Selasa, 19 Mei 2009

TAHNIAH DAN TAKZIAH PIMPINAN BARU PERMADAH 09/10

Tahniah dan Takziah kepada pimpinan baru PERMADAH yang baru dipilih dalam AGM yang lepas. Tunaikan amanah yang diberikan oleh ahli-ahli dengan sebaik mungkin.

Walimatul Urus Mantan Pimpinan PERMADAH sesi 2006/2007

Mengumumkan majlis-majlis perkahwinan mantan pimpinan PERMADAH
sesi 2006/2007

1. Rodhiyah Ahmad - mantan Naib Presiden (HELWA) 06/07

Tarikh: 6 Jun 2009

Tempat: N0. 106 A, Kg. Kuala Jeneri, 08320 Sik, Kedah.

2. Hafizuddin Othman - mantan Bendahari 06/07

Tarikh: 7 Jun 2009

Tempat: Kg. Sawa Kechil, Pendang, Kedah.

3. Hamidah Abdullah - mantan Setiausaha Kerja 06/07

Tarikh: 6 Jun 2009

Tempat: Kg. Lebai Saman, Naka, Kedah.


Saya diwakilkan oleh beberapa orang mantan pimpinan PERMADAH sesi 2006/2007 untuk menjemput anda semua, ahli dan bekas ahli PERMADAH, terutamanya yang mengenali mereka, menghadiri Majlis Kenduri Perkahwinan yang mereka adakan di kediaman masing-masing.
Bersama-sama kita memeriahkannya.

Daripada:

Mantan Presiden PERMADAH Sesi 2006/2007

Jumaat, 27 Februari 2009

Sedekah 2, Cekik Darah 5... Bijak-Bijak...

Baru-baru ini kerajaan telah memansuhkan dua tol iaitu di Paza Tol Salak Jaya Lebuhraya Sg. Besi dan di Plaza Tol PJS Lebuhraya Pantai Baru. Tujuannya permansuhan tersebut adalah untuk meringankan beban rakyat. Maka ramailah yang memuji langkah kerajaan kita ini. Langkah yang bijak, kerajaan yang baik, bagus, tiada kerajaan yang prihatin macam ini. Memujilah orang kita sampai tak cukup saluran tv, tak muat dalam surat khabar.

Dua tiga hari kemudian, lima lebuhraya pulak diumumkan akan dinaikkan kadar tolnya iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).. Lima lebuhraya tu bukan hanya dua tol, tetapi banyak tol. Boleh bilang la berapa tol yang dinaikkan. Maka riuhla pulak orang kita. Hilang dah yang puji-pujian tadi. Tapi media kita bagus, yang kutuk-kutuk mereka tak siarkan, yang mereka siarkan hanya komen rintihan sahaja daripada rakyat. Sepatutnya siar sajalah yang kutuk-kutuk, yang marah-marah, barulah sedar sikit kerajaan.

Orang ramai marah dan terkilan, dalam menghadapi suasana kemeseletan ekonomi ini, kerajaan sanggup menambahkan lagi kemelesetan ekonomi poket rakyat. Kerajaan perlu fikir semula kerana rakyat sudah berkira-kira untuk mengubah posisi kerajaan yang ada ketika ini iaitu kerajaan Barisan Nasional daripada kerajaan kepada pembangkang. Ketika itu, jangan marahkan rakyat, kerana rakyat ingat sejarah maka rakyat tukar posisi kerajaan.

Ahad, 15 Februari 2009

Di Stadium Pula

Alhamdulillah...

Semalam berkesempatan bersama adik-adik PERMADAH menonton perlawanan bola sepak antara Kedah dengan UPB/My Team. Tambahan pula pasukan Kedah menang pula. Lagi la puas hati.

Walaupun berkesempatan untuk separuh masa pertama saja, tapi apa yang nak diceritakan disini ialah hubungan antara kami, umpama adik beradik. Inilah antara hikmah yang kita cuba cungkilkan daripada AK (Akademi Kepimpinan). Ukhwah yang kukuh sesama kita ahli-ahli PERMADAH.

Tahniah pelaksana AK.

Semalam apa yang penting, ialah dapat melihat ukhwah sesama adik-adik PERMADAH terutamanya peserta AK. Soal kemengan Kedah tu nombor 2.

Apa-apa pun tahniah untuk pasukan Kedah. Semoga juara lagi tahun ni....

Sabtu, 14 Februari 2009

PERTEMPURAN DI DUA BUKIT

Pada hari 13 Februari 2009, Surahanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah memutuskan untuk membenarkan pertempuran politik di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) di dua Bukit iaitu Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah pada 7 April 2009. Namun begitu persediaan untuk pertempuran tersebut iaitu pernamaan calon akan diadakan pada 29 Mac 2009.

Pertempuran di Bukit Gantang dibenarkan setelah Ahli Parlimen kawasan tersebut meninggal dunia akibat serangan sakit jantung. Manakala pertempuran di Bukit Selambau dibenarkan setelah ADUN kawasan terbabit meletak jawatan kerana kurang daya tahan dalam menghadapi tekanan politik.

Pertempuran di dua bukit ini akan menentukan halatuju dan arah baru politik negara bersandarkan situasi semasa yang sedang berlaku. Adakah Barisan Nasional akan kembali mendapat tempat dalam hati rakyat atau Pakatan Rakyat akan terus diberi keyakinan oleh rakyat untuk memimpin perubahan? Pertempuran di dua bukit ini yang akan menjadi medan penting bagi kedua-dua gabungan politik ini, seterusnya akan menjadi kawasan pertempuran paling sengit. Siapakah yang akan berjaya berkubu bukit-bukit ini? Rakyat yang akan menentukan.

Selasa, 10 Februari 2009

PERHIMPUNAN HARAM VS KERAJAAN HARAM

Seluruh unsur yang dipengaruhi Barisan Nasional telah melabelkan perhimpunan yang telah dan akan dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat sebagai tindak balas kepada suasana kecelaruan politik di Perak adalah ‘perhimpunan haram’. Manakala Pakatan Rakyat melabelkan kerajaan yang dibentuk oleh Barisan Nasional adalah ‘kerajaan haram’ kerana tindakan menghalalkan cara Barisan Nasional mencuri kerajaan yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat sebelum ini dengan cara yang menjijikkan.

Perhimpunan ialah sesuatu keadaan dimana terdapatnya beberapa orang berkumpul di sesuatu tempat atau kawasan. Perhimpunan itu boleh menjadi halal dan haram mengikut undang-undang Negara. Sesuatu perhimpunan dikatakan perhimpunan haram apabila tidak mempunyai permit atau kebenaran yang oleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk berhimpun. Kesalahan perhimpunan haram ialah tidak mempunyai permit. Permit yang menentukan halal atau haram sesuatu perhimpunan itu.

Secara umumnya, kerajaan ialah sesuatu pemerintahan yang bertindak untuk mentadbir rakyat dan segala keperluan rakyat atau segala yang berhubungkait dengan rakyat, yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya. Bermaksud kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya ialah kerajaan pilihan rakyat yang disah dibentuk. Walaupun wujud unsur yang mengaibkan dalam pengendalian pilihanraya seperti sogokan, namun kerajaan tersebut tetap dianggap sah kerana dipilih oleh rakyat, kecuali penyelewangan yang menipu dalam keputusan pilihanraya. Sesebuah kerajaan itu disifatkan haram apabila cara mendapatkan kuasa bagi membentuk kerajaan adalah diluar amalan demokrasi seperti rampasan kuasa dan lain-lain cara diklasifikasikan sebagai hina. Secara mudahnya, kerajaan haram dibentuk melalui cara mencuri kerajaan dari kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat. Haramnya sesebuah kerajaan ini ialah kerana kesalahannya mencuri kerajaan. Mencuri sudah tentunya haram dan bertentangan dengan fitrah manusia dan tatatusila setempat. Perkara yang dicuri haram dimakan dan digunakan. Maka kerajaan yang dibentuk dengan cara ini ialah kerajaan haram dan menggunakannya juga adalah haram.

Jadi haramnya sesuatu perhimpunan itu disebabkan tiadanya permit, manakala haramnya sesebuah kerajaan itu kerana kesalahannya mencuri kerajaan itu dari kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat. Kerajaan haram merancang untuk membentuk kerajaan yang haram, perhimpunan haram berusaha untuk menyekat kerajaan haram daripada dibentuk. Sememangnya perhimpunan itu haram, tetapi usahanya adalah untuk menyekat terbentuknya kerajaan haram. Haram digunakan untuk menyekat haram. Maka terjadilah pertembungan dua haram. Tetapi perlu diingat haramnya perhimpunan haram kerana permit, manakala haramnya kerajaan haram kerana mencurinya kerajaan daripada kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.

Yang manakah lebih haram? Haramkah perhimpunan haram? Atau, Haramkah kerajaan haram? Kalau ditanya Barisan Nasional, haramnya perhimpunan haram itu. Kalau ditanya Pakatan Rakyat, haramnya kerajaan haram itu. Kepada rakyat, mereka mesti tahu yang manakah yang haram antara kedua-dua haram ini supaya mudah bagi mereka menyingkirkan yang haram pada pilihanraya ke 13 nanti.

Jumaat, 6 Februari 2009

RAMPASAN KUASA

Tanggal 4 Februari, bermulanya satu detik hitam dalam sejarah negeri Perak apabila Kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya telah digulingkan oleh Barisan Nasional dengan amalan-amalan yang melanggar prinsip demokrasi dan mencabul prinsip keinsanan. Barisan Nasional dipercayai mengunakan pengaruhnya sebagai Kerajaan Persekutuan untuk menguasai semula negeri Perak, yang rakyatnya telah menumbangkan mereka pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Sikap tidak menghormati pilihan rakyat telah mendorong mereka melakukan perancangan untuk menggulingkan Kerajaan yang dipilih rakyat dengan cara yang tidak demokratik. Tindakan secara tidak demokratik ini amat mengaibkan dan bertentangan dengan amalan demokrasi. Tindakan ini juga telah mencemarkan maruah Negara di mata dunia, imej Malaysia yang menjunjung amalan demokrasi sebelum ini telah meleset sama sekali dengan tindakan tersebut.

Rampasan kuasa yang berlaku ini juga telah menafikan kehendak rakyat dan menghina pilihan rakyat. Rakyat telah bersusah payah dan berkorban segalanya dalam pilihanraya yang lalu untuk memastikan kerajaan yang diinginkan oleh rakyat memerintah, tetapi akhirnya setelah hampir sebelas bulan kerajaan pilihan rakyat ini digulingkan dan dirampas kuasa oleh Barisan Nasional yang menguasai kerajaan persekutuan. Semestinya rakyat berasa berdukacita, terhina dan dikhianati oleh golongan Barisan Nasional ini. Rata-rata rakyat yang menjunjung amalan demokrasi tidak dapat menerima apa yang berlaku ini dan berharap kerajaan pilihan rakyat akan kembali segera berkuasa.

Rakyat telah melihat tindakan rampasan kuasa yang berlaku diluar Negara sebelum ini telah berlaku di Negara ini. Apa bezanya rampasan kuasa yang berlaku di luar Negara dan rampasan kuasa yang berlaku di negeri Perak? Matlamatnya adalah sama untuk menjatuhkan atu menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi kaedah perlaksanaannya adalah berbeza. Di Malaysia rampasan kuasa lebih mudah dilakukan iaitu dengan mengumpan atau memujuk mana-mana wakil rakyat dengan majoriti untuk menyertai sesebuah perkumpulan politik, maka perkumpulan tersebut akan dapat menguasai pemerintahan di negeri atau Negara ini. Perkara ini adalah sesuatu yang serius yang boleh menjahanamkan Negara suatu ketika nanti jika dibiarkan ia berlaku hari ini dan akan datang.

Khamis, 5 Februari 2009

PENGUNDI MUDA: PERCATURAN JANGKA PANJANG

Sejak akhir-akhir ini, peranan golongan muda dilihat begitu penting dalam menentukan kemenangan sesuatu pakatan politik dalam pilihanraya di Malaysia. Daripada beberapa siri pilihanraya umum dan kecil kebelakangan ini menunjukkan sesuatu yang berbeza yang dilakukan oleh golongan muda. Mereka telah keluar daripada tradisi lama yang sebelum ini golongan muda dan golongan tua menyokong satu kumpulan politik yang sama. Tetapi kini, wujud perpecahan sokongan antara golongan muda dan golongan tua. Majoriti golongan muda berpihak kepada suatu pakatan politik, manakala golongan tua berpihak kepada suatu pakatan politik yang lain. Inilah suatu fenomena politik yang menarik untuk dilihat dan dibincangkan.

Mengimbas dan menganalisis PRU ke 12 yang lepas, pada ketika itu golongan muda telah secara senyap memberi sokongan (‘silent support’) kepada pakatan pembangkang atau lebih popular pada hari ini dengan nama Pakatan Rakyat. Sementara pada dua PRK yang baru berlalu pula, golongan muda ini tetap memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat tetapi kali ini dengan secara terang-terangan dan terbuka. Ini menunjukkan secara jelas gelombang perubahan golongan muda semakin melebar dan jelas.

Golongan muda kini sudah tidak dipengaruhi oleh pendirian politik ibu bapa mereka lagi. Mereka banyak menganalisis maklumat berkaitan perkembangan politik semasa yang sedang berlaku melalui aplikasi teknologi seperti laman web dan blog. Pandangan laman web dan blog yang kebanyakkannya bertentangan dengan laporan media arus perdana telah membuka minda mereka untuk menimbangkan maklumat-maklumat yang diperolehi dan seterusnya menetapkan pendirian terhadap sesuatu isu atau perkembangan yang berlaku tersebut. Ini telah membuka mata banyak pihak tentang kematangan politik generasi muda hari ini. Mereka tidak mudah digula-gulakan oleh mana-mana pihak, mereka boleh menilai yang mana yang boleh memberi keuntungan dan kebaikan kepada Negara dan yang mana yang akan menghancurkan masa depan Negara.

Perkembangan kematangan politik generasi muda ini telah mencetuskan satu suasana baru terhadap politik tanah air. Juga telah mencetuskan pelbagai pandangan oleh pelbagai pihak, ada yang menyambut baik perkembangan politik ini dan ada juga yang mencemuh perubahan tradisi generasi muda ini sehingga mengecam mereka dengan pelbagai label. Walaubagaimanapun, golongan muda ini tidak menghiraukan keceman tersebut kerana mereka yakin, perubahan yang dirintis dan pelopori oleh mereka ini akan mendatangkan kebaikan kepada masa depan mereka.

Ketegasan mereka dalam mempertahankan perubahan yang mereka bawa ini telah menyebabkan pihak-pihak yang mengecam mereka sebelum ini terpaksa mengkaji kehendak serta pandangan mereka terhadap politik semasa. Ini kerana pihak yang mengecam mereka sebelum ini menyedari tindakan kecaman tersebut telah menjauhkan lagi generasi muda ini dari mereka. Oleh itu, pihak tersebut menyedari pentingnya untuk merangka usaha memenangi pendirian politik generasi muda ini sebelum mereka menetapkan pendirian politik masing-masing yang akan sukar di ubah.

Seperti umum mengamati, kebanyakan generasi muda hari ini masih lagi belum menetapkan pendirian politik secara muktamad. Oleh itu mana-mana pihak yang berjaya meyakinkan mereka tentang perjuangan yang dibawa, ia adalah percaturan jangka panjang. Jika pendirian tersebut kukuh mereka berpotensi besar menyumbangkan kemenangan sehingga 5 atau 6 kali pilihanraya. Oleh itu pentingnya bagi sesuatu pihak yang bertanding dalam pilihanraya memenangi keyakinan dan pendirian golongan muda ini.

PILIHANRAYA NEGERI ADALAH LEBIH BAIK

Dengan perbezaan kerusi yang kecil antara PR dan gabungan BN-Bebas iaitu 3 kerusi akan terus mewujudkan kerajaan yang tidak stabil. Bayangkan kegiatan lompat-melompat terus berlaku selepas ini kerana tidak mungkin PR akan berdiam diri dengan keadaan yang mengaibkan mereka seperti ini, berkemungkinan juga berlaku suasana kecewa dikalangan parti pemerintah selepas ini sehingga mendorong berlakunya lagi proses lompat-melompat ini, berlaku pula pilihanraya kecil akibat kematian wakil rakyat atau sebagainya yang dimenangi oleh parti pembangkang.

Andaian-andaian yang dintatakan di atas ini tidak mudah ditolak, kerana ia sangat mudah berlaku. Oleh itu, dalam mengatasi situasi yang tidak menentu akibat tindakan melompat parti oleh beberapa ADUN di Perak ini, pilihanraya di peringkat negeri wajar diadakan dengan kadar yang segera. Mungkin ada yang akan membangkitkan soal kos pilihanraya dan ditambah dengan keadaan ekonomi yang sedang menuju cepat ke arah kemeseletan. Tetapi persolan ini meleset sama sekali jika hendak dibandingkan dengan kepentingan mempunyai kerajaan yang stabil. Kerajaan yang stabil akan mewujudkan suasana yang tenang dikalangan rakyat dan sekaligus akan menggalakkan perkembangan ekonomi. Kerajaan yang stabil akan membawa ke arah penumpuan yang lebih terhadap pembangunan rakyat berbanding kerajaan yang tidak stabil yang akan melebihkan perhatian terhadap pengekalan kuasa pemerintahan.

Oleh itu, pilihan yang lebih baik ialah pilihanraya negeri diadakan semula. Jika pilihanraya negeri diadakan, ia memberi peluang sekali lagi kepada rakyat negeri Perak untuk membuat pilihan kerajaan dari kalangan parti mana yang kehendaki untuk memerintah. Rakyat wajar diberi peluang untuk membuat pilihan semula yang pastinya akan memuaskan hati semua pihak.

YANG BERMAIN DIFIKIRAN


1. Mungkinkah kemasukan ADUN Bota ke dalam PR sebelum ini merupakan sebagai perisik BN untuk mengetahui strategi PR? Ini kerana kemasukannya telah mempercepatkan kejatuhan kerajaan PR ini. Kemudiannya tindakannya melakukan U-turn telah menimbulkan pelbagai persoalan.

2. Tindakan PR mempercepatkan langkah untuk menyingkirkan ADUN yang ghaib seketika dengan tiba-tiba iaitu ADUN Behrang, ADUN Changkat Jering dan ADUN Jelapang dilakukan selepas mendapat keyakinan dengan kemasukan ADUN Bota ke dalam PR. Tindakan PR ini telah dijadikan alasan oleh ADUN-ADUN ghaib untuk menghalalkan langkah mereka meninggalkan PR dan mengaburi mata pengundi mereka serta menimbulkan simpati orang ramai.

3. Ramai yang percaya tindakan ADUN-ADUN ghaib menjadi wakil rakyat bebas hanyalah sementara bagi megaburi mata banyak pihak sebelum mereka menyertai BN.

4. BN telah berjaya sebanyak tiga kali menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui tindakan melompat parti.

ADUN PERAK MAIN LOMPAT-LOMPAT

Amat malang bagi rakyat negeri Perak kerana diwakili oleh segolongan yang tiada pendirian yang tetap. Mereka sanggup mempermainkan harapan rakyat dengan mengambil langkah sumbang, melompat dari satu parti ke satu parti yang lain, seumpama sang katak yang melompat-lompat, sehingga menimbulkan suasana politik yang berkeceramuk di negeri Perak. Suasana yang telah distabilkan sebelum ini telah dinyahstabilkan oleh golongan ini. Golongan inilah orang yang bertanggungjawab mencetuskan suasana tersebut di negeri Perak.

Mereka tanpa segan silu dan dengan rasa gembira mengumumkan pengkhianatan mereka terhadap amanah rakyat. Mereka sebelum ini dipilih untuk mewakili kawasan mereka atas dasar sebagai wakil kepada suatu parti politik yang dipercayai oleh majoriti rakyat di kawasan tersebut. Tindakan ini amat mengaibkan dan sukar diterima oleh majoriti rakyat.

Jika berelaku suatu pilihanraya selepas ini, nescaya rakyat Perak akan menolak pemimpin yang tiada pendirian seperti ini. Tindakan seperti lalang dan katak ini adalah sebagai tanda mereka telah menyediakan kubur untuk mengebumikan karier politik mereka masing-masing. Rakyat secara umumnya tidak mahu pemimpin seperti ini dan mereka juga merasa malu dipimpin oleh golongan ini.

Dah lama tak menulis…

Perkembangan semasa dari segi politik Negara, politik kampus dan perkembangan semasa politik negeri Perak, sukan dan sebagainya telah membangkitkan semula semangat untuk berkongsi dan meluahkan pandangan di blog ini.
Apa yang di tulis ini hanyalah sekadar pandangan peribadi.