Ahad, 11 Mei 2008

BALKIS: PERALIHAN KUASA LEBIH WAJAR


Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) sepatutnya lebih meletakkan kepentingan rakyat Selangor daripada percaturan politik atau individu. Keputusan pembubaran Balkis adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku yang mengambarkan ketidakmatangan golongan-golongan elit tersebut sebagai pemimpin rakyat. Rakyat sememangnya terkejut dan tidak menjangka keadaan yang berlaku adalah sampai ke tahap yang diperlihatkan sekarang. Rakyat mungkin masih boleh menerima jika keadaan ini hanya berlaku dilingkungan JKKK atau organisasi-organisasi peringkat bawahan. Tetapi apa yang berlaku sedkit sebanyak menimbulkan anggapan negatif dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dalam memperjuangkan nasib dan hak mereka.

Rata-rata rakyat biasa berpandangan bahawa peralihan kuasa dalam Balkis adalah lebih wajar daripada pembubarannya. Peralihan kuasa lebih baik dan menguntungkan rakyat. Walaupun pembubaran tersebut dibolehkan dan diperuntukkan dalam perlembagaannya, juga tidak dinafikan ruang yang ada dalam perlembagaan tersebut membenarkan tindakan sedemikian, tetapi budi bicara boleh digunakan untuk mengelakkan langkah pembubaran diambil. Langkah pembubaran dilihat seolah-olah digunakan untuk melepaskan diri yang tersepit. Apa salahnya kalau peralihan kuasa dilakukan oleh YDP yang asal yang perlantikan berasaskan kepada isteri menteri besar kepada isteri menteri besar yang baru yang mendapat mandat rakyat. Pemimpin tidak wajar melakukan tindakan balas dendam di atas keputusan rakyat. Pemimpin sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dengan mengajak para penyokongnya menerima keputusan proses demokrasi dengan terbuka dan bermuhasabah di atas musibah yang menimpa mereka.

Bagi saya, masih banyak pilihan yang ada selain membubarkan badan amal tersebut. Kaedah budi bicara dan bukan emosi adalah yang terbaik dalam menentukan halatuju badan amal itu selepas keputusan PRU di umumkan. Contohi lah apa yang dilakukan oleh pimpinan Gerakan di Pulau Pinang, mereka menggunakan budi bicara yang waras dalam membuat keputusan dan seterusnya mengatur peralihan kuasa yang demokratik sejurus mengetahui keputusan PRU yang lepas. Pada pendapat saya, pendekatan Gerakan sangat hampir dengan Pakatan Rakyat. Sewajarnya Gerakan mengambil keputusan bersama dengan Pakatan Rakyat. Suara mereka akan lebih dihormati jika berada dalam landasan yang tepat dan betul. Saya menjangkakan Gerakan akan kembali bangkit pada PRU yang akan datang walaupun tidak keseluruhan jika sikap sebegini diteruskan. Manakala komponen BN yang lain seperti UMNO, MCA dan MIC terutamanya mereka akan kekal dalam keadaan sukar memperbaiki prestasi sedia ada.

Mengenai dana Balkis, ia sebenarnya adalah milik mutlak rakyat Selangor. Saya merasakan wujud perasaan terkilan dikalangan rakyat Selangor apabila dana yang dikhaskan untuk membantu dan membela nasib mereka sebelum ini dengan mudah sahaja disalurkan dan dilepaskan kepada pihak lain sedangkan mereka amat memerlukan dan mengharapkan dana tersebut untuk melalui keperitan dan kesukaran hidup di negeri maju tersebut. Apabila dana tersebut dilepaskan kepada pihak lain maka makin mengecillah peluang rakyat Selangor untuk merasa dana yang terhasil daripada undi mereka selama ini. Bayangkan bertahun-tahun, datuk nenek dan mereka mengundi dan terus mengundi, mengangkat seseorang yang dipercayai menjadi wakil rakyat mereka, merestui wakil rakyat tersebut menerima dan menguruskan peruntukan beratus ribu untuk membangunkan masa depan mereka, lalu dengan sebab undi mereka layaklah isteri wakil-wakil rakyat itu menyertai Balkis, maka mencarilah dana oleh Balkis atas nama kebajikan untuk rakyat Selangor, menjajalah Balkis bermodalkan rakyat Selangor dan mereka iaitu rakyat Selangor hanyalah mengharapkan perubahan dalam hidup mereka, tetapi tiba-tiba dana yang diperolehi atas sebab serta beralasankan rakyat Selangor dan bermodalkan rakyat Selangor disalurkan kepada pihak lain, tidakkah kecewanya rakyat Selangor, harapan menggunung selama ini runtuh berderai, menghancurkan dan menyesakkan. Tidakkah anda terfikir sebelum ini? Tidakkah anda merasa bersalah wahai pimpinan-pimpinan Balkis atas tindakan anda ini? Sepatutnya kebajikan rakyat Selangor harus diutamakan.

Tiada ulasan: