Jika dilihat pada hari ini, golongan remaja seolah-olah mengalami sindrom kebosanan dengan apa yang ada. Untuk meredakan keadaan ini mereka mencari sesuatu yang dapat membantu mereka. Apa yang mereka temui adalah dadah yang akhirnya membawa kepada masalah ketagihan dadah dan AIDS. Apa yang mereka lakukan adalah lepak di kompleks membeli belah yang akhirnya membawa kepada budaya lepak. Apa yang mereka libatkan adalah motor yang akhirnya membawa kepada masalah rempit. Inilah antara senario yang berlaku kepada golongan muda dan remaja kita sekarang. Banyak lagi masalah yang melibatkan golongan ini yang sebenarnya masih belum dirungkai dengan lengkap berkaitan dengan punca dan sebab masalah ini timbul oleh para intelektual di negara ini. Masalah samseng, zina, rogol, aliran muzik keras yang bertentangan dengan agama dan lain-lain mengambarkan hakikat negara menuju ke arah ketenatan dalam isu ini.
Disini, ingin kita melihat bagaimana sekolah dan masjid boleh membantu dalam menangani masalah ini secara tidak formal. Baru-baru ini kerajaan telah meluluskan perubahan norma perjawatan guru-guru bagi sekolah rendah dan menengah untuk meringankan beban pembelajaran akademik. Kelapangan ini sebenarnya sangat bermanfaat untuk guru-guru menggerakkan dan mengaktifkan persatuan, kelab atau sukan di sekolah-sekolah sebagai salah satu cara mengatasi masalah gejala sosial ini. Dalam hal ini, tidak memustahilkan sesiapa sahaja daripada terlibat dengan masalah ini dan berkemungkinan juga termasuklah anak guru-guru. Oleh itu kerjasama semua pihak perlulah dijalin dan diatur bagi membantu mengatasi masalah ini.
Sekolah dan masjid harus mengambil alih kedudukan kompleks membeli belah dan jalan raya dihati para remaja. Dua institusi ini perlu bertindak untuk menjadi tempat tumpuan para remaja dengan mengadakan atau mengiatkan program yang bersifat mesra remaja. Sekolah boleh berperanan dengan berfungsi diluar waktu persekolahan dengan menggiatkan kegiatan persatuan, kelab, sukan dan rekreasi. Remaja yang normal adalah pelajar yang berkecenderungan kepada salah satu aktiviti terbabit. Kegiatan sampingan seperti rekreasi, lawatan sambil belajar, kem motivasi atau kepimpinan, perlawanan sukan persahabatan dan sebagainya perlu dipergiatkan untuk menarik minat remaja mendekati sekolah dan membuang rasa kebosanan apabila berada didekolah. Dengan kepelbagaian fungsi yang dimainkan oleh pihak sekolah, para remaja akan berasa lebih gembira dan lebih bermakna berda disekolah daripada ditempat lain. Sekurang-kurangnya dengan mereka mendekati sekolah mereka akan lebih bersemangat mengikuti pembelajaran bidang akademik yang sebenar.
Aktiviti masjid sebenarnya harus diperluaskan dengan lebih bersifat universal kepada golongan remaja. Program-program sampingan kepada golongan remaja seperti kem motivasi, khemah ibadah dan lain-lain harus diadakan. Dalam hal ini, golongan mahasiswa perlu turut membantu pihak masjid dari segi tenaga fasilitator atau sebagai mentor. Selain itu, mengadakan dan mengaktifkan aktiviti sukan dan kemasyarakatan di kawasan masjid akan dapat juga menarik golongan remaja ini. Sekurang-kurangnya apabila mereka mendekati masjid akan lebih mendekatkan lagi untuk mereka mendekati ilmu agama.
Dalam menangani masalah ini, tidak perlulah kita membuang masa menyalahkan mana-mana pihak punca masalah ini berlaku. Apa yang kita perlukan ialah menggunakan masa yang ada dengan berganding bahu membanteras masalah daripada akan bermaharajalela. Sudah pasti kita sepakat untuk menghalang masalah ini daripada merebak dan ingin membanteras apa yang telah berlaku. Kesepakatan ini harus dijadikan asas untuk kita semua hubungkan kerjasama sesama kita termasuklah dari kalangan mahasiswa.
Mantan Presiden (Sesi 2006/2007)
Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH)
Universiti Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan