Jumaat, 2 Mei 2008

REMAJA : MENGAPA ME‘REMPIT’ ?


Ketika ini, isu rempit merupakan isu yang paling hangat dibincangkan dan diperdebatkan oleh segenap lapisan masyarakat, dari peringkat kanak-kanak hinggalah kepada golongan emas. Dari meja dapur hinggalah ke dewan parlimen, perkataan rempit diangkat dan dipopularkan oleh masyarakat. Kupasan yang hanya tinggal kupasan, tanpa disertai dengan tindakan akhirnya menyebabkan isu ini menjadi muak dan basi. Oleh itu perlunya satu tindakan mengesan sebab mereka menjadi sedemikian dan seterusnya menyegerakan pencegahan serta pembasmian.

Kehidupan kini, kita disibukkan dengan pembasmian kemiskinan, dan adalah wajar pembasmin gejala rempit disertakan sekali supaya fenomena yang boleh mengakibatkan kemiskinan budaya dan adab ini dapat kita cegah daripada bermaharajalela. Biarpun gejala ini telah sampai ketahap yang sukar dibendung, kalau dlihat seluruh pelosok Negara telah subur dengan gejala ini, namun ia tetap menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mencegahnya. Pencegahan dan pembasmian sebenarnya perlulah didahului dengan kajian punca gejala ini berleluasa supaya kita dapat menfokuskan kepada sasaran yang sebenarnya dan menggunakan strategi yang berksan dan menepati. Kajian dari sudut psikologi ataupun pendapat amatlah mustahak dititiberatkan kerana masalah ini sebenanya bermain antara psikologi individu dan hubungan sesama manusia, iaitu berlingkaran dikalangan manusia.

Jika diamati, golongan remajalah yang mengisi keseluruhan posisi kumpulan-kumpulan rempit. Mereka sebenarnya sukakan cabaran yang menguji keberanian. Jalan raya adalah pentas mereka mempamerkan aksi dan memperagakan kebolehan dan keberanian. Selain itu, perasaan bosan terhadap suasana kehidupan sebenar yang menyelubungi mereka juga menyumbang penglibatan mereka dalam dunia rempit Bagi mereka dunia rempit merupakan suasana baru yang memerlukan penyertaan mereka dan memahami kehendak hati mereka.

Hari ini, Ibubapa seolah-olah diselebungi sindrom kurang keyakinan untuk mengawal kelakuan anak-anak mereka sehingga menyerahkan hampir seratus peratus kepada anak-anak untuk menentukan masa depan mereka. Perasaan takut menegur kerana bimbang menyakiti hati anak-anak atau didakwa atas kesalahan melakukan penderaan menjadi penghalang kepada ibubapa untuk berperanan dalam keluarga. Istilah memukul atau merotan dengan tujuan membetulkan keadaan oleh ibubapa wajar dibezakan dengan situasi penderaan kerana kita bimbang ibubapa akan lebih kurang berperanan menangani gejala ini.

Selain itu, sikap masyarakat yang kurang mempeduli apa yang berlegar disekeliling mereka menjadi penyumbang penyuburkan gejala ini mengembangkan pengaruhnya. Sikap membisu masyarakat seolah-olah merelakan dan merestui gejala ini berlaku tanpa melakukan apa-apa tindakan selain hanya menghangatkan isu ini di warung-warung kopi sahaja sebagai alas berhujah. Oleh itu masyarakat harus kembali berperanan dengan menghidupkan budaya tegur-menegur yang telah lama hilang. Tidak ada perkataan ‘sudah terlambat’ dalam kehidupan bermasyarakat untuk mengatasi masalah sosial seperti ini kerana istilah seperti akan menyebabkan remaja-remaja kita semakin hanyut dalam dunia yang tidak bererti.

Fungsi pergerakan dakwah melalui peranan NGO pula tidaklah terlalu menyeluruh dalam menangani gejala seperti ini kerana kebanyakan mereka hanya berlegar dikalangan yang mengerti sahaja dan kesampingkan golongan yang memerlukan. Oleh itu kita amat mengharapkan sasaran dakwah haruslah diperluaskan kepada golongan yang memerlukan seperti remaja yang terlibat dengan gejala rempit ini. Peranan berkesan yang dimainkan oleh pergerakan dakwah amat diyakini dan diharapkan kerana boleh memberi impak yang positif dalam diri individu hidup bersosial dan bermasyarakat jika mereka benar-benar memainkan fungsi ini.

Dalam menangani gejala ini keterlibatan mahasiswa amat dituntut kerana pendekatan yang menepati golongan remaja disebabkan faktor usia yang tidak jauh berbeza memudahkan pergaulan. Sebagai golongan yang digelar intelek, mahasiswa harus memainkan peranan membantu usaha-usaha untuk memulihkan keadaan ini. Peluang melalui kem-kem motivasi atau kepimpinan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak samada pihak sekolah, sektor koporat atau sebagainya harus digunakan untuk menyedarkan golongan remaja daripada pelbagai budaya yang mendatangkan musibah kepada diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Mahasiswa harus bertindak menyedarkan dan memulihkan keadaan sahabat-sahabat kita diluar kampus. Dengan kelebihan nikmat ilmu yang dikurniakan oleh Allah S.W.T menjadikan kita sebagai golongan yang seharusnya bertindak menangani keadaan ini. Kegagalan kita untuk bertindak beerti mengkhianati kelebihan nikmat ilmu yang dianugerahkan.

Tiada ulasan: