Khamis, 2 Februari 2012

Terkenang

Malam ini sebenarnya aku nak 'study' tentang microsoft project. Tapi entah macam mana aku terbaca tentang post yang lama-lama. Satu demi satu aku lihat balik. Terkenang aku di zaman universiti dahulu dan sekaligus teringat tentang sahabat-sahabat seperjuangan dahulu. Semakin jauh dan terlalu jauh aku dengan mereka.

Aku buka dan lihat blog sahabat-sahabat, walaupun mereka lama tak update. Teringat aku semasa dahulu. Tersentuh dan terasa di hati. Seorang demi seorang terbayang di fikiran. Aku memang terasa terlalu jauh dengan mereka. Walaupun ada yang dekat sahaja dengan aku, tapi aku terasa berat untuk menziarahi mereka. Kalau diikutkan keterbatasan waktu, memang masa aku agak terhad, tapi aku masih ada masa terluang kalau aku mahu menziarahi mereka. Aku jugak boleh menghubungi mereka jika aku mahu, bertanya khabar dan keadaan. Mereka juga selalu online dalam fb. Entah la, apa yang membuatkan aku berat dan menghalang aku untuk melakukan perkara yang baik ini. Mungkin juga kerana mereka telah berjaya dan berkeluarga, tetapi aku juga yang bergembira dengan dengan peningkatan hidup mereka dahulu. Mungkin aku terasa terlalu berbeza dengan mereka. Ya aku terasa berbeza dengan mereka, walaupun dahulu pernah bersama. Tetapi aku tetap ingat akan mereka dan detik-detik yang pernah dilalui. Aku tak lupa.

PERMADAH...
Penerokaan aku malam ni, terus membawa aku mengenangkan PERMADAH, sebuah persatuan mahasiswa yang aku pernah bermain di dalamnya. Banyak kenangan aku disini. Kenangan suka dan duka. Kenangan cabaran dan dugaan. Kenangan pengalaman dan kematangan. Persatuan yang mengajar aku tentang organisasi dan silaturahim.

Aku lihat blognya yang dah agak lama aku tak lihatnya. Nampak cantik dan kreatif. Walaupun blog ni dibangunkan oleh sesi selepas aku. Agak-agak aku orang yang berjasa besar membangunkan blog ini adalah saudara Hafizuddin (pak din), setiausaha ketika itu, antara sahabat rapat aku. Dia agak mendepani tentang IT ketika itu, mungkin jugak kerana dia mengambil jurusan IT. Baru berkahwin tahun lepas.

Terpandang aku tentang budaya PERMADAH di dalam blog itu. Ada lagi, fikir ku. Budaya PERMADAH ni kami konsepkan supaya ia menjadi halatuju yang jelas. Sebenarnya budaya ini dah diamalkan ketika itu, cuma ia diangkat menjadi konsep pada sesi itu. Satu lagi, ada beberapa budaya ini telah diubahsuai oleh sesi selepas kami, mungkin untuk disesuaikan dengan cabaran ketika sesi tersebut. Maksudnya budaya PERMADAH sekarang bukanlah versi yang pertama dahulu. Perubahan tu tak banyak sangat, hanya ada beberapa 'point' sahaja yang berubah. Yang lain adalah masih yang versi pertama. Tetapi budaya ini boleh diubah sebenarnya berdasarkan cabaran dan keadaan yang dihadapi oleh sesi masing-masing. Ia bukan lah statik.

Yang lain-lain, program yang diperkasakan dan diangkat ketika itu seperti Akademi Kepimpinan(AK), Dewan Induksi Kepimpinan(DIK), Diskusi Ilmiah(DI), aku pun tak tahu apa statusnya, masih wujud ataupun tidak. Terserahlah kepada kebijaksanaan kepimpinan sesi masing-masing.

Satu lagi, aku tak sempatkan nak habiskan perbincangan tentang 'melonjakkan PERMADAH sebagai sebuah gerakan perjuangan mahasiswa'. Kesal jugak la, usaha sekerat jalan, tak sempat habiskan kerana aku mula melalui fasa hidup yang lain. Tapi aku percaya kepimpinan PERMADAH selepas-selepas itu punyai idea yang hebat untuk membawa PERMADAH.

Dalam teringatkan PERMADAH ni, aku teringin jugak nak tahu apa perkembangan sebenar PERMADAH sekarang. Tapi apakan daya, aku dah semakin jauh dari semua itu.

Tiada ulasan: