Jumaat, 6 Jun 2008

UCAPAN DASAR PRESIDEN PERMADAH SESI 2006/2007

MUQADDIMAH

Assalamualaikum W.B.T.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, pembawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia. Selawat dan salam juga kepada para tabi’in, aulia dan ambia’ yang bersama-sama menegakkan kesucian agama Islam yang akan terus menyinari bumi dan seluruh isi alam ini.

Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmatNYA dapat kita berkumpul dan berhimpun di dewan ini untuk kita sama-sama bermesyuarat, berbincang, berbahas, melaksanakan tugas sebagai mahasiswa berjiwa persatuan dan bermuhasabah atas segala perkara yang kita eksperimenkan untuk kebaikan pergerakan dan perjuangan mahasiswa Kedah di Universiti Malaya ini melalui wadah Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH).

AGM kita kali ini diadakan dalam suasana umat Islam seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul. Disamping kita ber‘AGM’, sama-samalah kita menghayati semangat perjuangan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W sebagai seorang pemimpin umat yang ulung. Saya berharap dengan semangat Maulidur Rasul ini kita, akan lebih-lebih bersungguh-sungguh dan beriltizam dalam melakukan gerak kerja.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Sebelum saya meneruskan AGM ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa AGM dari segenap peringkat atas kesungguhan dan komitmen bagi menjayakan AGM PERMADAH pada kali ini. Dengan sumbangan dan kerja kuat anda semua dapatlah kita mengadakan AGM ini walaupun kita dalam keadaan sedang disibukkan dengan ‘assignment’ dan ditambah lagi dengan suasana yang begitu hampir dengan ‘final exam’. Namun mereka tetap setia menyumbang bakti demi melihat masa depan PERMADAH yang lebih gemilang. Inilah yang membuktikan semangat pengorbanan yang tinggi yang ada dalam jiwa mereka.Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat, mahasiswa mahasiswi dalam AGM PERMADAH pada kali yang ke 30 ini. Kehadiran ini melambangkan semangat perpaduan, persahabatan dan kesetian yang mengukuhkan persatuan kita untuk terus memacu perjuangan memimpin masa depan mahasiswa.

Insyaallah kita akan membuka peluang seluas-luasnya untuk ahli-ahli PERMADAH menilai kerjabuat kami pimpinan PERMADAH sepanjang sesi ini. Sama-sama kita saling tegur-menegur dan memperbetulkan apa yang salah semoga dapat menjadi iktibar kepada kami dan kepimpinan yang akan datang.


PENGENALAN RINGKAS PERMADAH

Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya atau lebih sinonim dengan ringkasan PERMADAH merupakan sebuah organisasi yang berteraskan Negeri Kedah Darul Aman atau lebih dikenali dengan jolokan Jelapang Padi. PERMADAH telah ditubuhkan pada 8 Julai 1976 atas inisiatif beberapa mahasiswa Kedah yang mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan dan perkembangan sosial anak-anak Kedah di Universiti Malaya ini. Atas dasar keprihatinan inilah, mereka telah berusaha menggerakkan seluruh anak-anak Kedah mengikat silaturahim yang erat sesama mereka supaya kebajikan dan sosial mereka terbela dan terjaga. Prinsip inilah yang menjadi asas kepada tujuan PERMADAH ditubuhkan dan meneruskan kesinambungan perjuangannya.

‘Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti’, seperti persatuan atau organisasi yang lain, begitu jugalah fenomena yang dialami oleh PERMADAH sepanjang kewujudan di Universiti Malaya. Sudah menjadi suratan pemimpin datang dan pergi silih berganti meneruskan kesinambungan keaslian perjuangannya. Walaupun menerapkan gaya kepimpinan yang berbeza, namun mereka tetap memegang prinsip yang sama dan saling hormat menghormati. Merekalah yang menjadi tonggak yang membawa PERMADAH kekal dalam landasan gerakan mahasiswa dan menjadi asas kebersamaan dan perpaduan sesama ahli. Sumbangan idea dan tenaga mereka amat bermakna kepada PERMADAH kerana merekalah yang mencorakkan sejarah PERMADAH dengan tinta warna warni. Tanpa usaha dan perjuangan mereka, belum tentu kita dapat bernaung dibawah wadah yang indah pada hari ini. Usaha dan pengorbanan mereka ini perlulah kita hargai dengan memastikan PERMADAH terus mengukir gemilang.

Pimpinan terdahulu telah banyak berusaha meletakkan PERMADAH di koordinat yang betul, mereka telah banyak menganjurkan pelbagai program yang melangkui sempadan uinversiti dan PERMADAH itu sendiri. Festival Nasyid, Konvensyen Mahasiswi Darul Aman, Seminar Kerjaya dan pelbagai program khidmat bakti masyarakat menjadi petunjuk atau bukti peranan dan kesungguhan pimpinan dan seluruh ahli-ahli PERMADAH terdahulu. Program-program yang melibatkan mahasiswa dari pelbagai IPT sangat berjaya dilangsungkan dan inilah yang menjadi ‘level point’ kemampuan kita sekarang. Kejayaan mereka perlulah dijadikan contoh untuk kita lebih bersemangat dan bergerak maju kehadapan.


PERMADAH 30 TAHUN

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Bersyukur juga kita kerana semasa kepimpinan ini genapnya usia PERMADAH 30 tahun. Alhamdulillah kita ditakdirkan Allah S.W.T untuk berada dan memimpin PERMADAH ketika tiga dekad menempuh ranjau perjuangan di Universiti Malaya ini. Setelah 30 tahun mengharungi liku-liku perjuangan di Universiti Malaya ini, kita sepatutnya lebih matang, berani dan bijak dalam mendepani cabaran dan merungkai rintangan.
Sebagai salah satu persatuan yang memainkan peranan penting di Universiti Malaya ini, kita perlu terus bergerak gagah kehadapan dengan menonjolkan imej dan teladan yang baik. Dalam hal ini pelbagai program yang telah kita laksanakan sepanjang sesi sebagai satu sambutan penubuhan PERMADAH yang ke 30 tahun walaupun tiada program khas untuk sambutan tersebut dbuat. Kita meletakkan PERMADAH 30 TAHUN sebagai latar belakang dalam setiap program yang kita laksanakan. Antara projek-projek yang telah dilaksanakan ialah PRODUKSI, Interaksi Darul Aman (IDAMAN), Gerai Konvo, Ihya Ramadhan, Sukan PERMADAH (SUPER), Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) dan Malam Mengukir Budi.

Untuk pengetahuan semua pihak, sepanjang cuti semester yang lalu kita disibukkan pelbagai program motivasi atas jemputan pelbagai pihak yang dikendalikan oleh Kelab Fasilitator PERMADAH sabagai koordinator kita. Perkara ini telah menjadi kebiasaan bagi kita dan kita mengjangkakan perkara yang sama yang akan berlaku pada cuti semester ini. Oleh itu saya mengharapkan ahli-ahli PERMADAH dapat turut serta membantu dan meyumbangkan tenaga dan idea untuk kebaikan semua pihak.


MENJANA USAHA MEMACU PERUBAHAN

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Didalam usaha kita untuk memacu perubahan, kita telah memperkenalkan satu visi untuk menjadikan PERMADAH bukan sekadar persatuan tetapi sebagai salah satu gerakan mahasiswa yang memainkan peranan yang aktif membela kebajikan mahasiswa dan rakyat. Kita menjadikan sesi ini sebagai titik mula dan pencetus ke arah kejayaan visi tersebut. Visi tersebut ialah untuk ‘Melonjakkan PERMADAH sebagai sebuah gerakan perjuangan mahasiswa yang mengimbangi dan mengharmonikan elemen-elemen kemahasiswaan dan kemasyarakatan’. Apa yang kita hendaklah laksanakan ini tidak mungkin akan dapat kita capai dalam masa yang singkat. Kita meletakkan jangkamasa untuk kita mula mencapai hasil yang diharapkan. Oleh itu kita berusaha mempersiapkan ahli-ahli PERMADAH ke arah itu melalui pelbagai aktiviti dalaman yang kita laksanakan sepanjang sesi ini.

Untuk merealisasikan visi itu, kita telah menetapkan beberapa misi yang boleh memangkinkan kejayaan perlaksanaannya. Yang pertamanya, kita perlu mewujudkan ikatan atau ukhwah dikalangan ahli-ahli PERMADAH dengan berpaksikan ilmu sebagai medium utama. Hal ini boleh dilakukan dengan memperkasakan aktiviti Diskusi Ilmiah dikalangan ahli-ahli di pelbagai peringkat. Pada sesi ini tumpuan kita adalah lebih memfokuskan kepada ahli-ahli tahun pertama. Disamping itu, ikatan ukhwah ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai saluran yang lain tanpa mengenetepikan ilmu sebagai paksi. Misi ini kita ringkaskan sebagai
Ukhwah Keilmuan.

Yang keduanya, kita memfokuskan soal pembinaan kepimpinan samaada dari sudut individu dan kumpulan. Matlamat kita ialah untuk membentuk kepimpinan berprestij yang bertunjangkan gerakkerja berpasukan dengan menghikmahkan segala kekuatan dan membudayakan kebersamaan antara pimpinan dan ahli dalam melaksanakan amanah serta menempuh cabaran. Ini kerana kita menyedari bahawa sesebuah organisasi akan bergerak mengikuti peranan yang dimainkan oleh kepimpinannya. Oleh itu, pentingnya kepimpinan yang ada menyediakan ahli-ahli PERMADAH yang berwibawa mewarisi perjuangan.

Yang ketiganya,
Ekonomi Keusahawanan. Kita perlu janakan ekonomi persatuan berasaskan kegiatan keusahawanan seperti menghasilkan beberapa produk-produk yang boleh diniagakan kepada ahli-ahli dan pihak-pihak lain. Penekanan dari sudut pemupukan minda usahawan harus dipasakkan kepada ahli-ahli supaya ia menjadi satu imej baru kepada ahli-ahli persatuan.

Yang keempatnya,
perjuangan kebajikan yang merangkumi semua pihak samaada mahasiswa mahupun masyarakat. Ini boleh dilakukan dengan memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan soal kebajikan rakyat samaada melalui media ataupun menghantar memorandum bagi membuktikan bahawa golongan mahasiswa begitu prihatin terhadap apa yang menimpa masyarakat kini. Jika dilihat pada hari ini, masih ada lagi masyarakat yang dicengkam dengan kemiskinan. Selain itu, keadaan gejala sosial dikalangan remaja yang semakin membimbangkan dan berlakunya beberapa bencana yang menimpa negara kita. Ini semua adalah peluang untuk persatuan mahasiswa melaksanakan tanggungjawabnya.

Yang kelimanya, kita mahupun kreativiti dalam melaksanakan kegiatan luar seperti sukan, kebudayaan, rekreasi dan lain-lain. Ini kerana kita mahu dilihat sebagai pencipta kelainan dalam program rehlah tersebut. Inilah yang kita namakan sebagai Rehlah Kreatif. Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Selain visi dan misi tersebut, kita juga telah memperkenalkan Lapan Budaya PERMADAH untuk dijadikan garis panduan berorganisasi di dalam PERMADAH. Yang pertamanya kita menekankan semangat
kekeluargaan sesama ahli PERMADAH, keduanya; kita menegaskan prinsip bersahabat dengan lain-lain persatuan atau organisasi, ketiganya; bersifat adil dalam melakukan sesuatu samaada melalui perbuatan atau perkataan, keempatnya; melaksanakan amalan jimat cermat atau belanjawan yang berhemah dalam setiap program, kelimanya; BPR dalam tindakan iaitu bersikap berani, pantas dan rajin dalam melakukan sesuatu tindakan, keenamnya; membudayakan nasihat dan berbincang dalam menyelesaikan sesuatu, ketujuhnya; menimbulkan suasana bermaafan dalam persatuan, kelapannya; menekankan soal amanah dan bertanggungjawab atas sesuatu yang diamanahkan kepadanya.


BUKAN SEKADAR PERSATUAN TETAPI GERAKAN PERJUANGAN

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Dengan asas-asas yang diletakkan ini, kita meyakini PERMADAH mampu menjadi sebuah gerakan mahasiswa jika mendapat sambutan dan sokongan yang padu dari kalangan ahli. Gerakan yang ingin dibentuk selepas ini perlu melangkaui sempadan universiti dan mahasiswa. PERMADAH perlu menjadi golongan yang prihatin terhadap nasib rakyat yang terpinggir terutamanya di Kedah yang mana kita semua menyedari masih wujud lagi kemiskinan di Kedah. Hal-hal inilah yang kita boleh perjuangkan disamping dapat membantu kerajaan lebih peka terhadap kebajikan rakyat yang kadang-kadang mereka terlepas pandang. Kita juga mahu menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan Kedah.

Ingin saya tegaskan disini, gerakan dan perjuangan yang dimaksudkan ini sebenarnya adalah untuk menjadikan kita sebagai mahasiswa yang berperanan dan bertanggungjawab terhadap kebajikan dari sudut sosial dan kemasyarakatan. Kita tidak mahu jadi mahasiswa yang pentingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang menimpa masyarakat disekelilingnya. Kita mahu mahasiswa kembali aktif sebagai pejuang sosial sebagaimana tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu. Kita sebenarnya sedang mengalami kelesuan dari sudut semangat dan penyertaan aktif kedalam persatuan mahasiswa. Mahasiswa semakin kurang berminat untuk berpersatuan, ini boleh dilihat daripada kehadiran yang hadir sewaktu program. Atas sebab itu kita perlu mengubah lanskap didalam taman PERMADAH ini supaya mahasiswa kembali aktif didalam persatuan khasnya PERMADAH.


PERMADAH SEBAGAI PUSAT ILMU BERORGANISASI

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Menghadapi realiti hari ini, suasana dan tuntutan organisasi telah banyak mengalami perubahan dan pergerakan yang mana kita tidak boleh ketinggalan atau mengecualikan daripada mengikuti pergerakan tersebut. Kegagalan kita berbuat demikian akan mengakibatkan kita tiada nilai atau semakin dipinggirkan arus semasa. Dunia hari ini merupakan dunia ilmu dan maklumat. Dalam menghadapi keadaan ini, PERMADAH bersiap sedia menjadi wadah atau pusat berorganisasi yang mempunyai kemampuan dan kekuatan membekalkan ahli-ahlinya dengan ilmu dan pengalaman berorganisasi. Kita mahu mengeluarkan ramai-ramai ahli-ahli PERMADAH yang berkemahiran dalam organisasi.

Untuk proses ini, pimpinan-pimpinan PERMADAH perlu bersedia dari segi mental dan fizikal menyediakan PERMADAH dalam suasana sebagai pusat untuk belajar dan sekaligus menimba penglaman dalam organisasi. Kita mahu ahli-ahli yang dikeluarkan oleh PERMADAH benar-benar memahami selok belok dalam organiasi. Ini dapat dilakukan dengan mendedahkan mereka dengan pelbagai program dalam PERMADAH dengan tunjuk ajar yang berkesan dari barisan pimpinan persatuan.

Dengan label sebagai pusat ilmu dan pengalaman berorganisasi ini, kita sebenarnya melengkapkan kehidupan mahasiswa-mahasiswa UM dengan satu cabang ilmu yang tidak disentuh atau ditekankan didalam kuliah-kuliah akademik. Inilah sebenarnya perkara yang menjadi kewajiban kepada kita sebagai persatuan pelajar untuk melengkapkan proses pendidikan di universiti.


PEMBANGUNAN AHLI DAN PEMERKASAAN PROGRAM

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Untuk memastikan kelangsungan kepimpinan dan perjuangan PERMADAH jangka panjang, pada sesi ini kita banyak menumpukan kepada sudut pembangunan ahli disamping memperkasakan program-program PERMADAH. Untuk pembangunan ahli kita melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat dalaman dari aspek keilmuan dan kepimpinan. Dari aspek keilmuan kita telah mencetuskan satu aktiviti yang kita gelarkan sebagai ‘Diskusi Ilmiah’. Walaupun menghadapi beberapa masalah dari segi komitmen tenaga penggerak, tetapi kita masih tetap mampu laksanakan. Dari sudut jangka panjang, Diskusi Ilmiah ini berpotensi menjadi satu medium untuk kita mengikat ukhwah dan berkongsi pengetahuan antara pimpinan, senior dan junior.

Dari aspek kepimpinan pula, kita telah mencetuskan Akademi Kepimpinan dan Dewan Induksi Kepimpinan untuk melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin mahasiswa yang berwibawa selain mendedahkan ahli-ahli PERMADAH dengan ilmu dan pengalaman dalam kepimpinan. Aktiviti seperti ini akan mendatangkan keuntungan PERMADAH dari sudut jangka panjangnya kerana kita dapat menyediakan ramai barisan palapes yang memahami selok belok PERMADAH. Kematangan mereka dalam PERMADAH boleh menjayakan agenda-agenda persatuan.


GELOMBANG PENERBITAN DAN MAKLUMAT

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Menyedari pentingnya kitaran maklumat didalam menyampaikan sesuatu kepada ahli-ahli PERMADAH, pihak pimpinan mengorak langkah menerbitkan risalah rasmi PERMADAH iaitu EDISI MEDIUM dan beberapa risalah-risalah yang lain. Risalah EDISI MEDIUM dikeluarkan untuk menerangkan dasar-dasar PERMADAH, projek-projek dan berkongsi pendapat dengan ahli-ahli PERMADAH. Risalah ini diedarkan ketika berlangsungnya projek-projek PERMADAH. Keluarannya telah berakhir pada bilangan yang ketujuh.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi risalah lain yang dikeluarkan oleh PERMADAH yang berperanan menerangkan dasar-dasar PERMADAH kepada ahli-ahlinya. Walau apa pun, penerbitan risalah-risalah kecil ini hanyalah sebagai permulaan untuk mencetuskan penerbitan berskala besar seperti majalah dan sebagainya. Kita mengharapkan riak risalah yang kecil ini akan mencetuskan gelombang penerbitan dan maklumat yang besar dalam PERMADAH selepas ini.


DANA KEBAJIKAN

Sahabat-sahabat mahasiswa Kedah yang dihormati.

Insyaallah, kita telah merangka perancangan untuk mewujudkan Dana Kebajikan Anak-anak Yatim PERMADAH sebagai salah satu saluran tetap untuk mengumpul kewangan program Motivasi Anak-anak Yatim (MOYATIM) yang kita akan jadikan ia sebagai program tahunan PERMADAH. Walaupun tujuan utamanya untuk menyokong kewangan program MOYATIM, tetapi ia juga boleh digunakan untuk pelbagai program lain yang berkaitan dengan kebajikan anak-anak Yatim seperti sumbangan hari raya, cenderahati lawatan mahasiswa ke rumah anak yatim dan sebagainya. Selain itu, kita juga akan mempertimbangkan peruntukan untuk menyalurkan sumbangan kepada anak-anak Yatim daripada kalangan ahli-ahli PERMADAH yang berkelayakan.

Untuk menjayakan matlamat ini, kita perlu berusaha mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak yang boleh membantu kita samaada daripada ahli-ahli perniagaan, professional dan orang awam. Selain itu, kita menagih sumbangan daripada alumni PERMADAH sebagai salah satu sumber tetap untuk dana kebajikan ini yang mungkin boleh dilakukan melalui potongan gaji RM 10 sebulan atau sebagainya.


HOSPITAL SULTANAH BAHIYAH

Sahabat-sahabat mahasiswa Kedah yang dihormati.

Disamping kita meneliti hal-hal yang berlaku berdekatan dengan kita, marilah menjengok tanah laman kita di Negeri Kedah Darul Aman. Apa yang ingin saya timbulkan disini ialah isu yang berkaitan dengan kelewatan operasi Hospital Sultanah Bahiyah. Untuk pengetahuan semua, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang terletak di Jalan Langgar, Alor Star, Kedah telah dimulakan pembinaannya pada 16 Ogos 2000 dan dijangka siap pada 15 Disember 2003 yang lalu. Namun setelah tiga tahun melewati tarikh tersebut HSB masih belum memulakan operasinya. Apa yang sering didengar ialah penangguhan demi penangguhan yang mana telah enam kali operasinya ditangguhkan.

Pembinaan HSB ini pada asalnya bertujuan menggantikan fungsi dan peranan yang sekian lama dimainkan oleh Hospital Alor Star (HAS) yang telah uzur dan semakin tidak sesuai dengan lokasi yang makin bertambah sibuk dan sesak di tengah-tengah pusat bandar. Tempoh kelewatan yang memakan masa lebih tiga tahun itu telah banyak membawa kesulitan kepada rakyat Kedah. Kesesakan ke laluan HAS, kekurangan tempat meletak kenderaan, kesesakan orang ramai kerana hospital yang kecil, kemudahan yang telah uzur dan ketidakselesaan telah lama dirintih oleh rakyat Kedah.

Melihat kepada realiti pembinaan hospital ini penangguhan operasinya sebanyak enam kali adalah di luar kewajaran dan kebiasaan projek yang melibatkan soal kebajikan dan kesihatan rakyat mengalami bilangan penangguhan sebegitu. Bagi kita sebagai mahasiswa, perkara yang berlaku ini adalah diluar kebiasaan proses pembinaan projek-projek di negara ini dan menimbulkan kehairanan ramai mengapa boleh dibenarkan penangguhan sebanyak itu yang mana berlarutan selama tiga tahun lebih. Secara tidak langsung ia turut mempersoalkan kewibawaan kementerian tersebut dalam melaksanakan misi kebajikan kerajaan untuk rakyat.

Bagi menunjukkan keprihatinan kita terhadap isu ini, kita atas nama Gabungan Mahasiswa Kedah telah menghantar satu memorandum melalui Pos kepada Kementerian Kesihatan bagi menyatakan bantahan kita sebagai mahasiswa dan rakyat Kedah terhadap kelewatan operasi tersebut. Antara yang kita tuntut dalam memorandum lima muka surat tersebut ialah:

1. Mulakan operasi Hospital Sultanah Bahiyah dengan segera.
Rakyat Kedah sepatutnya telah boleh menggunakan hospital tersebut tiga tahun yang lepas, tetapi terpaksa menunggu lima bulan lagi. Mengapa mengambil masa hingga lima bulan lagi untuk memulakan operasinya, tempoh ini agak lama. Kami percaya tempoh pemeriksaan ini boleh dipendekkan. Kepentingan kesihatan rakyat Kedah perlu diutamakan dahulu.

2. Pastikan Hospital Sultanah Bahiyah tidak mengalami apa-apa masalah setelah operasinya dimulakan nanti dalam jangka masa pendek.
Kami tidak mahu kejadian seperti yang menimpa sebuah hospital di Johor suatu ketika dahulu dimana ia terpaksa ditutup semula setelah beroperasi beberapa ketika akibat serangan kulat berulang di Hospital Sultanah Bahiyah. Pastikan pihak Kementerian Kesihatan dapat menjamin tiada masalah yang berlaku setelah hospital ini dibuka.

3. Tiada lagi pengunguman penangguhan mahupun penangguhan yang berkaitan dengan operasi Hospital Sultanah Bahiyah dibuat.
Setelah enam kali diasak dengan pengunguman penagguhan operasi hospital ini disebabkan masalah pembinaan yang turut melibatkan kegagalan Kementerian Kerja Raya, kami tidak mahu ada lagi pengunguman penanguhan operasi yang disebabkan masalah dalaman Kementerian Kesihatan. Jadikan penangguhan yang keenam itu adalah penangguhan yang terakhir.

4. Jadikan masalah yang berlaku ini sebagai pengajaran dan tiada lagi kelewatan operasi hospital-hospital baru di negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya.
Pastikan pihak berkenaan lebih telus dalam pemilihan pemaju atau kontraktor untuk membina hospital. Kami tidak mahu cakap retorik sahaja, buktikan bahawa tidak akan ada lagi masalah kelewatan pembinaan ini berulang. Pastikan kontraktor yang berkemampuan dari segenap segi termasuk kepakaran dipilih dalam pembinaan hospital bukan kontraktor yang berpengetahuan dalam pembinaan hotel atau pejabat mahupun warung kopi dipilih. Kami juga tidak mahu berlakunya lagi masalah dalam pembinaan dan operasi projek-projek kerajaan di Kedah terutamanya untuk sektor kesihatan yang boleh merencatkan kemajuan dan pembangunan di Kedah.

5. Kemukakan laporan terperinci berkaitan pembinaan dan penangguhan operasi Hospital Sultanah Bahiyah kepada umum.
Kami mahupun satu laporan terperinci dibentangkan kepada umum untuk diteliti dan diselidiki oleh masyarakat berkaitan kelewatan operasi hospital ini supaya rakyat dapat mengetahui perkara yang sebenar dan mereka dapat memahami perkara yang berlaku. Kami juga tidak mahu hal dikelirukan dari pandangan rakyat Kedah dengan adegan tuding-menuding antara Menteri Kesihatan dan Menteri Kerja Raya. Selain itu, dengan penangguhan pembinaan serta operasi dan penukaran kontraktor yang kerap, kami berkeyakinan tinggi kos pembinaan hospital telah meningkat. Oleh itu, kami juga menuntut supaya kos sebenar pembinaan hospital berkenaan didedahkan bersama laporan tersebut.


PALESTIN DIHATI PERMADAH

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihomati.

Didalam kita menggerakkan persatuan ini, kita tidak lupa untuk menyertakan sekali isu Palestin sebagai salah satu agenda yang kita perjuangkan. Memang kita tidak mampu untuk mengerahkan ahli-ahli kita ke Palestin malah kita juga kurang keupayaan untuk mengerakkan perhimpunan atau demontrasi bagi membuktikan komitmen kita terhadap agenda ini. Tetapi kita tetap melakukan sekadar yang kita mampu, kita mengambil bahagian dalam demontrasi pelajar yang dianjurkan oleh MPMUM baru-baru ini bagi membantah pencerobohan Israel ke atas Palestin dan Lubnan yang diadakan di university ini. Kita juga kerap kali menganjurkan solat hajat untuk kesejahteraan dan keamanan rakyat Palestin. Inilah yang kita mampu lakukan selain bertujuan mendoakan kesejahteraan di Palestin, kita sebenarnya ingin menarik perhatian menyedarkan ahli-ahli PERMADAH yang kebanyakan beragama Islam tentang keadaan yang sukar di Palestin. Sekurang-kurangnya kita tidak berdiam diri dalam hal ini, kita mengambil pendekatan meningkatkan kesedaran dalam diri ahli-ahli PERMADAH melalui usaha-usaha yang tak seberapa ini.

Kita juga menggunakan pendekatan dari sudut penerbitan dan multimedia untuk menyampaikan pandangan dan pendirian kita terhadap isu-isu Palestin kepada ahli-ahli PERMADAH. Pelbagai risalah yang kita keluarkan berkaitan hal ini semasa berlangsungnya projek-projek PERMADAH. Kerap kali juga kita menyelitkan artikel berkaitan Palestin di risalah rasmi yang kita keluarkan iaitu EDISI MEDIUM. Selain itu, kita melangkah setapak lagi dengan menerbitkan slide show berkaitan Palestin yang bertajuk Wajah-wajah Syuhada yang telah ditayangkan semasa berlangsungnya projek Ihya Ramadhan. Kita juga telah menyelitkan tayangan VCD berkaitan Palestin dalam salah satu slot di dalam program OPKIM. Inilah yang kita lakukan untuk memastikan PERMADAH bersama-sama perjuangan rakyat Palestin.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati,

Dalam melaksanakan program-program yang dirancang pelbagai dugaan dan rintangan yang terpaksa ditempuhi walaupun boleh dikatakan kita bergerak dalam keadaan selesa. Mari renung kembali bagaimana pimpinan sebelum kita begitu sukar menggerakkan persatuan ini dalam keadaan menghadapi tekanan yang amat hebat. Dalam keadaan begitu kita mampu bertahan membina kekuatan dalaman dan hasilnya kita berjaya mengharungi keadaan. Perkara bukan lama bagi kita, hanya berlalu setahun yang lepas. Berbeza dengan keadaan kita ini, boleh dikatakan hampir sifar tekanan luar yang kita hadapi. Tetapi kita sendiri yang mencipta ancaman dari dalam, kita memandang ringan hal-hal persatuan. Kita semakin kurang bersemangat untuk berpersatuan. Lihatlah apa yang berlaku kepada projek-projek PERMADAH dari segi sambutan, agak mengecewakan. Oleh itu, marilah kita bermuhasabah kembali, kita bawa kembali sahabat-sahabat kita yang hanyut kedalam persatuan semula. Kita cipta semula gelombang baru terhadap aktiviti persatuan di Universiti Malaya. Kita tidak mahu orang mengenali mahasiswa sebagai buih-buih dipantai.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dihormati.

Akhirnya, saya meletakkan harapan yang begitu tinggi agar kita dapat terus beriltizam dengan PERMADAH dan meningkatkan prestasi dalam mendukung persatuan dan perjuangan kita. Kejayaan yang kita harapkan tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan, kesungguhan dan keikhlasan dalam memperkemaskan gerak kerja. AGM pada kali ini hendaklah dijadikan medan untuk kita berusaha memperbaiki kekurangan yang berlaku dan melontarkan idea yang dapat kita aplikasi dalam PERMADAH ini. Janganlah kita menjadikan AGM ini sebagai tempat untuk berbalah dan berpecah belah. Marilah kita kuatkan persatuan, kekalkan muafakat. Oleh itu, saya mengharapkan AGM pada kali ini hendaklah ditumpukan dengan begitu serius untuk memastikan PERMADAH terus mengukir gemilang.

Sebelum itu, saya ingin mengambil kesempatan disini untuk sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Universiti Malaya kerana langkah menukar nama Kolej Kediaman Kedua UM kepada Kolej Tuanku Bahiyah ketika sesi saya memimpin PERMADAH.Semoga Allah S.W.T merestui kita dan meredhai apa yang kita laksanakan.

Sekadar itu ucapan saya pada kali ini. Sekian.
Wassalam.


Mohamad Azizuddin Md Daud
Presiden
Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH)
Universiti Malaya
Sesi 2006/2007

Tiada ulasan: