Minggu lepas aku ada tengok sebuah dokumentari sejarah yang berjudul '55 Days - The Fall of Saigon'. Dokumentari ini menceritakan saat-saat akhir kejatuhan Saigon ke tangan tentera Vietnam Utara.
Ketika babak-babak akhir penguasaan Amerika ke atas Vietnam itu, pihak Amerika dan sekutunya kerajaan Vietnam Selatan mengatur pelbagai strategi untuk menyekat kemaraan tentera Vietnam Utara. Semasa penguasaan Amerika, rakyat Vietnam Selatan dipengaruhi secara psikologi bahawa Amerika tidak akan kalah di Vietnam, dan Amerika akan mempertahankan rakyat Vietnam Selatan. Jika Vietnam Utara berkuasa, mereka akan menyeksa rakyat Vietnam Selatan yang bekerja dengan Amerika. Psikologi seperti ini telah menyebabkan rakyat Vietnam Selatan takut kehilangan Amerika. Mereka menganggap Amerika adalah sahabat mereka. Amerika terus memberi kepercayaan bahawa mereka akan melindungi rakyat Vietnam Selatan.
Tetapi akhirnya, setelah Amerika menjangkakan bahawa mereka tidak mampu menyekat kemaraan Vietnam Utara, mereka mula lari meninggalkan rakyat Vietnam Selatan yang sebelum ini mereka berjanji untuk melindunginya. Ketika Amerika bergegas lari dari Vietnam Selatan ini, ramai rakyat Vietnam Selatan masih berharap Amerika akan melindungi mereka serta membawa mereka ke Amerika juga. Sehinggalah akhirnya kesemua rakyat Amerika lari, barulah mereka sedar bahawa mereka tidak boleh berharap lagi kepada Amerika. Dari situ mula timbul perasaan kecewa dan marah kepada Amerika.
Selepas itu, ketibaan tentera Vietnam Utara berlaku dengan aman. Tiada penyeksaan kepada rakyat Vietnam Selatan yang bekerja dengan Amerika. Yang berlaku, mereka yang berkenaan dihantar ke sekolah pemulihan. Segala dakwaan Amerika berkaitan kekejaman tentera Vietnam Utara ternyata meleset dan palsu semata-mata.
Apa yang penting disini, ialah bagaimana psikologi dimainkan untuk mempengaruhi rakyat sehingga rakyat tidak dibenarkan berfikir untuk menentukan pilihan mereka. Begitulah juga apa yang berlaku di Malaysia. Jika kita amati dan teliti betul-betul, kita akan jelas perkara ini berlaku bertahun-tahun lamanya.
*Ulasan ini bukan bermakna saya menyokong ideologi komunis, kerana tentera Vietnam Utara berideologi komunis. Tetapi apa yang hendak saya jelaskan ialah bagaimana permainan psikologi pihak berkuasa iaitu Amerika begitu mempengaruhi rakyat sehingga rakyat tidak mampu menilai kebaikan dan kekurangan pihak kerajaan dan pihak lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan