Ahad, 25 Mei 2008

TERLEPASNYA PULAU BATU PUTEH


Rakyat Malaysia perlu berasa kecewa dan sedih apabila satu lagi wilayah Malaysia iaitu Pulau Batu Puteh telah terlepas dari penguasaan Negara. Pulau yang selama ini menjadi milik kita tiba-tiba terlepas kepada pihak lain disebabkan kecuaian dan kelemahan kita. Walaupun keluasannya hanya separuh padang bola sepak, tetapi yang menjadi isunya adalah soal maruah dan kedaulatan. Keputusan undian hakim 12-4 yang memberi majoriti besar kepada Singapura amat mengejutkan kita. Hanya empat hakim sahaja yang menyebelahi Malaysia. Sememangnya tidak disangka Malaysia akan menerima tamparan sebegitu.

Surat pemangku setiausaha Kerajaan Johor nyata memberi kelebihan yang besar kepada Singapura. Surat tersebut nyata mematikan hujah-hujah Malaysia untuk mengembalikan kedaulatan pulau tersebut kepada Malaysia. Walaupun ICJ mengiktiraf Pulau Batu Puteh adalah milik asal wilayah Johor, tetapi ia telah tinggal sejarah kerana sekarang ia telah menjadi milik Singapura. Pengiktirafan tersebut hanyalah boleh dicatat sebagai sejarah sahaja.

Kita tidak hairan jika Pulau Batu Puteh dikembalikan semula kepada Malaysia secara rasmi kerana ia sememangnya hak kita, tetapi kita semestinya kecewa apabila ia terlepas ke tangan Singapura. Begitu juga Middle Rock yang kita menangi, memang patut kita perolehinya semula kerana ia sememangnya milik kita. Apa yang berlaku adalah kita gagal mengembalikan semula hak milik negara kita.

Walaubagaimanapun, keputusan telah dibuat dan kita terpaksa menerima keputusan tersebut dengan perasaan yang pelbagai kerana telah ditetapkan bahawa keputusan ICJ adalah muktamad. Jika tidak sudah pasti kita akan membantah secara terang-terangan. Sebagai rakyat Malaysia yang tulen dan prihatin, kita harus menerima keputusan tersebut dengan nada yang tidak berpuas hati dan menunjukkan bantahan peribadi. Ini adalah sebagai isyarat kepada dunia bahawa jangan ambil mudah sebarang isu yang berkaitan dengan Malaysia selepas ini.

Bagi pihak kita, seharusnya apa yang berlaku menjadi pengajaran yang berguna kepada kita. Rakyat dan kerajaan Malaysia harus menyedari kepentingan menghalusi keputusan dan tindakan yang dibuat dalam memelihara kedaulatan Negara. Untuk itu, beberapa perkara dibangkitkan disini untuk perhatian pelbagai pihak:
  1. Jangan biarkan rakyat asing memeliki sebarang wilayah atau tanah kita, kelak mereka akan menguasainya secara mutlak. Peliharalah tanah-tanah kita, jangan mudah menggadaikannya atau menjualkannya kepada pihak asing walaupun atas apa tujuan sekalipun.
  2. Pastikan pulau-pulau yang masih ada dimasukkan segera ke dalam wilayah Malaysia secara rasmi. Jangan biarkan begitu sahaja kerana istilah ‘tak bertuan ada dalam peruntukan ICJ’.
  3. Laksanakan apa-apa kegiatan atau tindakan yang menunjukkan penguasaan Malaysia ke atas pulau-pulau yang berkaitan terutamanya yang terletak disempadan seperti meletakkan bendera Malaysia, membina rumah api, menempatkan pos kawalan atau memajukan sebagai kawasan istirehat nelayan.
  4. Memastikan kawalan dan rondaan tentera laut atau jabatan laut merangkumi ke wilayah-wilayah dibawah penguasaan Malaysia dengan lebih kerap. Jangan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara.
  5. Wujudkan unit khusus seperti Pasukan Laut Malaysia yang berperanan menjaga pulau-pulau, perairan, sempadan, khazanah dan sebagainya di laut. Unit ini juga harus diberi kuasa seperti Polis yang membolehkan mereka mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi pihak Singapura pula, kemenangan tersebut telah memberi banyak kelebihan kepada mereka secara semulajadi. Yang paling utama, mereka mendapat tambahan wilayah secara rasmi dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak selepas ini. Kemenangan itu juga meluaskan pengairan mereka sehingga 64 km. Dari sudut ini mereka akan dapat memenuhi impian mereka selama ini, iaitu dalam soal penambakkan laut bagi tujuan perluasan daratan.

Dalam soal penetapan sempadan pengairan Malaysia dan Singapura, mungkin akan menjadi sedikit pelik kerana Middle Rock yang dimenangi oleh Malaysia dengan undian 15-1 terletak agak selatan sejauh 0.96 km dari Pulau Batu Puteh. Terbayang sempadan yang separuh melengkung yang akan wujud hasil keputusan tersebut.

Mengenai South Ledge yang masih belum diputuskan, kedua-dua Negara mempunyai peluang yang sama rata untuk mendapatkannya kerana ia akan diputuskan hasil daripada penetapan sempadan pengairan kedua-dua negara. Secara kasarnya, South Ledge terletak agak selatan dari Middle Rock. Apa-apa pun kita berdoa dan berharap South Ledge akan menjadi milik kita.

Tiada ulasan: