Ahad, 4 Mei 2008

KEDAH MENGORAK LANGKAH MEMELIHARA TANAH SAWAH PADI


Pembangunan pesat masa kini meyebabkan status dan pemilikan tanah menjadi penting sebagai tapak dan kawasan pembangunan. Untuk memuaskan keadaan tersebut, banyak kawasan tanah telah ditukar daripada status asal yang kebanyakan berstatus pertanian kepada status yang memenuhi kehendak pembangunan.

Langkah Kerajaan Negeri Kedah meletakkan keutamaan memelihara tanah-tanah pertanian adalah sesuatu yang terbaik, wajar dan harus dipuji. Bermula dengan pemindahan Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang pada asalnya di kawasan sawah padi ke kawasan pinggir laut akan yang akan ditambak dan tindakan memelihara kawasan sawah padi daripada ditebus guna untuk tujuan pembangunan memberi masa depan dan galakan yang baik kepada sektor pertanian khasnya penanaman padi dan sekaligus menjamin pengeluaran makanan Negara. Jelaslah misi kerajaan baru ini untuk mengekalkan dan memperkasakan Negeri Kedah sebagai Jelapang Padi Negara yang tidak dapat ditandingi.

Rata-ratanya rakyat menyambut baik langkah Kerajaan Kedah tersebut kerana mereka tidak mahu gelaran Jelapang Padi itu hanya tinggal gelaran sahaja. Sebagaimana yang kita lihat, kerajaan sebelum ini telah banyak mengorbankan kawasan sawah padi terutamanya untuk tujuan pembangunan. Kenyataan ini bukanlah bermaksud sebagai menolak pembangunan, tetapi sebagai kerajaan mereka harus bijak dalam melaksana dan mengendalikan pembangunan, bukannya terlalu rakus mengejar pembangunan material tanpa meletakkan pertimbangan yang wajar. Mereka perlu tahu dimana harus dibangunkan dan di kawasan mana pula harus dipelihara. Tidak sepatutnya kawasan sawah padi dikorbankan untuk tujuan tersebut kerana masih banyak tanah di negeri Kedah yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Hal ini kecualilah jika dibangunkan untuk sesuatu tuntutan yang wajar seperti institusi pendidikan seperti sekolah dan institusi kesihatan seperti hospital.

Keputusan Kerajaan Kedah ini menimbulkan sesuatu fenomena atau pola yang akan memberi impak yang berbeza di pelbagai kawasan di seluruh Negeri Kedah. Kawasan penanaman padi yang utama ialah daerah Kubang Pasu, Kota Star, Pendang, Yan dan sebahagian daerah Kuala Muda akan tertakluk kepada keputusan ini. Kita mengharapkan rakyat di daerah-daerah tersebut akan melihat keputusan kerajaan negeri ini dari suatu sudut yang positif iaitu dengan mempertimbangkan keperluan kepada pengekalan dan pemerkasaan kawasan-kawasan tersebut sebagai Jelapang Padi Negara yang sememangnya akan memberi faedah kepada seluruh rakyat di Negara ini. Bagi daerah Langkawi sudah pasti ia akan terus kekal sebagai kawasan perlancongan utama bagi Negeri Kedah. Tetapi apa yang menarik untuk dikongsi dalam ruangan ini, mungkinkah kita akan menyaksikan sebahagian kawasan-kawasan pedalaman khasnya daerah Padang Terap, Sik dan Baling akan diberikan tumpuan dalam soal pembangunan seperti pembukaan bandar baru, perindustrian dan institusi pendidikan. Jika ini berlaku, Kedah akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang kawasan pedalamannya lebih maju daripada kawasan hilirnya. Atau mungkin jugakkah, pembangunan akan dialirkan ke kawasan yang sememangnya berpotensi dan sedia strategik untuk dibangunkan di kawasan selatan Kedah seperti daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Bharu, dan dengan itu mengekalkan daerah pedalaman tadi untuk terus memberi fokus kepada bidang pertanian dan pemampan iaitu perhutanan sebagai konsep bumi hijau.

Walaupun apa pun yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri, perkembangan ini akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diikuti oleh seluruh rakyat. Akhirnya, selamat maju jaya kepada Kerajaan Negeri Kedah yang baru.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Making money on the internet is easy in the undercover world of [URL=http://www.www.blackhatmoneymaker.com]blackhat ebook[/URL], Don’t feel silly if you don't know what blackhat is. Blackhat marketing uses not-so-popular or misunderstood avenues to generate an income online.