Khamis, 26 Jun 2008

BEBAN KEWANGAN DAN KORIDOR EKONOMI

Perlancaran koridor atau wilayah ekonomi suatu ketika dulu yang memerlukan peruntukan berbilion-bilion memberi harapan kepada rakyat. Rakyat dijanjikan dengan kenaikan taraf dan kualiti hidup. Lumrah bagi golongan rakyat yang terhimpit akibat pembangunan dan agihan kekayaan yang tidak seimbang mengharapkan sinar harapan yang lebih gemilang. Namun begitu jumlah peruntukan besar yang diperlukan untuk melaksanakan perkara tersebut sedikit sebanyak menimbulkan persoalan bagi golongan yang prihatin. Dari sumber mana hendak diperoleh peruntukan tersebut memandangkan perkiraan secara kasar ia membebankan kewangan negara.

Bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang nama barunya ialah Iskandar Malaysia yang memerlukan kos RM 47 bilion. Diikuti dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) memerlukan kos RM 177 bilion, Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER) memerlukan kos RM 112 billion, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) memerlukan kos RM 105 bilion dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Pembangunan wilayah ekonomi tersebut mengakibatkan beban terhadap kewangan negara. Lazimnya perbelanjaan perlu dikeluarkan dahulu sebagai modal dan keuntungan atau matlamat akan tercapai dalam jangka masa yang panjang. Dalam soal pembangunan atau wilayah ekonomi seperti ini, memberi keyakinan kepada pelabur adalah penting. Selalunya pelabur akan melihat potensi sesuatu kawasan sama ada diyakini ataupun tidak. Jika pelabur masih kabur dengan potensi sesuatu kawasan tersebut, dalam konteks ini pihak kerajaan perlu membuktikan potensi sesuatu kawasan itu dengan memulakan langkah membangunkannya dahulu dari sudut potensi. Langkah membangunkan potensi sesuatu kawasan itu memerlukan modal permulaan yang perlu ditanggung kerajaan. Oleh itu kerajaan perlukan perbelanjaan tambahan yang memberi beban kepada kewangan negara. Beban kewangan perlu diuruskan dengan baik dan kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan pindaan peruntukan kewangan yang akhirnya membawa kepada kecelaruan dan tekanan. Peruntukan untuk perkara-perkara lain terpaksa dipindah-dipindah untuk menampung kelompangan kewangan yang wujud.

Secara dasarnya rakyat Malaysia menyokong pembangunan Wilayah Ekonomi yang akan dilaksanakan, tetapi sikap kerajaan yang tergesa-gesa mengejar pembangunan sehingga menyaksikan kelima-lima Wilayah Ekonomi diwujudkan serentak akan memberi kesan dari sudut yang lain. Kerajaan tidak dapat menampung peruntukan kewangan untuk membangunkan wilayah-wilayah ekonomi tersebut secara serentak. Lebih baik ia dilaksanakan sekadar kemampuan dengan kedudukan kewangan sedia ada.

Penerimaan rakyat terhadap perancangan Wilayah Ekonomi ini dibayar dengan harga yang mahal. Kerajaan terpaksa menaikan harga minyak ekoran keadaan kewangan yang terhimpit. Salah satu sebab yang kewangan negara berada dalam keadaan yang sedemikian ialah kerajaan terpaksa memperuntukkan kewangan kepada Wilayah Ekonomi untuk membangunkan potensi kawasan berkenaan terlebih dahulu. Ditambah lagi dengan kos bahan binaan dan lain-lain lagi. Kedudukan kewangan seperti ini memaksa kerajaan menarik balik sebahagian subsidi minyak untuk menampung perbelanjaan perkara yang lain seperti makanan dan sebagainya, atau dengan istilah perstrukturan subsidi minyak.

Sepatutnya kerajaan mempunyai sumber-sumber lain untuk menjana kewangan sedia ada, bukan mengurangkan peruntukan atau subsidi kepada rakyat. Kerajaan harus memahami peranan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab memberi keselesaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Realiti apa yang dilakukan kerajaan ialah memindahkan beban yang ditanggung kepada rakyat. Dengan erti kata lain rakyat berkhidmat untuk kerajaan bukan kerajaan berkhidmat untuk rakyat ataupun rakyat perlu bersusah payah untuk kerajaan. Ini amat bertentangan dengan konsep kerajaan yang berkebajikan untuk rakyat.

Oleh itu, kerajaan perlu menilai kembali perancangan-perancangan kerajaan yang diluar kemampuan supaya pemindahan beban seperti tidak berlaku lagi. Biarlah perancangan yang strategik dengan keperluan rakyat. Tidak perlu terlalu bermewah-mewah dalam pembangunan sehingga berlaku ketidakseimbangan dalam agihan kekayaan dan terdapat golongan yang tercicir, iaitu perlu jaminan rakyat dapat menikmati apa yang dibangunkan.

Tiada ulasan: