu yang kita perjuangkan, yang akan menjadikan agenda yang kita bawa itu kabur atau jelas. Agenda yang mempunyai ruang dan kesempatan akan kita jelaskan, dan yang mana tersepit terpaksa kita kaburkan.

Untuk tujuan itu, saya gariskan lima perkara yang menjadi asas pada peringkat awal menggerakkan PERMADAH di atas landasan Gerakan Perjuangan Mahasiswa. Perkara-perkara tersebut ialah
  • Pembangunan Organisasi
  • Pusat Ilmu Berorganisasi
  • Pejuang Sosial
  • Keprihatinan Antarabangsa
  • Gelombang Penerbitan dan Maklumat

Sekali lagi saya ingatkan, perkara yang dinyatakan atas ini hanyalah sebagai asas pada peringkat awal. Pada peringkat-peringkat yang seterusnya kita serahkan kepada pimpinan yang seterusnya untuk menentukan halatuju dan strategi selanjutnya. Sebagai makluman, perincian untuk perkara-perkara di atas ini akan dibincangkan pada bahagian yang selanjutnya.

* Seterusnya untuk bahagian dua nanti akan dibincangkan mengenai perkara pertama iaitu Pembangunan Organisasi. Nantikan...

DISKUSI PERMADAH


NANTIKAN!!!

PERBINCANGAN MENGENAI:
MELONJAKKAN PERMADAH SEBAGAI GERAKAN PERJUANGAN MAHASISWA

SEBANYAK 7 BAHAGIAN:

BAHAGIAN 1: PENDAHULUAN
BAHAGIAN 2: PEMBANGUNAN ORGANISASI
BAHAGIAN 3: PUSAT ILMU BERORGANISASI
BAHAGIAN 4: PEJUANG SOSIAL
BAHAGIAN 5: KEPRIHATINAN ANTARABANGSA
BAHAGIAN 6: GELOMBANG PENERBITAN DAN MAKLUMAT
BAHAGIAN 7: PENUTUP

OLEH:
MOHAMAD AZIZUDDIN MD DAUD
MANTAN PRESIDEN (SESI 2006/2007)
PERSATUAN MAHASISWA KEDAH
UNIVERSITI MALAYA
(PERMADAH)
www.pemudaview.blogspot.com

Selasa, 3 Jun 2008

PTPTN, MAHASISWA DAN VERSI-VERSI PERJUANGAN

PTPTN adalah isu utama bagi warga kampus yang terus diperkatakan dan diperbincangkan semenjak kewujudannya. PTPTN diwujudkan untuk mengantikan fungsi biasiswa yang diberikan kepada golongan bumiputera yang layak melanjutkan pengajian di universiti. Namun begitu kewujudan PTPTN telah mewujudkan bersama suara-suara bantahan terutamanya daripada golongan mahasiswa. Suara-suara bantahan ini telah menversikan nada perjuangan mahasiswa dalam isu PTPTN ini.

Terdapat pelbagai versi yang menyentuh tentang PTPTN dan peranan yang dimainkan. Secara umumnya terdapat 2 versi yang popular tentang PTPTN yang sering diketengahkan oleh mahasiswa dalam mana-mana pun perbincangan yang melibatkan mereka. Pertamanya ialah 'menghapuskannya dan sekaligus mengembalikan semula biasiswa'. Versi ini mungkin agak keras bagi sesetengah pihak kerana ia lebih memperlihatkan penentangan secara total terhadap keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan ini. Namun begitu, bagi pihak mahasiswa yang prihatin dan sedar, perkara ini menjadi salah satu elemen perjuangan yang perlu diperjuangkan. Ini kerana hak mahasiswa bumiputera khasnya adalah biasiswa seperti yang dinikmati oleh generasi yang terdahulu dan bukannya pinjaman (PTPTN) seperti sekarang. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh golongan mahasiswa ini adalah satu tindakan yang ingin mendapatkan semula hak yang dicabut.

Bagi versi yang satu lagi ialah berkaitan tentang 'penghapusan caj tiga peratus PTPTN'. Versi ini dinilai sedikit lunak daripada versi yang pertama tadi. Versi ini dilihat diperjuangkan sebagai backup kerana terlalu sukar untuk mencapai versi yang pertama dengan kerajaan yang sedia ada. Namun begitu versi kedua lebih diterima secara terbuka oleh semua mahasiswa. Ini kerana caj yang dikenakan ternyata membebankan dan memberi kesan tambahan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ekoran kenaikan harga pelbagai barangan. Hakikat yang terjadi hari ini, memberi point tambahan merelevankan perjuangan penghapusan caj tiga peratus ini.

Rata-rata mahasiswa mengakui caj yang dikenakan membebankan mereka. 'Dah la biasiswa ditukar kepada pinjaman, kena caj tiga peratus pulak'. Itulah antara luahan kebanyakkan mahasiswa yang sedar dan prihatin. Kerajaan perlu mendengar suara mahasiswa dengan menghapuskan caj tersebut. Jangan susahkan mahasiswa dengan sesuatu yang tidak sepatutnya, kelak akan hilang rasa hormat mahasiswa. Mereka terasa tertindas di negara sendiri dan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada pembangunan negara.

Kini ditambah pula dengan beberapa peraturan baru yang mewajibkan mereka membayar pinjaman tersebut setelah beberapa bulan tamat belajar walaupun masih tidak mempunyai kerja. Semua ini perlu dikaji semula dengan meletakkan suasana dan keadaan mahasiswa secara keseluruhannya kerana bukan semua mahasiswa berasal daripada golongan berada. Mereka mempunyai beberapa tanggungjawab terutamanya kepada keluarga yang perlu dilaksanakan. Membebankan mereka perkara seperti ini adalah tidak wajar.

Mungkin tanpa disedari Malaysia akan muncul antara negara yang mempunyai rakyat yang paling banyak berhutang. Bayangkan kebanyakkan yang masuk universiti akan menjadi penghutang. Selangkah ke alam universiti bermakna selangkah ke alam hutang. Kini penghutang telah menjadi label baru kepada mahasiswa.

KUATKUASAKAN AKHLAK ISLAMIAH


Setiap hari kita melihat, menghadapi dan dihidangkan dengan elemen-elemen yang menyentuh tentang masalah atau penyakit sosial dikalangan masyarakat yang terus menerus membawa kepada kerosakan dan kebinasaan. Penyakit sosial seperti keruntuhan akhlak, dadah, rasuah dan sebagainya ini terus membiak dan semakin membarah. Malah ia sudah semakin sukar dikawal. Sukar untuk menafikan hakikat ini kerana statistik harian sentiasa menunjukkan peningkatan, dan penurunan telah menjadi istilah yang semakin pupus dalam kamus masalah sosial hari ini.

Penyakit sosial ini sentiasa merebak dan mencari mangsa setiap saat dan ketika. Tanpa boleh mendabik dada, sesiapa sahaja boleh terjebak dengan penyakit ini jika diri tidak dibentengi. Ibarat debu-debu kotoran yang berterbangan dan melekat pada sesiapa sahaja, sudah semakin sukar untuk mengelakkan diri. Mungkin hari ini kita berjaya mempertahankan diri tetapi esok lusa siapa yang tahu. Seperti kita melihat seorang wanita yang tidak memutup aurat contohnya rambut, mungkin hari ini kita akan berisgtifar tetapi lama kelamaan kita sudah terbiasa. Begitu juga perkara lain, contohnya rasuah, hari ini kita membenci, esok kita menerima. Oleh itu semua oarang berpotensi terjebak jika tidak bertindak menanganinya sekarang.

Fenomena ini telah semakin sukar dikawal kerana ia sememangnya tidak perlu dikawal tetapi perlu dibasmi dan dihapuskan. Apa tidaknya, semua golongan sudah mempunyai perwakilan dalam parlimen penyakit sosial ini. Golongan atasan dengan kegilaan terhadap rasuah yang sudah menjadi wajib dalam kehidupan. Golongan muda dengan kegiatan sosial seperti dadah dan pergaulan bebas yang terang-terangan telah tersasar dari landasan. Golongan yang dikurniakan kekuatan fizikal dengan kegiatan rompak dan membunuh. Golongan Golongan cerdik dengan aktiviti penipuan dan penindasan. Golongan wanita dengan kecendurangan memperagakan susuk fizikal secara terbuka dan tak bertempat. Golongan lelaki yang semakin menyepi memisahkan diri di dalam tembok-tembok penjara.

Mungkin kita sudah semakin jemu memperkatakan tentang isu ini, pelbagai pihak telah dan akan ada lagi pihak yang akan terus bercakap dan memperkatakan berkaitan perkara ini. Selagi tidak ada tindakan yang konkrit dan istiqamah, selagi itu lah kita akan terus bercakap dan menyindir sendirian. Mungkin juga akhirnya kita akan menjadi sebati dengan isu dan merelakannya berlaku dan terus berlaku tanpa ada apa-apa tindakan. Maka ketika itu, kita sebenarnya menuju kehancuran dan kebinasaan.

Oleh itu, sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kuasa perundangan, kerajaan perlu bertindak tegas dan segera dalam mengauatkuasakan Akhlak Islamiah dikalangan rakyat. Perkumpulan-perkumpukan kecil yang ada pada ketika sukar dan terlalu letih dalam menangani isu ini tanpa sokongan asas yang besar daripada pihak kerajaan. Kuasa menguatkuasakan Akhlak Islamiah di dalam negara ini adalah terletak di atas tanggungjawab kerajaaan. Keadaan semasa kini sememangnya mewajarkan kerajaan bertindak segera. Kerosakan dalam masyarakat tidak menguntungkan sesiapa mahupun pihak kerajaan ataupun rakyat. Apa yang kita dapat dengan membiarkan mereka yang terlibat bersosial secara melampau, berjudi dan lain-lain lagi.

Perlaksanaan Akhlak Islamiah adalah penyelesaian yang konkrit dan muktamad yang disediakan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran untuk umat manusia menggunapakainya bagi mengatasi penyakit-penyakit sosial dalam masyarakat. Tidak perlu hanya berpandukan teori-teori yang semata-mata akal dari barat tanpa pimpinan wahyu. Tidak mahukah kita melihat generasi umat yang dapat memelihara diri dan kehormatannya? Adakah rugi jika kita mempunyai generasi yang sedemikian sehingga kita memandang enteng penyelesaian masalah kuno masyarakat ini? Bertindaklah dengan apa cara sekalipun untuk membasmi masalah ini, bercakap jika anda mampu, menulis jika anda berkebolehan, cegah jika anda berperluang.