Selasa, 29 April 2008

BERPECAHKAH UMAT MELAYU MALAYSIA?

Berakhir sudah pilihanraya umum ke-12 dengan pelbagai kejutan dan perubahan telah dilakukan oleh rakyat Malaysia. Pelbagai pandangan dan tanggapan yang diberikan oleh pelbagai pihak di atas keputusan rakyat ini. Ada yang menyambut baik dan ada juga yang memandang sinis.

Kini, di pasca pilihanraya, setelah ulasan-ulasan keputusan PRU 12 dikemukakan, rakyat dihidangkan pula dengan pelbagai teori perpecahan umat Melayu. Mengapa teori ini timbul selepas PRU? Mengapa ia tidak timbul sebelum atau semasa kempen pilihanraya? Adakah keputusan PRU tersebut mengambarkan perpecahan orang Melayu? Bagaimana pula dengan keputusan-keputusan PRU sebelum ini? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengatakan orang Melayu berpecah? Dan yang paling utama, benarkah orang Melayu berpecah sebagaimana teori-teori yang dikemukakan?

Dari satu sudut, keputusan PRU yang lepas memperlihatkan bahawa kita sedang menuju ke arah perpaduan kaum di Negara ini. Bukankah ini yang menjadi agenda kerajaan sebelum ini untuk memebentuk perpaduan kaum dan bangsa Malaysia di kalangan rakyat. Masihkah kita ingat, sebelum ini kita disibukkan mengenai masalah perpaduan kaum terutamanya di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah sehingga kerajaan menghapuskan sistem kuota kemasukan ke IPT, membuka kepada kemasukan 10 peratus kalangan bukan bumiputera ke kolej-kolej Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Bukankah ini yang dicita-citakan oleh kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.

Bagi organisasi-organisasi pelajar di peringkat IPT pula, mereka digalakkan untuk memastikan setiap program yang hendak dilaksanakan menjurus kepada penglibatan pelbagai kaum sehingga ada program-program yang sukar diluluskan disebabkan tidak memenuhi keadaan tersebut. Tekanan-tekanan sebegini membawa kepada perubahan pemikiran mahasiswa yang bersifat lebih terbuka dan berdiplomasi dengan kaum lain. Kalau dahulu apabila hendak mengadakan program, kita hanya memikirkan kaum majoriti sahaja dalam organisasi kita sebagai sasaran kehadiran ke dalam program. Tetapi dengan tuntutan tersebut, organisasi pelajar lebih bersifat integrasi kaum.

Maka tidak hairanlah golongan muda hari ini kurang jelas dalam perjuangan kaum atau bangsa kerana mereka telah didesak, dimomokkan dan disuntik dengan keutamaan perpaduan kaum yang keterlaluan sebelum ini. Juga tidak hairan kalau suatu hari nanti golongan muda sudah tidak berjatidirikan Bahasa Melayu kerana ia sudah tidak dinobatkan sebagai bahasa ilmu secara mengejut.

Pandangan ini bukan bertujuan untuk menolak dasar perpaduan kaum yang diperkenalkan, tetapi biarlah dasar-dasar yang diperkenalkan bersifat sederhana dan tidak terlalu mendesak. Bayangkan apabila bercakap tentang perpaduan kaum di kalangan mahasiswa contohnya, mereka ditohmah bertalu-talu. Maka pihak pentadbiran IPT pun tergesa-gesa melaksanakan apa yang dibangkitkan. Mustahil dalam masa satu hari kita dapat mewujudkan keadaan tersebut. Sebenarnya ia memerlukan langkah berperingkat-peringkat dan berkesan untuk mengatasi keadaan tersebut.

Begitu juga masalah penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar yang apabila dibangkitkan, maka dihentam bertalu-talu. Akhirnya perubahan dasar tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains diputuskan dan dilaksanakan dengan tergesa-gesa. Persoalannya mengapa subjek Sains dan Matematik pula yang menjadi korban. Masalah yang timbul adalah penguasaan Bahasa Inggeris, sepatutnya kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris yang perlu diubah dan dikaji semula. Tetapi lain pula yang diubah. Adakah pimpinan negara tidak mengerti apa masalah yang timbul sehingga mengubah sesuatu yang bukan keutamaan kepada masalah tersebut.

Apa-apapun Bahasa Melayu telah hilang kredit sebagai bahasa ilmu akibat langkah tersebut. Kita tidak pasti samaada terdapat kajian yang mendalam yang dilakukan oleh pakar-pakar mengenai langkah tersebut. Tetapi apa yang kita dengar, cadangan dan perlaksanaan tersebut tidak sunyi daripada kritikan dan kebimbangan beberapa tokoh dalam pelbagai bidang. Sekarang timbul suara-suara daripada kalangan ahli UMNO sendiri yang merupakan teras kepada kerajaan BN supaya dikaji semula langkah tersebut. Langkah tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Melayu yang dipelopori oleh UMNO.

Langkah kerajaan BN meminggirkan identiti Melayu tersebut sebenarnya hanya mengurangkan sentimen Melayu dalam diri orang Melayu. Apa tidaknya, pemimpin Melayu lebih mengutamakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di bumi orang Melayu sendiri. Begitu juga soal berpakaian, kita memakai pakaian yang diperkenalkan oleh Barat dalam urusan harian, contohnya pakaian kerja. Mengapa tidak kakitangan kerajaan termasuk menteri-menteri terutamanya memakai pakaian kebangsaan iaitu Baju Melayu lengkap dengan samping sebagai pakaian ditempat kerja sebagaimana Y.A.B Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (MB Kelantan). Bukankah ini pakaian orang Melayu?

Sememangnya tanggungjawab kerajaan untuk mempertingkatkan martabat bangsa Melayu ke tahap yang lebih baik. Tetapi biarlah perubahan dasar yang hendak dilakukan itu didahului dengan kajian yang mendalam dalam pelbagai sudut dan mendengar pandangan daripada pelbagai pihak. Juga tidak perlu menyentuh perkara yang menjadi identiti dalam perubahan tersebut. Menggunakan pendekatan yang sederhana dan berperingkat-peringkat, bukan tergesa-gesa dan mendesak sebagaimana sekarang. Pendekatan secara sederhana membolehkan semua pihak lebih memberikan fokus dan memahami tentang apa yang dikehendaki daripada perlaksanaan dasar yang baru dan perubahan yang dilakukan selepas itu pula boleh menjadi pengukuh kepada dasar yang sedia ada. Contohnya, perpaduan Melayu dikukuhkan dengan perpaduan kaum. Tidakkah itu lebih harmoni dan cantik untuk dilihat.

Berbalik kepada keputusan PRU 12, secara peribadi ia adalah perterjemahan daripada keputusan-keputusan kerajaan yang berkaitan perpaduan kaum sebelum ini. Apa-apapun tahniah kepada kerajaan BN kerana apa yang digariskan dalam perlaksanaan dasar yang berkaitan sebelum ini mencapai hasratnya. Jadi tidak perlu melenting dan marah kepada orang Melayu dengan perubahan yang dibuat dalam keputusan PRU yang lepas. Ini semua hasil daripada dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan BN.

Melihat kepada pola pengundian golongan muda khasnya, mereka lebih terbuka dalam memberi undi. Mereka boleh mengundi calon daripada pelbagai kaum asalkan calon itu disukai dan membawa sesuatu yang kepada mereka. Orang Melayu berani mengundi orang bukan Melayu, begitu juga orang bukan Melayu berani mengundi Orang Melayu. Hal ini terbukti dengan kemenangan besar pembangkang di kawasan bercampur-campur. Ini boleh disimpulkan yang mereka menuju ke arah perpaduan kaum yang lebih luas. Tetapi bagaimanapun bagi orang Melayu ia agak tempang kerana tidak didasari dengan perpaduan dalaman Melayu yang kukuh. Inilah keadaan yang dihasilkan oleh pimpinan Melayu dalam kerajaan BN yang berkepentingan sempit dan tidak telus dalam mengubal dan melaksanakan dasar kepada orang Melayu.

Pola pengundian sebeginilah yang meruntuhkan penguasaan besar BN sebagai kerajaan dan dalam masa yang sama melonjakkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang yang kuat. Maka ia disimpulkan oleh sesetengah pihak yang terdesak sebagai perpecahan Melayu. Benarkah Melayu berpecah. Secara peribadinya, tidak nampak perpecahan ketara dikalangan orang Melayu. Yang kelihatannya rakyat semakin menunjukkan kematangan dalam perbezaan ideologi politik. Apa yang kita dengar sebelum mengenai pulau memulau majlis kenduri dan kematian di kampung-kampung hanyalah kes terpencil yang diperbesarkan atas kepentingan politik pihak yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya berapa banyak kampung yang mengahadapi masalah tersebut, hanya beberapa peratus saja. Tetapi yang nyatanya, soal pengagihan bantuan kerajaan samaada dalam bentuk subsidi atau kewangan menjadi masalah utama yang menimbulkan penindasan politik kepada golongan yang menyokong pembangkang. Itupun hasil penerapan fahaman politik yang ketara yang mengenepikan sifat kemanusian.

Jika direnung kembali, adakah peristiwa yang menimbulkan perpecahan Melayu?Apakah perbezaan antara UMNO dan PAS itu dimaksudkan sebagai perpecahan Melayu? Adakah perpecahan besar UMNO sebelum ini seperti kes Tengku Razali Hamzah dan Anwar Ibrahim dianggap sebagai perpecahan Melayu? Adakah dengan mewujudkan satu parti Melayu sahaja boleh mengatasi perpecahan Melayu? Kalau begitu, parti mana yang perlu dibubarkan? Hanya PAS dan UMNO sahaja yang boleh dianggap parti dominan Melayu. Jadi wujudkah perpecahan Melayu? Yang ada cumanya perbezaan politik yang perlu terus dibaiki dan dibajai supaya menghasilkan situasi menang-menang dalam perbezaan tersebut.

Hakikatnya kita sebenarnya tidak jelas tentang perpecahan Melayu yang dimaksudkan. Cuma yang jelas wujud perbezaan politik yang kurang matang sebelum ini sedang menuju ke arah kematangan. Perbezaan politik ini sebenarnya boleh diwujudkan persefahaman antara parti sekiranya semua pihak dapat mengenepikan prejudis sesama mereka. Oleh itu, wajarlah kita bergerak ke arah persefahaman tersebut yang natijahnya adalah perjuangan Melayu yang menguntungkan rakyat.

Tiada ulasan: