PTPTN adalah isu utama bagi warga kampus yang terus diperkatakan dan diperbincangkan semenjak kewujudannya. PTPTN diwujudkan untuk mengantikan fungsi biasiswa yang diberikan kepada golongan bumiputera yang layak melanjutkan pengajian di universiti. Namun begitu kewujudan PTPTN telah mewujudkan bersama suara-suara bantahan terutamanya daripada golongan mahasiswa. Suara-suara bantahan ini telah menversikan nada perjuangan mahasiswa dalam isu PTPTN ini.
Terdapat pelbagai versi yang menyentuh tentang PTPTN dan peranan yang dimainkan. Secara umumnya terdapat 2 versi yang popular tentang PTPTN yang sering diketengahkan oleh mahasiswa dalam mana-mana pun perbincangan yang melibatkan mereka. Pertamanya ialah 'menghapuskannya dan sekaligus mengembalikan semula biasiswa'. Versi ini mungkin agak keras bagi sesetengah pihak kerana ia lebih memperlihatkan penentangan secara total terhadap keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan ini. Namun begitu, bagi pihak mahasiswa yang prihatin dan sedar, perkara ini menjadi salah satu elemen perjuangan yang perlu diperjuangkan. Ini kerana hak mahasiswa bumiputera khasnya adalah biasiswa seperti yang dinikmati oleh generasi yang terdahulu dan bukannya pinjaman (PTPTN) seperti sekarang. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh golongan mahasiswa ini adalah satu tindakan yang ingin mendapatkan semula hak yang dicabut.
Bagi versi yang satu lagi ialah berkaitan tentang 'penghapusan caj tiga peratus PTPTN'. Versi ini dinilai sedikit lunak daripada versi yang pertama tadi. Versi ini dilihat diperjuangkan sebagai backup kerana terlalu sukar untuk mencapai versi yang pertama dengan kerajaan yang sedia ada. Namun begitu versi kedua lebih diterima secara terbuka oleh semua mahasiswa. Ini kerana caj yang dikenakan ternyata membebankan dan memberi kesan tambahan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ekoran kenaikan harga pelbagai barangan. Hakikat yang terjadi hari ini, memberi point tambahan merelevankan perjuangan penghapusan caj tiga peratus ini.
Rata-rata mahasiswa mengakui caj yang dikenakan membebankan mereka. 'Dah la biasiswa ditukar kepada pinjaman, kena caj tiga peratus pulak'. Itulah antara luahan kebanyakkan mahasiswa yang sedar dan prihatin. Kerajaan perlu mendengar suara mahasiswa dengan menghapuskan caj tersebut. Jangan susahkan mahasiswa dengan sesuatu yang tidak sepatutnya, kelak akan hilang rasa hormat mahasiswa. Mereka terasa tertindas di negara sendiri dan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada pembangunan negara.
Kini ditambah pula dengan beberapa peraturan baru yang mewajibkan mereka membayar pinjaman tersebut setelah beberapa bulan tamat belajar walaupun masih tidak mempunyai kerja. Semua ini perlu dikaji semula dengan meletakkan suasana dan keadaan mahasiswa secara keseluruhannya kerana bukan semua mahasiswa berasal daripada golongan berada. Mereka mempunyai beberapa tanggungjawab terutamanya kepada keluarga yang perlu dilaksanakan. Membebankan mereka perkara seperti ini adalah tidak wajar.
Mungkin tanpa disedari Malaysia akan muncul antara negara yang mempunyai rakyat yang paling banyak berhutang. Bayangkan kebanyakkan yang masuk universiti akan menjadi penghutang. Selangkah ke alam universiti bermakna selangkah ke alam hutang. Kini penghutang telah menjadi label baru kepada mahasiswa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan