Jumaat, 6 Februari 2009

RAMPASAN KUASA

Tanggal 4 Februari, bermulanya satu detik hitam dalam sejarah negeri Perak apabila Kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya telah digulingkan oleh Barisan Nasional dengan amalan-amalan yang melanggar prinsip demokrasi dan mencabul prinsip keinsanan. Barisan Nasional dipercayai mengunakan pengaruhnya sebagai Kerajaan Persekutuan untuk menguasai semula negeri Perak, yang rakyatnya telah menumbangkan mereka pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Sikap tidak menghormati pilihan rakyat telah mendorong mereka melakukan perancangan untuk menggulingkan Kerajaan yang dipilih rakyat dengan cara yang tidak demokratik. Tindakan secara tidak demokratik ini amat mengaibkan dan bertentangan dengan amalan demokrasi. Tindakan ini juga telah mencemarkan maruah Negara di mata dunia, imej Malaysia yang menjunjung amalan demokrasi sebelum ini telah meleset sama sekali dengan tindakan tersebut.

Rampasan kuasa yang berlaku ini juga telah menafikan kehendak rakyat dan menghina pilihan rakyat. Rakyat telah bersusah payah dan berkorban segalanya dalam pilihanraya yang lalu untuk memastikan kerajaan yang diinginkan oleh rakyat memerintah, tetapi akhirnya setelah hampir sebelas bulan kerajaan pilihan rakyat ini digulingkan dan dirampas kuasa oleh Barisan Nasional yang menguasai kerajaan persekutuan. Semestinya rakyat berasa berdukacita, terhina dan dikhianati oleh golongan Barisan Nasional ini. Rata-rata rakyat yang menjunjung amalan demokrasi tidak dapat menerima apa yang berlaku ini dan berharap kerajaan pilihan rakyat akan kembali segera berkuasa.

Rakyat telah melihat tindakan rampasan kuasa yang berlaku diluar Negara sebelum ini telah berlaku di Negara ini. Apa bezanya rampasan kuasa yang berlaku di luar Negara dan rampasan kuasa yang berlaku di negeri Perak? Matlamatnya adalah sama untuk menjatuhkan atu menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi kaedah perlaksanaannya adalah berbeza. Di Malaysia rampasan kuasa lebih mudah dilakukan iaitu dengan mengumpan atau memujuk mana-mana wakil rakyat dengan majoriti untuk menyertai sesebuah perkumpulan politik, maka perkumpulan tersebut akan dapat menguasai pemerintahan di negeri atau Negara ini. Perkara ini adalah sesuatu yang serius yang boleh menjahanamkan Negara suatu ketika nanti jika dibiarkan ia berlaku hari ini dan akan datang.

Tiada ulasan: