Jumaat, 20 Jun 2008

BALAK DI KEDAH

Setelah 100 hari Negeri Kedah disisihkan daripada media arus perdana, kini serangan mula ditujukan kepada Kerajaan Negeri Kedah. Pelbagai isu mula dimanipulasikan sebagai senjata untuk mengalihkan tumpuan rakyat kepada isu besar sekarang iaitu kenaikan harga minyak, disamping sebagai bantuan kepada pembangkang negeri. Antara isunya adalah tiada perubahan apa-apa sejak pentadbiran baru mengambil alih, kewujudan jawatan baru dalam KHTP dan isu balak. Serangan media ke atas Kerajaan Negeri Kedah mempunyai dua kemungkinan iaitu sama ada hendak memberi maklumat kepada rakyat atau mahu menjadi isu yang boleh menjejaskan perspeksi rakyat kepada kerajaan negeri. Apa-apa pun kemungkinan daripada tumpuan itu, rakyat sudah sedia maklum sekian lama mengenai tindak tanduk media-media berkenaan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat dan rakyat mempunyai pandangan kepada kemungkinan itu.

Di antara isu-isu tersebut, isu balak berisiko menjadi isu yang popular kerana ia dianggap agak sensitif. Oleh itu penjelasan yang detail dan munasabah perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri bagi menjamin kelangsungan pemerintahannya. Isu balak boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi menjejaskan imej kerajaan negeri. Perkara ini juga mudah meresap ke dalam pemikiran rakyat. Sememangnya rakyat agak sensitif dengan isu alam sekitar, tetapi daripada pemerhatian, isu alam sekitar seperti pembalakan ini tidak memberi impak yang besar dalam pemilihan rakyat sewaktu pilihanraya. Walaubagaimana pun langkah penjagaan imej perlu juga digerakkan untuk mencerminkan kelicinan kerajaan negeri dalam menguruskan negeri.

Secara peribadi, hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan pembalakan tersebut bagi menjana kewangan negeri wajar disokong. Ini kerana sumber hutan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T wajar digunakan dengan sebaik-baiknya untuk keperluan rakyat. Kita menyakini kerajaan yang ada adalah kerajaan yang telus dalam menguruskan perkara berkenaan. Tindakan ini sekurang-kurangnya tidak menjebak kerajaan ini dalam hutang dan lebih baik daripada menekan kehidupan rakyat melalui cukai yang dikenakan. Ini menunjukkan kerajaan yang baru memahami konsep dan peranan sebagai kerajaan.

Mengenai isu yang mengaitkan pembalakan ini dengan alam sekitar dan bekalan air, ia dapat dielakkan sekiranya segala peraturan atau protokol yang sebenar dapat dipatuhi. Kita tidak wajar membandingkan perancangan kerajaan baru dengan pengalaman kerajaan lama dan kerajaan yang berkepentingan yang masih ada. Ini kerana kerajaan baru mempunyai kredibiliti yang cukup diyakini sehingga rakyat berani memilih mereka sebagai kerajaan walaupun mereka tiada pengalaman sebagai kerajaan. Ini cukup jelas kerajaan yang baru diyakini kredibiliti dan mempunyai sikap bertanggungjawab. Oleh itu kerajaaan ini wajar disokong dan dipertahankan.

Kepada rakyat, jangan mudah terpengaruh dengan pandangan yang menutup kebenaran. Kerajaan negeri bukannya hendak melaksanakan pembalakan secara menyeluruh sehingga tiada lagi simpanan hutan sebagai tadahan air. Apa yang ingin dilakukan membalak secara berkala mengikut tahun dan ini tidak menjejaskan tadahan air secara ketara. Kerajaan sebenarnya melaksanakan pengurusan efektif dengan sumber. Sumber yang banyak jika tidak diuruskan dengan efektif tidak memberi kelebihan. Tetapi jika sumber-sumber ini dapat diletakkan pada kedudukan yang tepat akan mendatangkan hasil yang lumayan.

Tiada ulasan: