Sejak akhir-akhir ini, peranan golongan muda dilihat begitu penting dalam menentukan kemenangan sesuatu pakatan politik dalam pilihanraya di Malaysia. Daripada beberapa siri pilihanraya umum dan kecil kebelakangan ini menunjukkan sesuatu yang berbeza yang dilakukan oleh golongan muda. Mereka telah keluar daripada tradisi lama yang sebelum ini golongan muda dan golongan tua menyokong satu kumpulan politik yang sama. Tetapi kini, wujud perpecahan sokongan antara golongan muda dan golongan tua. Majoriti golongan muda berpihak kepada suatu pakatan politik, manakala golongan tua berpihak kepada suatu pakatan politik yang lain. Inilah suatu fenomena politik yang menarik untuk dilihat dan dibincangkan.
Mengimbas dan menganalisis PRU ke 12 yang lepas, pada ketika itu golongan muda telah secara senyap memberi sokongan (‘silent support’) kepada pakatan pembangkang atau lebih popular pada hari ini dengan nama Pakatan Rakyat. Sementara pada dua PRK yang baru berlalu pula, golongan muda ini tetap memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat tetapi kali ini dengan secara terang-terangan dan terbuka. Ini menunjukkan secara jelas gelombang perubahan golongan muda semakin melebar dan jelas.
Golongan muda kini sudah tidak dipengaruhi oleh pendirian politik ibu bapa mereka lagi. Mereka banyak menganalisis maklumat berkaitan perkembangan politik semasa yang sedang berlaku melalui aplikasi teknologi seperti laman web dan blog. Pandangan laman web dan blog yang kebanyakkannya bertentangan dengan laporan media arus perdana telah membuka minda mereka untuk menimbangkan maklumat-maklumat yang diperolehi dan seterusnya menetapkan pendirian terhadap sesuatu isu atau perkembangan yang berlaku tersebut. Ini telah membuka mata banyak pihak tentang kematangan politik generasi muda hari ini. Mereka tidak mudah digula-gulakan oleh mana-mana pihak, mereka boleh menilai yang mana yang boleh memberi keuntungan dan kebaikan kepada Negara dan yang mana yang akan menghancurkan masa depan Negara.
Perkembangan kematangan politik generasi muda ini telah mencetuskan satu suasana baru terhadap politik tanah air. Juga telah mencetuskan pelbagai pandangan oleh pelbagai pihak, ada yang menyambut baik perkembangan politik ini dan ada juga yang mencemuh perubahan tradisi generasi muda ini sehingga mengecam mereka dengan pelbagai label. Walaubagaimanapun, golongan muda ini tidak menghiraukan keceman tersebut kerana mereka yakin, perubahan yang dirintis dan pelopori oleh mereka ini akan mendatangkan kebaikan kepada masa depan mereka.
Ketegasan mereka dalam mempertahankan perubahan yang mereka bawa ini telah menyebabkan pihak-pihak yang mengecam mereka sebelum ini terpaksa mengkaji kehendak serta pandangan mereka terhadap politik semasa. Ini kerana pihak yang mengecam mereka sebelum ini menyedari tindakan kecaman tersebut telah menjauhkan lagi generasi muda ini dari mereka. Oleh itu, pihak tersebut menyedari pentingnya untuk merangka usaha memenangi pendirian politik generasi muda ini sebelum mereka menetapkan pendirian politik masing-masing yang akan sukar di ubah.
Seperti umum mengamati, kebanyakan generasi muda hari ini masih lagi belum menetapkan pendirian politik secara muktamad. Oleh itu mana-mana pihak yang berjaya meyakinkan mereka tentang perjuangan yang dibawa, ia adalah percaturan jangka panjang. Jika pendirian tersebut kukuh mereka berpotensi besar menyumbangkan kemenangan sehingga 5 atau 6 kali pilihanraya. Oleh itu pentingnya bagi sesuatu pihak yang bertanding dalam pilihanraya memenangi keyakinan dan pendirian golongan muda ini.