Selasa, 10 Februari 2009

PERHIMPUNAN HARAM VS KERAJAAN HARAM

Seluruh unsur yang dipengaruhi Barisan Nasional telah melabelkan perhimpunan yang telah dan akan dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat sebagai tindak balas kepada suasana kecelaruan politik di Perak adalah ‘perhimpunan haram’. Manakala Pakatan Rakyat melabelkan kerajaan yang dibentuk oleh Barisan Nasional adalah ‘kerajaan haram’ kerana tindakan menghalalkan cara Barisan Nasional mencuri kerajaan yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat sebelum ini dengan cara yang menjijikkan.

Perhimpunan ialah sesuatu keadaan dimana terdapatnya beberapa orang berkumpul di sesuatu tempat atau kawasan. Perhimpunan itu boleh menjadi halal dan haram mengikut undang-undang Negara. Sesuatu perhimpunan dikatakan perhimpunan haram apabila tidak mempunyai permit atau kebenaran yang oleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk berhimpun. Kesalahan perhimpunan haram ialah tidak mempunyai permit. Permit yang menentukan halal atau haram sesuatu perhimpunan itu.

Secara umumnya, kerajaan ialah sesuatu pemerintahan yang bertindak untuk mentadbir rakyat dan segala keperluan rakyat atau segala yang berhubungkait dengan rakyat, yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya. Bermaksud kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya ialah kerajaan pilihan rakyat yang disah dibentuk. Walaupun wujud unsur yang mengaibkan dalam pengendalian pilihanraya seperti sogokan, namun kerajaan tersebut tetap dianggap sah kerana dipilih oleh rakyat, kecuali penyelewangan yang menipu dalam keputusan pilihanraya. Sesebuah kerajaan itu disifatkan haram apabila cara mendapatkan kuasa bagi membentuk kerajaan adalah diluar amalan demokrasi seperti rampasan kuasa dan lain-lain cara diklasifikasikan sebagai hina. Secara mudahnya, kerajaan haram dibentuk melalui cara mencuri kerajaan dari kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat. Haramnya sesebuah kerajaan ini ialah kerana kesalahannya mencuri kerajaan. Mencuri sudah tentunya haram dan bertentangan dengan fitrah manusia dan tatatusila setempat. Perkara yang dicuri haram dimakan dan digunakan. Maka kerajaan yang dibentuk dengan cara ini ialah kerajaan haram dan menggunakannya juga adalah haram.

Jadi haramnya sesuatu perhimpunan itu disebabkan tiadanya permit, manakala haramnya sesebuah kerajaan itu kerana kesalahannya mencuri kerajaan itu dari kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat. Kerajaan haram merancang untuk membentuk kerajaan yang haram, perhimpunan haram berusaha untuk menyekat kerajaan haram daripada dibentuk. Sememangnya perhimpunan itu haram, tetapi usahanya adalah untuk menyekat terbentuknya kerajaan haram. Haram digunakan untuk menyekat haram. Maka terjadilah pertembungan dua haram. Tetapi perlu diingat haramnya perhimpunan haram kerana permit, manakala haramnya kerajaan haram kerana mencurinya kerajaan daripada kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.

Yang manakah lebih haram? Haramkah perhimpunan haram? Atau, Haramkah kerajaan haram? Kalau ditanya Barisan Nasional, haramnya perhimpunan haram itu. Kalau ditanya Pakatan Rakyat, haramnya kerajaan haram itu. Kepada rakyat, mereka mesti tahu yang manakah yang haram antara kedua-dua haram ini supaya mudah bagi mereka menyingkirkan yang haram pada pilihanraya ke 13 nanti.

Tiada ulasan: