Rabu, 30 Mei 2012

Cincin Ini


Dah 3 tahun aku beli dan simpan cincin ini. Tapi masih tiada pemilik lagi. Aku pun dah letih dah. Dan aku pun semakin tak reti lagi bab-bab ini. Aku ingat nak bagi kat emak aku la. Ikut dia la nak buat apa pun. Dia nak bagi kat sapa-sapa ka. Tapi mesti dia terkejut kalau aku bagitau yang aku simpan benda ni 3 tahun dah.

Ini suatu pengajaran untuk aku, memang perangai aku akan lebih menghargai jika sesuatu itu sukar didapati.

Gelagat Burung Sekawan


Burung Sekawan




Rabu, 16 Mei 2012

Hari Ini Hari Guru

Hari Guru... bila tibanya hari guru aku terkenangkan seorang guru yang bagi aku ada sumbangannya yang aku ingati sampai hari ini. Guru matematik aku. Dia mengajar aku matematik dan matematik tambahan semasa di tingkatan 5. Cara pembelajarannya membuatkan aku rasa seronok belajar. Akhirnya aku berjaya dapat A1 dalam kedua-dua subjek tersebut dalam peperiksaan SPM.

Semasa di tingkatan 5, kehidupan aku agak sukar sedikit. Pada masa ini memang aku teringinkan motorsikal sebab kawan-kawan aku ramai yang bermotorsikal ke sekolah. Tambahan lagi aku baru dapat lesen motor. Aku dah banyak kali minta kepada ayah aku supaya dibelikan motor. Tapi tak dapat. Ini menyebabkan aku kadang-kadang jadi rendah diri dan tak ada semangat nak belajar.

Aku pergi ke sekolah hari-hari berjalan kaki, hampir 2 km jugak jarak rumah ke sekolah. Suatu hari aku pergi sekolah lambat. Sedang berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba sebuah kereta memberhentikan kereta di sebelah aku dan membunyikan hon. Aku fikirkan siapa, rupa-rupanya cikgu matematik aku. Dia ajak aku naik keretanya, aku mula-mula jadi segan. Sebab aku tak pernah tumpang kereta sapa-sapa pergi ke sekolah. Dia kata dah lambat, aku pun naik keretanya. Dia tanya aku kenapa lambat, aku jawab bangun lambat. Dia tanya aku selalu jalan kaki seorang ke? Aku angguk saja.

Mungkin dia kesian kat aku, jadi dia beri tumpuan kat aku sikit masa dalam kelas dan dia ambil berat dengan prestasi aku dalam kedua-dua subjek tersebut. Dan akhirnya orang yang macam aku boleh skor dalam subjek matematik dan matematik tambahan. Antara subjek yang susah bagi aku dan kawan-kawan aku pada masa tu.

Selepas kejadian tu, bila aku ke sekolah lambat dan jika terserempak dengan cikgu ini, dia akan tumpangkan aku. Tapi jarang la sebab aku jadi segan nak tumpang kereta dia. Jadi bila aku aku nampak kereta dia, aku akan mengelak supaya dia tak nampak aku. Biar la aku jalan sorang-sorang. Biar aku belajar macam mana susah, supaya aku tak lupa diri.

Terima kasih jugak kepada ibu dan ayah aku yang tak pernah ajar aku hidup senang. Rupa-rupanya satu latihan bila berkeadaan susah itu. Cabaran yang penuh suka duka.

Apa yang nak diceritakan, inilah salah seorang guru yang berjasa pada aku.

Demonstrasi Kecil di SDA

Demontrasi atau perhimpunan? Secara umumnya lebih kurang, tetapi terperincinya ia punyai maksud yang berbeza. Itulah yang berlaku semalam di perkarangan Stadium Darul Aman, satu perhimpunan penyokong ataupun demontrasi kecil para penyokong Kedah setelah pasukan kesayangan mereka tewas kepada PKNS dalam aksi Liga Super. Kekalahan dan aksi parmainan yang mengewakan yang ditunjukkan oleh pasukan Kedah menjadi pendorong utama penyokong dengan sendirinya dan dengan rasa bertanggungjawab berhimpun di luar stadium, menyatakan rasa tidak puas hati kepada pengurusan pasukan ekoran prestasi tersebut. Tiada paksaan atau hasutan mana-mana pihak ekoran terjadinya perhimpunan tersebut. Semuanya lahir dari rasa kecewa, dan inginkan perubahan segera di buat oleh pihak pengurusan untuk memulihkan prestasi pasukan Kedah.

Untuk makluman, penyokong Kedah telah bersabar dengan aksi tidak menentu pasukan selama lebih kurang  4 tahun. Mereka tetap datang ke stadium untuk menyatakan sokongan. Namun apabila keadaan pasukan semakin teruk, barulah kita lihat tindakan lebih agresif dilakukan oleh penyokong Kedah supaya tindakan lebih konkrit dan proaktif dilakukan oleh pengurusan Hijau Kuning.

Demontrasi yang terjadi semalam menunjukkan rasa sayang dan sikap ambil berat penyokong Kedah terhadap pasukan. Mereka tidak inginkan pasukan Kedah terus merudum dan akhirnya turun ke liga perdana.

Dalam demontrasi semalam jelas ditunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kegagalan taktikal jurulatih, dan prestasi beberapa pemain utama. Mereka turut mendesak jurulatih meletak jawatan jika tidak ada idea untuk mencorakkan permainan pasukan. Mereka juga mendesak supaya direhatkan beberapa pemain utama yang seolah-olah tidak bersemangat untuk bermain.

Mungkinkah pada tahun hadapan, pengurusan Kedah boleh berkira-kira untuk membubarkan skuad yang mengewakan ini dan memberi peluang kepada skuad muda Kedah melakar kegemilangan pula. Mungkin penyokong boleh bersabar dan memberi masa kepada skuad muda ini untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kedah.

Selasa, 15 Mei 2012

Keyakinan Diri?

Kemana perginya keyakinan diriku? Mengapa tiada keyakinan diri? Dalam menghadapi hal-hal jodoh, keyakinan diriku amat kurang sekali, tambahan lagi bila mengetahui si dia dan keluarganya 'lebih' daripada apa yang aku ada. Sememangnya aku memang bersyukur kalau dapat si dia yang 'lebih' daripada aku. Itu dah dikira rezeki datang menggolek. Tapi hati dan perasaan aku akan rasa keadaan yang tak selesa, dan akan wujudnya situasi menolak.

Baru-baru ini, ada tiga orang kawan aku ada cadangkan aku gadis-gadis yang pada pendapat mereka sesuai untuk aku. Tapi masalahnya, disini lah keyakinan diri aku mula terganggu. Aku tak tahu adakah ini biasa bagi semua orang. Masalah inilah yang aku gagal atasi dari dulu. Aku bukan tak mahu kahwin. Aku memang dah terasa sangat sunyi dan merasakan keperluan aku untuk berkahwin. Tambahan lagi kawan-kawan aku seorang demi seorang dah berkahwin.

Aku buat solat hajat dan solat isthikarah minta Allah berikan pertolongan dan petunjuk pada aku. Tapi aku tak pernah konsisten. Aku cuba untuk buat secara konsisten, tapi terasa sukar. Memang aku akui setelah habis belajar dulu, aku dah jarang buat solat-solat sunat. Aku dah jarang berdoa perkara yang lazim aku minta dulu. Aku baru sekali solat hajat dan solat isthikarah dalam hal ini, belum memadai lagi sebenarnya. Aku memang nak buat lagi, tapi susah.

Macam mana lah nak atasi masalah ini. Selagi aku tak dapat selesainya masalah ini, selagi itu aku rasa tak yakin nak bertemu jodoh....

Isnin, 14 Mei 2012

Ambang PRU 13: Panorama 2

UMNO - BARISAN NASIONAL

PAS - PAKATAN RAKYAT

Perang bendera memeriahkan dan menghangatkan lagi suasana PRU 13. Tapi jangan ada yang dengki mendengki. Bersainglah secara sihat. Tak perlu menjatuhkan bendera parti lawan. Kalau dah rasa tercabar naiklah bendera parti anda sebanyaknya.

Rabu, 9 Mei 2012

Kritikan Kepada Skuad Hijau Kuning: Siri 1

Persembahan pasukan Kedah dalam perlawanan Liga Super 2012 menentang T-team semalam agak mendukacitakan. Permulaan yang perlahan dan hambar. Prestasi pemain yang cukup mengewakan. Tak tahu dimana silapnya pasukan Kedah ini. Kalau dilihat pada senarai pemain, Kedah adalah pasukan yang hebat sebenarnya, dibarisi pemain kebangsaan dan berpengalaman, ditambah pula dengan kehadiran pemain import yang berkualiti.

Pada separuh masa pertama, pemainan Kedah bermula dengan perlahan dan hambar. Pemain kelihatan seperti tiada idea bila bermain. Hantaran selalu sangkut. Persefahaman yang kurang. Bila dapat bola tak tahu nak buat apa. Pemain lain lambat membuka pergerakan. Akhirnya bola dapat ke pihak lawan.

Pada separuh masa kedua, permulaan agak menarik dan berjaya menghasilkan gol. Tapi selepas itu kembali hambar dan bermain dalam keadaan terpinga-pinga.

Penyokong agak geram dengan persembahan pasukan Kedah. Dalam minit ke-30, penyokong mula menyuarakan kemarahan secara terbuka kepada pemain. Dalam keadaan tinggal saki baki penyokong yang ada, seolah-olah pemain tak menghargai kehadiran penyokong. Kedah bertuah sebenarnya mempunyai penyokong yang fanatik, tetap datang walau menang atau kalah. Bagi penyokong seperti ini, mereka amat mengharapkan kemenangan dan aksi yang menarik. Mereka setia menunggu kemenangan pasukan. Kalau pemain Kedah tak boleh mencapai kemenangan, sekurang-kurangnya tunjuklah aksi yang menarik.

Dari segi formasi, ramai yang berpendapat formasi 5-3-2 atau 3-5-2 tak sesuai dengan corak permainan Kedah. Mereka berpendapat formasi 4-4-2 adalah lebih sesuai untuk pasukan Kedah. Jika dilihat dari segi persembahan dengan formasi semasa ini, pasukan Kedah tidak cukup tenaga apabila menyerang. Ini mebuatkan Kedah kurang menjaringkan gol dalam sesuatu perlawanan. Melihat kepada corak serangan Kedah, bila menyerang wingback terpaksa naik ke atas untuk membantu serangan kerana Kedah masih menggunakan serangan dari tepi walaupun tidak mempunyai pemain sayap. Serangan dari tepi memaksa salah seorang penyerang bergerak dari tepi. Ini membuatkan hanya seorang sahaja penyerang yang berada di posisi berdekatan dengan gawang gol lawan. Dengan keadaan ini, keupayaan untuk menjaringkan gol berkurangan.

Jika dilihat keadaan bila bertahan pula, pertahanan Kedah kekurangan tenaga untuk bertahan bila di serang dari tepi. Ini kerana hanya seorang sahaja yang memainkan peranan di tepi iaitu wingback. Keadaan ini sukar bagi wingback kerana ia tidak dibantu. Jika Kedah mempunyai pemain sayap, selalunya pemain sayap ini akan berada di belakang pertahanan tepi ini dan membantunya. Pemain pertahanan tengah jarang membantu wingback dan kelihatan takut untuk meninggalkan kawasan jagaannya. Ini yang menyebabkan pemain lawan selalu dapat meloloskan diri. Jika diserang dari tengah pula, pemain pertahanan tengah selalu terkeliru antara sama lain.

Kedah boleh bermain dengan formasi 5-3-2 ini, tapi perlukan penguasaan kawasan tengah yang solid. Banyak serangan perlu dilakukan oleh pemain tengah dengan melorongkan bola terus kepada penyerang. Tak perlu kerap melorongkan bola ke tepi dengan mengharapkan overlaping daripada wingback atau pergerakan penyerang ke tepi. Serangan yang biasa dilakukan oleh Kedah ketika ini kurang mendatangkan hasil yang memberangsangkan dan kerap kali mengecewakan.

Oleh itu, Kedah perlu kembali menggunakan formasi 4-4-2 seperti zaman kegemilangannya kerana ini lebih sesuai dengan corak permainan Kedah. Pasukan Kedah perlu menghidupkan kembali peranan pemain sayap. Ramai yang berkeyakinan Kedah boleh kembali mencapai kegemilangan seperti sebelum ini.

Jurulatih Kedah perlu berani pelbagaikan taktik ketika sesuatu perlawanan. Kelihatan sewaktu perlawanan, jurulatih kurang menukarkan taktik perlawanan walaupun taktik asal tak menjadi. Ini perlu diberi perhatian yang serius.

Andaikata, prestasi pasukan Kedah masih tak berubah setelah pelbagai usaha dilakukan. Satu-satunya langkah yang berjaya mengubah pasukan Kedah sebelum ini, iaitu bubarkan pasukan dan bentuk pasukan baru yang dianggotai pemain muda dan pemain yang bersemangat untuk bermain dengan Kedah. Biarkan pemain-pemain yang berlagak 'star' yang tidak bermain secara berpasukan untuk beraksi dengan pasukan lain. Mungkin kehadiran mereka tak serasi dengan pasukan Kedah. Jika penyokong sanggup tunggu 4 tahun tanpa apa-apa piala dengan pemain-pemain ini, tak ada masalah jika kita penyokong boleh bagi tempoh tiga tahun untuk pemain-pemain muda meraih kejayaan seperti sebelum ini. Melihat kepada aksi skuad Piala Presiden, skuad belia bawah 19 tahun dan skuad Sekolah Tunku Anum, Kedah sebenarnya mempunyai ramai pemain muda yang berbakat dan mampu membawa kejayaan kepada pasukan.