Ahad, 11 Mei 2008

SELANGOR OH SELANGOR


Antara lima negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, Negeri Selangor lah yang paling mendapat tumpuan ekoran pelbagai isu yang ditimbulkan. Sejak keputusan PRU 12 yang penuh kejutan diumumkan, isu-isu setempat silih berganti ditimbulkan sebagai cabaran dan ujian kepada Kerajaan Negeri Selangor yang baru. Boleh dikatakan Negeri Selangor tidak dapat berehat daripada isu-isu yang ditimbulkan. Selepas isu air percuma dan isu babi dipolemikkan, kini giliran Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (BALKIS) pula mengampil tempat menjadi bahan perbincangan rakyat. Kalau sebelum ini Datuk Seri Mohd Khir Toyo dilihat cuba untuk menyesuaikan diri sebagai ketua pembangkang di Selangor, kini giliran isteri beliau pula, Datin Seri Zaharah Kechik mendapatkan perhatian umum khasnya rakyat Selangor.

Dalam isu-isu sebelum ini bekas Menteri Besar Selangor itu yang paling menonjol dan menjadi karektor utama dalam menyuarakan apa saja yang berkaitan dengan isu-isu tersebut. Beliau juga ada menyuarakan hasratnya untuk menghantar bil-bil air kepunyaan rakyat kepada Kerajaan Negeri Selangor yang baru sebagai menuntut janji air percuma dalam manifesto PRU yang lepas. ‘Baguslah kalau beliau ingin melakukan khidmat bakti tersebut dengan ikhlas kerana ia sekaligus memudahkan urusan Kerajaan Negeri Selangor. Lepas ni tak perlu lah kerajaan atau Syabas ambil pekerja baru untuk pungut bil, serahkan saja kepada beliau. Ini menepati konsep jimat cermat Pakatan Rakyat dalam menguruskan kerajaan yang diperintah.’

Begitu juga dengan isu babi, beliau sekali lagi berjaya memainkan peranannya sebagai ketua pembangkang Negeri Selangor dengan baik. Beliau begitu prihatin sekali terhadap rakyat setelah menjadi ketua pembangkang. Kejayaan beliau memainkan peranan tersebut menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau amat sesuai dan cocok sebagai ketua pembangkang daripada menteri besar. Perubahan rakyat Selangor dalam PRU yang lepas yang meletakkan beliau di kedudukan sekarang adalah tepat. Mungkin sepatutnya dari dahulu lagi rakyat Selangor berbuat sedemikian. Tetapi apa-apa pun perubahan tersebut tak terlambat. Diharapkan pada PRU yang akan datang rakyat Selangor dapat mengekalkan beliau sebagai ketua pembangkang. Jangan mempertaruhkan masa depan anda meletakkan beliau sebagai Menteri Besar kerana kedudukan sebagi ketua pembangkang lebih sesuai bagi beliau dan diharapkan beliau dapat menggunakan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya. Selamat maju kepada Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Apa-apa pun tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang baru yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim kerana berjaya menangani isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang negeri. Semoga pelbagai isu yang mungkin akan timbul selepas ini dapat juga dihadapi dengan cara yang terbaik. Selamat maju jaya juga kepada Tan Sri Khalib Ibrahim.

Tiada ulasan: