Keghairahan pelbagai pihak terutamanya media-media utama negara membesar-besarkan isu penghinaan ke atas Institusi Kesultanan secara keterlaluan dikhuatiri boleh menjejaskan kehormanian kaum dan masyarakat majmuk di negara ini. Sememangnya mempertikaikan kuasa Sultan secara terbuka adalah suatu yang tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak tetapi tindakan membesar-besarkan isu ini secara melampau sehingga berisiko tinggi menimbulkan suasana yang tegang dikalangan rakyat adalah sangat tidak wajar dan merbahaya.
Perkara ini timbul rentetan daripada arahan pertukaran serta merta Pengarah Jaip iaitu Datuk Jamry Sury yang dikatakan tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada kerajaan negeri sehingga menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri. Arahan pertukaran ini kemudiannya dititahkan ditarik balik oleh Baginda Sultan Perak kerana keputusan pertukaran yang dibuat tidak dirujuk dan membelakangi pihak istana yang bertanggungjawab dalam urusan Agama Islam. Atas titah yang sedemikian, Menteri Besar Perak , YAB Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin telah mengambil tindakan pantas dan bijak dengan memohon ampun dalam perkara tersebut. Tindakan YAB Menteri Besar ini telah menenangkan kembali hubungan kerajaan negeri dan istana.
Namun begitu YB Karpal Singh yang melihat perkara ini dari sudut berbeza mengambil langkah mempertikaikan tindakan Sultan Perak tersebut yang pada pandangan mencampuri urusan kerajaan negeri. Tindakan YB Karpal yang menjadi watak utama dalam isu tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dikalangan pemimpin negara terutamanya yang terdiri daripada Barisan Nasional yang sememangnya oposisi dengan YB Karpal.
Dalam pada itu, media-media utama berlumba-lumba memeksplotasikan isu ini dengan menyiarkan pandangan pemimpin-pemimpin pelbagai organisasi yang cukup sinis dan berisiko tinggi menimbulkan ketidakstabilan emosi antara kaum. Tindakan yang boleh dikategori sebagai perang media merupakan tindakan yang merbahaya kepada keharmonian kaum. Oleh itu, media perlu menghentikan penyiaran dengan nada yang seperti itu kerana ia boleh mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Kepentingan negara dan keharmonian kaum harus diutamakan dalam menangani keadaan yang sebegini.
Sepatutnya pemimpin negara menangani perkara ini dengan bijak, yang terlibat dalam perkara ini beberapa kerat sahaja. Jika tindakan mereka membolehkan tindakan undang-undang diambil, segerakan sahaja langkah tersebut supaya menjadi pengajaran kepada pihak-pihak lain. Begitu juga dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang merentangkan sepanduk mengandungi perkataan ‘natang’ yang tertera dalam peristiwa bantahan terhadap Istana Terengganu baru-baru ini ekoran masalah perlantikan MB Terengganu juga perlu diambil tindakan yang serupa. Kita berharap pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan iaitu Kerajaan Perseketuan yang diwakili oleh Peguam Negara tidak double standard dalam hal ini. Tindakan mengancam individu terbabit melalui media bukan tindakan yang bijak. Juga bukan tindakan bijak menggunakan media sebagai medan perlawanan antara kedua-dua pihak kerana bukanlah contoh terbaik kepada rakyat. Kerajaan juga perlu menunjukkan contoh terbaik dalam soal ketaatan kepada raja. Selain itu, kerajaan perlu menyuburkan perkara yang berkaitan dengan ketaatan kepada raja didalam jiwa rakyat supaya perkara yang berlaku sejak kebelakangan ini tidak berulang pada masa akan datang.
Semakan juga perlu dilakukan terhadap Perlembagaan Negara sekarang yang sering menimbulkan salah faham dan mudah dieksplotasikan. Dalam menghadapi zaman yang serba mencabar ini, kita memerlukan perlembagaan yang jelas yang tidak mudah dieksplotasikan dan diambil kesempatan oleh mana-mana pihak. Akta-akta lapuk yang membelakangkan hak asasi manusia perlu dikaji semula supaya setiap rakyat mempunyai ruang yang sama untuk hidup dengan damai di negara ini.
Dalam hal ini kita mengagumi tindakan pemimpin PAS terutamanya yang mengambil pendekatan yang cukup tenang dalam situasi ini. Mereka tidak dipengaruhi dan terperangkap oleh provokasi luar. Pendekatan meletakkan kepentingan negara dan keharmonian bermasyarakat harus dicontohi oleh oposisi mereka dan diambil perhatian oleh rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan