Selasa, 24 Jun 2008

HARGA TIKET FINAL PIALA FA MAHAL

Perlawanan akhir Piala FA telah berlalu dengan barisan muda skuad hijau kuning bergaya mempertahankan kejuaraan menewaskan skuad merah kuning dengan jaringan 3-2. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang merencanakan kejuaraan pasukan Kedah tersebut. Kejayaan mereka turut serta diraikan oleh peminat-peminat setia yang sanggup bersusah payah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi, merempuh perjalanan jauh dan membayar harga yang lebih untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Namun dalam merayakan kemenangan, ramai dikalangan penyokong-penyokong bola sepak tempatan terutamanya penyokong hijau kuning yang merintih ekoran kenaikan harga tiket perlawanan tersebut. Perkara ini menimbulkan persoalan atas tindakan pihak berkenaan yang seolah-olah mendera penyokong-penyokong bola sepak. Tergamaknya pihak tersebut menambahkan beban kepada penyokong-penyokong bola sepak yang dihimpit dengan kenaikan harga minyak dan barang. Adakah pihak tersebut tidak prihatin dengan perkembangan semasa negara? Tidakkah pihak tersebut membayangkan perjalanan penyokong-penyokong Kedah yang datang dari jauh dengan terpaksa mengahadapi kenaikan harga minyak dan membayar tol. Apakah alasan menaikan harga tiket tersebut?

Tindakan berkenaan sangat tidak wajar dan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada perkembangan bola sepak tanah air. Dalam masa bola sepak negara mengalami era kejatuhan ini, tindakan berkenaan boleh menjejaskan minat rakyat untuk memberi sokongan kepada perkembangan bola sepak negara. Mungkin perkara yang terjadi telah mematahkan semangat segelintir penyokong pasukan bola sepak untuk memberi sokongan secara langsung. Penyokong perlu dijaga supaya terus memberi sokongan bukan dipergunakan atau dikenakan untuk mengaut keuntungan. Bola sepak harus ada jalinan antara pasukan dan peminat, tanpa salah satu daripadanya hilanglah warna warninya.

Sepatutnya mereka lebih memikirkan cara mengembalikan sokongan peminat kepada bola sepak negara dengan cara menguruskan pasukan bola sepak sengan baik sehingga mutu permainan dan prestasi pasukan bola sepak negeri mahupun kebangsaan kembali berada pada paras yang terbaik. Selain itu, penting juga mereka menawarkan insentif -insentif kepada pelbagai pihak supaya memberi sokongan kepada pasukan bola sepak terutamanya kepada peminat-peminat dengan memastikan harga tiket yang munasabah dan tidak membebankan. Jangan hanya berfikir untuk melepas batuk ditangga sahaja, fikirlah secara jujur untuk memajukan bola sepak negara.

Tiada ulasan: