Ahad, 25 Mei 2008

BUKAN MENANG-MENANG TETAPI GAGAL


Secara peribadinya, saya menyanggah kenyataan pihak tertentu yang menganggap keputusan ICJ mengenai Kes Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura adalah situasi menang-menang. Bagi saya, kita gagal dalam proses mengembalikan semula penguasaan Pulau Batu Puteh menjadi milik Negara. Jika pulau tersebut sememangnya bukan milik sesiapa, barulah keputusan hasil daripada persaingan itu boleh dikatakan situasi menang-menang. Tetapi ini jelas seperti yang diiktiraf oleh ICJ, Pulau Batu Puteh adalah milik asal Kesultanan Johor. Oleh itu apa yang berlaku ialah kita gagal mengembalikan semula pulau berkenaan kepada keadaan asalnya iaitu milik Negara.

Walaupun kita berjaya memperolehi semula Middle Rock, tetapi hakikatnya Middle Rock memang milik kita. Kita tidak boleh mendabik dada dalam soal itu bahawa kita menang kerana kemenangan itu hadir jika memperolehi semula ketiga-tiga pulau yang dimaksudkan termasuklah South Ledge. Jika terlepas walau satu pulau bermakna kita gagal.

Pemimpin dan rakyat harus berani dan jujur menerima kegagalan ini tanpa banyak dalih atau kenyataan yang menyedapkan hati. Mereka yang terlibat dalam pasukan kes ini adalah pejuang Negara atau jika boleh disamakan dengan seseorang pemain atau sesebuah pasukan yang mewakili Malaysia dalam sesuatu bidang sukan. Semestinya mereka berjuang untuk memenangi kejohanan atau pertandingan tersebut. Lumrahnya jika menang akan dijulang dan jika kalah akan dihentam. Tetapi dalam kes Pulau Batu Puteh ini, apakah tindakan yang sewajarnya ke atas ahli pasukan Malaysia ini? Adakah kita perlu melayan mereka seperti mana yang kita selalu lakukan ke atas atlet atau pemain Malaysia? Atau pendekatannya berubah disebabkan mereka adalah golongan yang boleh dikatakan elit dan berpendidikan tinggi? Fikir-fikirkanlah.

Jika atlet atau pemain Malaysia mengalami kekalahan dalam sesuatu bidang sukan, macam-macam pandangan negatif dilontarkan terutamanya oleh pemimpin kepada mereka. Tetapi sekarang giliran pasukan pemimpin pula yang gagal memenangi dalam kes Pulau Batu Puteh. Oleh itu, apa komen rakyat pula? Jadi sama-samalah ingat-mengingati, tak selalunya kita boleh mendabik dada dan sekadar lagak sahaja.

Apa-apa pun kes Pulau Batu Puteh telah memberi impak yang besar kepada kita dari pelbagai sudut. Hak kita yang perlu dipertahankan telah terlepas bukan setahun dua tetapi buat selama-lamanya. Yang tinggal hanyalah catatan sejarah yang boleh ditatap, dibaca dan yang paling penting diambil pengajaran oleh semua pihak.

Tiada ulasan: