Sabtu, 31 Mac 2012

55 Days - The Fall of Saigon

Minggu lepas aku ada tengok sebuah dokumentari sejarah yang berjudul '55 Days - The Fall of Saigon'. Dokumentari ini menceritakan saat-saat akhir kejatuhan Saigon ke tangan tentera Vietnam Utara.

Ketika babak-babak akhir penguasaan Amerika ke atas Vietnam itu, pihak Amerika dan sekutunya kerajaan Vietnam Selatan mengatur pelbagai strategi untuk menyekat kemaraan tentera Vietnam Utara. Semasa penguasaan Amerika, rakyat Vietnam Selatan dipengaruhi secara psikologi bahawa Amerika tidak akan kalah di Vietnam, dan Amerika akan mempertahankan rakyat Vietnam Selatan. Jika Vietnam Utara berkuasa, mereka akan menyeksa rakyat Vietnam Selatan yang bekerja dengan Amerika. Psikologi seperti ini telah menyebabkan rakyat Vietnam Selatan takut kehilangan Amerika. Mereka menganggap Amerika adalah sahabat mereka. Amerika terus memberi kepercayaan bahawa mereka akan melindungi rakyat Vietnam Selatan.

Tetapi akhirnya, setelah Amerika menjangkakan bahawa mereka tidak mampu menyekat kemaraan Vietnam Utara, mereka mula lari meninggalkan rakyat Vietnam Selatan yang sebelum ini mereka berjanji untuk melindunginya. Ketika Amerika bergegas lari dari Vietnam Selatan ini, ramai rakyat Vietnam Selatan masih berharap Amerika akan melindungi mereka serta membawa mereka ke Amerika juga. Sehinggalah akhirnya kesemua rakyat Amerika lari, barulah mereka sedar bahawa mereka tidak boleh berharap lagi kepada Amerika. Dari situ mula timbul perasaan kecewa dan marah kepada Amerika.

Selepas itu, ketibaan tentera Vietnam Utara berlaku dengan aman. Tiada penyeksaan kepada rakyat Vietnam Selatan yang bekerja dengan Amerika. Yang berlaku, mereka yang berkenaan dihantar ke sekolah pemulihan. Segala dakwaan Amerika berkaitan kekejaman tentera Vietnam Utara ternyata meleset dan palsu semata-mata.

Apa yang penting disini, ialah bagaimana psikologi dimainkan untuk mempengaruhi rakyat sehingga rakyat tidak dibenarkan berfikir untuk menentukan pilihan mereka. Begitulah juga apa yang berlaku di Malaysia. Jika kita amati dan teliti betul-betul, kita akan jelas perkara ini berlaku bertahun-tahun lamanya.

*Ulasan ini bukan bermakna saya menyokong ideologi komunis, kerana tentera Vietnam Utara berideologi komunis. Tetapi apa yang hendak saya jelaskan ialah bagaimana permainan psikologi pihak berkuasa iaitu Amerika begitu mempengaruhi rakyat sehingga rakyat tidak mampu menilai kebaikan dan kekurangan pihak kerajaan dan pihak lawan.

Kedah vs Perak

Perlawanan Liga Super 2012:

Kedah (3) vs Perak (0)

Banyak yang perlu diperbaiki oleh barisan Kedah. Selalu saja bocor di kiri dan kanan bila diserang. Kedah perlu letakkan semula RB dan LB. Dan dalam masa yang sama letakkan 2 CD sahaja, kerana bila ada 3 CD keadaan di tengah pertahanan menjadi serabut dan mengelirukan barisan pertahanan itu sendiri. Cukup dengan meletakkan 4 pertahanan sahaja, dan jika keadaan memerlukan letak seorang DM untuk menyekat kemaraan serangan lawan.

Gol ketiga pasukan yang dijaringkan pemain import, Mohamed Hamidan adalah yang terbaik.

Tahniah atas kemenangan yang bermakna.

Rabu, 28 Mac 2012

Aku Sedang Diuji

Keadaan dah semakin tegang dan akan semakin tegang. Sampai bila aku akan dapat bertahan. Hanya 'sabar' yang menjadi penguat diri. Dengan 'sabar' juga aku masih di sini. Adakah 'sabar' mampu dipertahankan. Andainya suatu ketika 'sabar' sudah tidak mampu bertahan lagi, maka aku perlu 'redha' dengan apa yang akan terjadi. Inilah rutin kehidupan, ujian sentiasa mendatang untuk membawa kita kembali kepada tuhan.

Kadang-kadang aku selalu salahkan ujian, padahal itu petanda aku gagal melepasi ujian. Ujian akan terus datang menguji, sehingga aku sedar untuk membentuk peribadi.

Kadang-kadang ujian datang tanpa disedari, sedang hati bersorak gembira, tiba-tiba keputusan datang membawa gelisah.

Layakkah aku diuji, semakin diuji, semakin kerdil rasa diri, semakin tak mampu bertahan lagi.

Ya Allah, berikanlah sesuatu yang meneguhkan hati, menguatkan diri, supaya ia terasa rahmat dari Mu.

T-team vs Kedah

Piala FA: T-team (1) vs Kedah (2)

Isnin, 26 Mac 2012

Salah

Kenapa la akhir-akhir ini aku kerap buat salah. Aku tak sedar langsung, aku yakin betul tapi sebenarnya salah. Apa aku nak buat ni... Tekanan aku nak fikir bagaimana nak perbetulkan kesalahan ini. Aku sudah tak ada pilihan lain dah, memang betul salah.

Ya Allah tunjukkanlah aku jalan keluar dari masalah ini, berikanlah aku kekuatan dan semangat untuk menghadapi ujian serta dugaan Mu ini. Jika ujian ini ialah untuk menambahkan ilmu dan pengalamanku, Kau berikanlah aku jalan penyelesaiannya. Jika ujian ini adalah kafarah dosaku, Kau berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk menghadapinya.

Disaat macam inilah aku terasa memerlukan seseorang untuk berkongsi perasaan, supaya boleh meredakan apa yang terpendam, mengubat keresahan. Ya Allah, Kau kurniakanlah aku isteri sebagai penyejuk di mata, penawar di hati.

Ahad, 25 Mac 2012

Khamis, 22 Mac 2012

Kesalahan Dan Ujian

Ada ketikanya kita memang tak boleh nak elak daripada melakukan kesalahan. Langkah yang kita ambil sebelum ini, yang mana langkah itu yang difikirkan betul sebelum ini, membawa kita kepada kesalahan. Akhirnya kesalahan itu menjelma dihadapan diri. Jadi kita memang tak mempunyai pilihan selain terpaksa menghadapi kesalahan tersebut. Dan kita perlu persiapkan diri menghadapi semuanya. Segala risiko kita perlu bersedia menanggungnya.

Daripada sini kita perlu mengerti bahawa walaupun langkah yang kita ambil yang kita fikirkan baik bagi kita, belum pasti hasilnya juga baik untuk kita. Jadi kita perlu bersedia dengan kedua-dua kemungkinan. Ini yang kita selalu terlepas pandang, kita menganggap bahawa setiap langkah yang betul, hasilnya selalu betul. Tetapi yang sebenarnya belum tentu lagi. Jadi bila berlaku sebaliknya seperti ini, maka kita perlu faham bahawa inilah yang dikatakan ujian. Dan ketika itu kita sedang diuji sebanarnya. Mungkin ini adalah jawapan kepada kesombongan dan keangkuhan kita, samada kita sedar atau tidak tentang kepintaran yang dibanggakan.

Isnin, 19 Mac 2012

Mengapa Aku Suka Balik Kampung?

Kawan-kawan selalu bertanya 'mengapa aku suka balik kampung?'. Tiba cuti saja, aku akan balik kampung. Memang susah nak lihat aku pergi ke tempat lain masa cuti melainkan aku akan balik kampung dahulu. Kadang-kadang tak cuti pun aku akan balik kampung. Kampung aku bukan jauh mana pun 2 jam saja dari tempat kerja. Tapi itu jawapan yang sebenar. Jawapan yang sebenarnya ialah aku tak mahu ibu & ayah aku merindui aku walaupun seketika. Kerana rindu memang menyeksakan. Aku tak mahu membebankan ibu & ayah aku dengan rindu. Biar mereka rindu akan saudara-saudara aku yang lain, yang terpaksa berjauhan dengan mereka. Biar mereka jemu melihat aku asalkan mereka tak rindu kepada aku. Aku akan rasa bersalah jika mereka rindukan aku. Inilah sikap pelik aku yang orang lain sukar mengerti.

Ahad, 18 Mac 2012

Negeri Sembilan vs Kedah

Kedah tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super 2012.

Bila Cuti Diganggu

Apa perasaan anda apabila cuti anda diganggu. Mesti kita akan rasa terganggu dan tidak tenteram. Bila kita cuti, kita nak kosongkan pemikiran kita daripada hal-hal kerja. Kerana masa cuti kita fikirkan tentang kehidupan kita, tentang keluarga, tentang ibu bapa. Kita juga nak rehat masa cuti, nak lakukan aktiviti sekitar rumah, aktiviti masyarakat, nak tolong ibu bapa, nak bawa ibu bapa atau keluarga bersiar-siar, aktiviti dengan kawan-kawan, dan ada juga yang nak menambahkan ilmu agama dan akademik.

Cuba bayangkan masa cuti kita diganggu dengan hal-hal kerja. Semasa tengah melakukan aktiviti, tiba-tiba orang suruh fikirkan tentang kerja atau suruh buat sesuatu kerja. Mesti kita akan berasa marah. Kadang-kadang kita lebih suka matikan telefon supaya tidak diganggu.

Kepada yang suka menggangu cuti orang lain, fikir-fikirkanlah. Kita hidup ini bukan semata-mata kerja, kita ada keluarga yang perlu diberi tumpuan, ada ibu bapa yang perlukan perhatian, ada masyarakat, ada kawan-kawan. Tak kan nak hidup dengan kerja sahaja hingga abaikan semua itu. Dah tiadakah hari esok untuk kerja.

Bila kita tak boleh nak buat kerja yang diberikan masa cuti tersebut, mula nak marah dan cari pelbagai kesalahan. Adakah prestasi kerja dinilai semata-mata pada hari cuti.

Rabu, 14 Mac 2012

Masalah dan Masa

Betulkah ada sesetengah orang kata, masa akan menyelesaikah masalah. Maksudnya bila kita menghadapi sesuatu masalah, kita boleh biarkan saja ia berlalu dengan masa tanpa kita menyelesaikan. Bila sampai masanya masalah akan selesai dengan berlalunya masa masalah tersebut.

Memang betul sesuatu masalah ada tempoh masanya yang tertentu. Bila sampai tempohnya masalah tersebut akan berlalu. Tapi adakah masalah tersebut diselesaikan. Daripada pengalaman aku, yang aku cuba lakukan sebelum ini, aku telah biarkan beberapa masalah berlalu macam tu saja. Dan apa yang aku lalui, masalah tak selesai sebenarnya. Memang kita tak mengalami masalah yang asal lagi, tapi kita akan mengalami masalah lain yang berpunca daripada tindakan kita tak menyelesaikan masalah yang sebelum ini. Ia berangkai-rangkai timbul sehingga kita perlu berani untuk hadapi masalah tersebut dan selesaikan juga. Oleh itu selesaikanlah masalah yang kita hadapi dengan baik kerana masalah itu pengalaman kehidupan. Jangan lari dari masalah kerana kita tak dapat lari.

Uroll Bond


Isnin, 12 Mac 2012

Kahwin?

Aku hanya mampu tersenyum bila ada yang bertanyakan aku soal kahwin. "Bila nak kahwin?, dah ada calon ka?, nak kenal dengan seseorang tak?". Dan banyak lagi soalan. Jawapan aku hanya 'senyum'. Aku memang tak mampu nak jawab dan aku tak tahu nak jawab apa. Disebalik senyuman itu, bermacam-macam perkara yang bermain difikiran. Dan aku tak tahu nak cerita dan nak kongsi dengan orang lain apa yang ada difikiran. Aku belum jumpa ayat pertama yang membolehkan aku kongsikan apa yang aku fikirkan dengan orang lain.

Sebelum ini, kawan-kawan sekerja selalu bertanya tentang hal ini. Macam tu jugak kawan-kawan study dulu bila jumpa. Mereka pun dah berkahwin dan dah ada anak pun. Kebanyakan aku hadir kenduri mereka. Biasanya aku jawab 'belum jumpa lagi', 'belum sampai jodoh lagi'. kadang-kadang aku ubah topik terus. Rasa malas nak layan soalan macam tu. Dan rasa malam nak fikir juga. Bila dilayan lagi banyak soalan yang timbul. Sebab tu aku selalu ubah topik. Tentang kawan-kawan study ini, aku dah banyak lost contact dengan mereka. Kadang-kadang terjumpa, mereka telefon aku bila teringat, chat dalam fb & ym bila online. Macam tu la kawan-kawan study. Masing-masing dah ada kerjaya sendiri, dah ada keluarga. Jadi tentu sibuk menguruskan hal masing-masing. Dan aku selalu rasa macam rendah diri bila bertemu atau berhubung dengan mereka semua ini. Aku macam tak tahu nak sembang pasal apa. Selalunya aku buka topik bola la, senang cerita. Aku malas nak cakap pasal benda lain. Pasal kerjaya lagi la aku malas sembang. Lagi-lagi time serabut sekarang ini.

Hujung minggu lepas aku balik kampung, rumah ibu dan ayah. Aku memang selalu balik kampung, tiap-tiap minggu aku balik. Bukan jauh mana pun, 1 jam 45 minit saja. Tapi kali ni lain sikit. Sebab adik beradik aku yang lain pun balik, cuti sekolah. Jadi terbuka la topik ini. Aku dah rasa macam didesak dah. Mak & ayah tanya, kakak dan adik-adik pun tanya. Aku memang tak ada jawapan la. Aku senyum la memanjang sebab aku tak tahu nak jawab apa. Tapi bila jadi macam ni yang aku jadi tak sedap hati ni. Umur aku dah dihujung 20-an, bila keluarga pun macam dah mendesak, aku memang kena fikir panjang dan ambil serius. Aku bukan tak mahu kahwin, aku nak kahwin. Tapi masalahnya aku macam tak pandai nak nak cari, dan aku rasa macam susah nak berkenan kat orang. Kadang-kadang aku rasa macam ada halangan, aku tak nampak. Aku tak tahu tahu la apa masalahnya.

Dulu aku pernah berkawan dengan seseorang, tapi terputus dengan kehadiran orang ketiga, walaupun aku cuba dengan sedaya upaya untuk mempertahankannya, aku berdoa minta aku ada jodoh dengan dia. Sehingga aku tak berdaya dan akhirnya aku putus asa, dan aku biarkan semuanya berlalu dengan rasa pedih. Dan aku pun tak mengharap apa lagi daripada dia. Lama aku ambil masa untuk clear semua ini, 4 tahun. Dalam masa itu dan selepas dari itu, aku cuba jugak untuk berkawan dengan orang lain, tapi semuanya belum berjaya. Ada yang aku tolak mereka, dan ada juga mereka tolak aku.

Aku pun tak tahu mengapa semuanya terjadi ke atas aku dan mereka yang terlibat, tapi pasti tersembunyi hikmah dari NYA. Semoga Allah mengampuni kita semua, dan semoga DIA menemukan apa yang kita cari dan mengurniakan kebahagian sebenar.

Ahad, 11 Mac 2012

Kedah vs Perlis

Kedah berjaya mengalahkan Perlis, 3-2, dalam perlawananan bola sepak Piala FA Malaysia 2012. Gol-gol Kedah dijaringkan oleh Kyril Muhaimeen (2 gol) dan Amar Rohidan (1 gol). Kemenangan ini melayakkan Kedah melangkah ke peringkat suku akhir bertemu T-Team.

Kehadiran penyokong pada kali amat memberangsangkan. Lebih 90% tempat duduk dipenuhi dengan kehadiran penyokong yang ramai.

Selasa, 6 Mac 2012

Kerja-kerja Bumbung Metal Deck

Apa yang perlu difikirkan bila nak mulakan kerja-kerja bumbung:

1. Kekuda bumbung- jenis material&company, design&calculation
2. Penutup bumbung- jenis bumbung, patern bumbung, company, warna

Kekuda bumbung;
Ada dua komponen utama iaitu; trusses dan battern. Material lain yang perlu ada iaitu; L angle bracket, wall bolts (size 10), hex head self drilling screw (MS), flat head self drilling screw.

Facial board;
Material seperti timber, metal atau asbestos. Menggunakan flat head self drilling screw.

Penutup bumbung;
Komponen utamanya ialah roof covering, vallet tray, ridge&hip capping, flashing. Material lain ialah chicken netting, aluminium foil (single side or double side), fibreglass insulation, roofing screw, sealant.

Nak Beli Kamera

Aku dok ingat dalam minggu ni aku nak beli kamera. Saja-saja beli untuk kegunaan sendiri. Lagipun aku tak pernah ada kamera sendiri, duk pakai yang company punya ja. Nak beli hp yg canggih sikit, tau la jenis aku lasak sikit. Tak lama hp tu nanti. Sekarang ni beli kamera, guna bila rasa nak guna ja.

Ahad, 4 Mac 2012

SDA Kembali Berombak

Setelah sekian lama SDA sunyi daripada 'ombak semangat' penyokong, hari ini SDA kembali berombak seperti zaman kegemilangan sebelum ini. Penyokong Hijau Kuning begitu gembira dengan kemenangan ke atas Selangor malam ini. Begitu juga reaksi kegembiraan yang ditunjukkan oleh pemain setelah tamat perlawanan. Kedah menewaskan Selangor 1-0, hasil jaringan penalti pemain import, Safi setelah Kyrill Muhymeen dijatuhkan di dalam kotak penalti ketika Kedah nelancarkan serangan ke pintu gol Selangor. Sebelum itu, Kedah telah pun mendapatkan sepakan penalti apabila pemain import pertahanan Selangor menampan bola dengan tangan di depan pintu gol Selangor hasil tandukan pemain import Kedah, Hamidan. Namun sepakan penalti yang diambil oleh Badrul tersebut terkena tiang gol.

Kedah pada malam ini bermain dengan pelbagai formasi, mula-mula kelihatan seperti bermain dengan formasi 4-1-3-2, kadang-kadang seperti 5-3-2, seperti juga 3-5-2. Strategi ini ternyata mengelirukan lawan.

Dari segi persembahan individu, Thiru rasa perlu terus digilap sebagai pemain pertahanan tengah kerana beliau ada kelebihan dari segi kelajuan yang jarang-jarang ada pada pemain pertahanan tengah. Kyrill perlu bermain dengan lebih baik lagi, kerana nampak agak malas merampas dan mencabar bola daripada pemain lawan. Badrul bermain terlalu bersahaja, boleh merugikan pasukan kerana nampak macam tak ada kesungguhan. Sabree Abu perlu mencari posisi lain yang lebih sesuai. Amar pada malam ini agak baik jugak, kerap memotong bola pemain lawan. Hamidan paling teruk, peluang-peluang gol terbaik dipersiakan begitu sahaja.

Apa-apa pun tahniah kepada semua kerana kemenangan pertama Liga Super di Stadium Darulaman. Kedah-1 Selangor-0.