Sektor pertanian adalah tidak asing dengan rakyat kita. Malaysia bermula sebagai negara pertanian setelah mencapai kemerdekaan sebelum melangkah ke sektor-sektor lain. Bagi orang Melayu, pertanian merupakan identiti mereka suatu ketika dahulu. Mereka mempunyai kemahiran, kepakaran dan pengetahuan tertentu dalam bidang ini. Mereka juga mahir dalam penciptaan alatan untuk kerja-kerja pertanian ini. Kebolehan seperti ini akhirnya luput ditelan masa disebabkan tumpuan yang tidak seimbang terhadap sektor yang terhasil daripada perkembangan pemikiran dan teknologi seperti pentadbiran, perindustrian, pembinaan dan multimedia. Ini disebabkan kita terlalu teruja dengan perkembangan tersebut sehingga mengambil mudah terhadap sektor pertanian ini.
Begitu juga dengan kemasukan kaum-kaum lain ke Malaysia yang pada asasnya bertujuan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam bidang perladangan dan perlombongan yang juga merupakan sebahagian daripada elemen-elemen pertanian. Namun kini mereka juga telah bersama perkembangan dunia semasa dan mengambil bahagian meminggirkan sektor pertanian secara tidak langsung. Tujuan perkara ini dibangkitkan bukanlah bermaksud untuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana kaum, tetapi sekadar memperlihatkan apa yang berlaku. Walau apa-apa pun, sesuatu yang menarik yang boleh difikirkan dan direnung bersama ialah kemungkinan acuan sebenar penjajah terhadap Negara Malaysia ialah dalam sektor pertanian. Tetapi janganlah kita terlalu beremosi dalam soal ini sehingga melihat pertanian itu sebagai proksi penjajah.
Hari ini, dunia sedang dilanda krisis kekurangan sumber makanan disebabkan kurangnya pengeluaran hasil pertanian yang berteraskan makanan ini. Kekurangan sumber makanan ini meyebabkan Negara-negara yang sebelum ini menjadi pengeluar mengurangkan dan ada juga yang memberhentikan terus eksportnya. Tindakan ini secara berkadar langsungnya menyebabkan peningkatan harga makanan dunia. Akibatnya Negara kita yang kini menjadi antara Negara pengimport makanan turut merasai kesannya. Namun kita sedikit beruntung kerana kita tidak bergantung sepenuhnya terhadap import makanan dan masih mempunyai kawasan-kawasan pertanian yang diusahakan. Apa-apa pun kita tidak dapat mengelakkan diri daripada turut merasai sebahagian komponen kekurangan makanan ini iaitu kenaikan harga makanan yang semakin tinggi. Kenaikan harga barang ini nyata menyusahkan rakyat kebanyakan.
Walaupun apa-apa pun keadaan yang wujud ini seharusnya menjadi pengajaran dan menyedarkan kita tentang peranan dan kepentingan sebenar sektor pertanian terhadap pembangunan Negara khususnya. Peminggiran sektor pertanian bukanlah langkah bijak dalam mengejar pembangunan material. Realiti semasa memperlihatkan bahawa kita terlalu mengutamakan pembanguan bandar sehingga megorbankan tanah-tanah pertanian bagi tujuan memajukan kawasan tersebut untuk pembinaan taman-taman perumahan, kompleks-kompleks membeli belah, kawasan perindustrian dan pembukaan bandar-bandar baru terutamanya. Jika meneliti plan pembangunan sesuatu daerah terutamanya daerah dalam kategori maju, kita akan mendapati tanah yang pada asalnya adalah tanah pertanian dikorbankan untuk tujuan pembangunan seperti yang disebutkan tadi.
Dalam membincangkan soal peminggiran sektor pertanian daripada arus pembangunan Negara sebelum ini, kita perlu melihat kepada faktor-faktor yang meyebabkan perkara ini berlaku. Persoalan pertama yang timbul ialah pertanian ini dipinggirkan atau terpinggir. Merenung kembali tumpuan kerajaan sebelum ini nyata lebih mengutamakan sektor perindustrian. Tidak dapat dinafikan peranan yang dimainkan oleh sektor perindustrian dalam membangun dan memajukan menunjukkan hasil yang cukup baik dan hebat. Tetapi tidak seharusnya dan tidak wajar sektor pertanian tidak diberi tumpuan yang seimbang. Akibat daripada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini, kita sekarang menghadapi krisis makanan yang membimbangkan. Walaupun sektor perindustrian dan sektor-sektor yang lain memberi keuntungan dari sudut kewangan yang banyak tetapi kekayaan tersebut tidak dapat membawa apa-apa makna akibat tindakan negara-negara pengeluar yang mengurangkan dan memberhentikan eksportnya.
Bagi rakyat pula, mereka memandang sepi terhadap sektor pertanian kerana terpengaruh, terpaksa dan dipaksa mengikut rentak perkembangan dunia semasa yang membentuk pemikiran mementingkan soal kekayaan yang cepat dan pantas. Pemupukan minda sebegini sememangnya mengelamkan pertanian dalam persaingan semasa kerana pertanian tidak dapat memberi keuntungan dan kekayaan dalam jangka masa yang pendek. Mustahil tanaman akan mengeluarkan hasilnya dalam masa beberapa hari, begitu juga dengan ternakan dapat membiak dalam masa beberapa hari. Tetapi hakikat sebenar yang harus diterapkan dalam minda rakyat ialah pertanian meyumbang kepada keperluan hidup. Tanpa sektor pertanian manusia tidak dapat meneruskan kehidupannya. Allah S.W.T telah menciptakan dan mengandingkan pertanian sebagai keperluan hidup manusia. Oleh itu, pertanian menjadi penting dalam hidup manusia.
Selain itu, kewujudan syarikat gergasi tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap sektor pertanian kerana ia bukanlah polisi dan teras kepada syarikat. Syarikat-syarikat gergasi ini boleh dikatakan kesemuanya adalah beteraskan perindustrian, pembinaan dan perniagaan. Mereka tidak mengambil bahagian dalam membangunkan dan memajukan bidang pertanian ini. Seharusnya kerajaan menggalakkan dan kalau boleh mewajibkan syarikat-syarikat gergasi yang rata-ratanya ekonomi dan kewangan berkeadaan kukuh ini melaksanakan salah satu daripada cabang pertanian sebagai langkah memelihara dan meyuburkan sektor pertanian.
Dalam memastikan suasana pada hari ini dapat diatasi dan tidak berulang pada masa akan datang, kerajaan harus mengorak langkah proaktif dengan memperkasakan. mengutamakan dan memperluaskan perlaksanaan pertanian berasakan makanan yang menjadi keperluan penduduk Negara ini. Apa yang berlaku hari ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita untuk melaksanakan cadangan ini. Mahukah kita perkara yang seperti yang berlaku pada hari ini terus menghimpit dan menekan kita setiap masa padahal kita mampu mengatasinya. Oleh itu, pertanian berasaskan makanan perlu dilaksanakan dan diperkasakan sehingga benar-benar memenuhi keperluan rakyat di Negara ini. Kewangan yang banyak tidak dapat menjamin perolehan sumber makanan seperti yang berlaku pada hari ini. Duit ada tetapi tidak dapat membeli kerana kehabisan stok. Kuasa membeli tidak memberi apa-apa makna jika tiada barang yang hendak dibeli.
Perlu disedari pertanian berasaskan makanan adalah suatu keperluan yang mendesak bagi Negara kita. Malaysia harus menjamin keperluan makanan rakyat sentiasa mencukupi. Pengantungan terhadap import makanan bukanlah sesuatu langkah yang terbaik dan menguntungkan Negara. Malaysia harus mempunyai kawasan dan sistem pertanian yang tersendiri dan berkualiti yang memenuhi pengeluaran makanan. Oleh itu, merupakan suatu keperluan untuk membentuk dan mewujudkan zon-zon pertanian berasaskan makanan ini dengan memilih dan memfokuskan kepada daerah-daerah tertentu yang sesuai. Ketetapan sesuatu daerah tersebut itu sebagai zon pertanian tidak seharusnya mudah ditukar statusnya kepada fokus yang lain bagi menjamin pengeluaran makanan yang tetap dan memenuhi keperluan.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, sistem perladangan adalah paling sesuai untuk dilaksanakan pada masa sekarang. Selain memudahkan pengurusan dan menjimatkan kos pengendalian, ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat membangunkan ekonomi hidup.
Selain itu, bagi tanah-tanah pertanian dikawasan-kawasan pembangunan yang diambil untuk dibangunkan dengan pelbagai tujuan yang lain ia harus diganti segera bagi menjamin pengekalan keluasan kawasan pertanian. Begitu juga dengan tanah-tanah terbiar harus dibangunkan dengan melaksanakan apa-apa jua perkara yang berkaitan dengan sektor pertanian.
Kesimpulannya, sektor pertanian merupakan keperluan kepada manusia. Banyak perkara disekeliling hidup manusia datangnya daripada sektor pertanian. Bidang ini juga berpotensi besar dalam kemajuan ekonomi meskipun pencapaiannya mengambil masa yang lebih lama daripada sektor-sektor lain. Walau apa-apa pun pemerkasaan pertanian sebagai industri harus digerakkan dengan tertib yang betul dan berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan