Pada PRU yang sebelum ini, kebanyakkan rakyat kurang melihat tawaran pilihanraya atau manifesto daripada parti-parti politik yang bertanding. Di situ kita boleh simpulkan bahawa wujud keyakinan dan harapan yang tinggi kepada sesebuah parti yang memerintah. Dan juga, wujud anggapan bahawa berjayanya kawalan psikologi yang digerakan oleh media arus perdana yang dikuasai oleh parti yang memerintah.
Namun begitu, berlaku juga siri-siri kejutan dalam beberapa pilihanraya yang lepas. Ia berlaku bukanlah disebabkan oleh 'tawaran pilihanraya' tetapi disebabkan oleh beberapa isu yang berlaku dengan tiba-tiba. Termasuklah juga pengaruh tokoh-tokoh politik yang dulunya daripada parti pemerintah yang berani menentang arus, contohnya Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Bermula pada PRU 12, rakyat sudah semakin bijak menilai 'tawaran pilihanraya', walaupun ketika itu masih wujud pengaruh yang kuat oleh karisma dan dinamika Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pada masa itu terdapat tawaran pilihanraya yang utama untuk menurunkan harga minyak yang kita tak pernah dengar tawaran sebegitu sepanjang PRU yang sebelum ini yang cukup menarik perhatian rakyat. Pada masa itu rakyat mula memikirkan tawaran-tawaran pilihanraya yang ditawarkan walaupun masih dipengaruhi oleh harapan yang tinggi kepada parti pemerintah untuk menjamin masa depan kehidupan mereka. Kebanyakan rakyat juga masih menunggu tawaran balas daripada parti pemerintah berkaitan tawaran tersebut. Tetapi apa yang ditawarkan adalah rakyat ditakutkan dengan fakta-fakta yang diada-adakan dan dipaksakan kepada rakyat untuk menerimanya. Rakyat mula berfikir, satu tawaran memberi jalan dan satu tawaran memberi alasan. Pepatah melayu amat berbekas disini, 'dimana ada kemahuan, disitu ada jalan'. Pepatah ini menjadi inspirasi kepada rakyat menyanggah fakta-fakta parti pemerintah. Akhirnya sebahagian rakyat secara senyap memilih untuk menerima tawaran tersebut.
Pada PRU 13 yang akan datang, 'tawaran pilihanraya' dijangka akan menjadi pertimbangan utama rakyat untuk membuat keputusan parti mana yang akan diangkat menjadi pemerintah. Semakin ramai rakyat sudah mula mempertimbangkan secara serius tawaran-tawaran pilihanraya daripada parti pemerintah dan parti pembangkang.
Baru-baru ini, pimpinan parti pembangkang telah membuat pelbagai tawaran-tawaran utama kepada rakyat, dan tawaran-tawaran yang menarik perhatian ramai ialah memansuhkan PTPTN dan sekaligus merintis kepada tawaran pendidikan percuma kepada rakyat. Satu lagi tawaran yang penting ialah mengulangi sekali lagi tawaran PRU 12 iaitu menurunkan harga minyak. Tawaran-tawaran ini akan menjadi indeks yang tinggi kepada parti pembangkang.
Pada masa ini juga, rakyat masih menanti tawaran balas daripada parti pemerintah. Jika terdapat tawaran balas yang baik dan menarik, ia akan menjadi persaingan yang sengit kepada kedua-dua pihak. Rakyat akan menilai tawaran-tawaran pilihanraya tersebut, dan rakyat akan memilih yang terbaik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan