Ahad, 11 Mei 2008

BOLA SEPAK KEDAH MENGUKIR GEMILANG


Kedah sememangnya merupakan antara kuasa bola sepak di Malaysia. Kehebatannya sentiasa digeruni dan dipandang tinggi oleh pasukan lawan. Pada tahun lepas Kedah sekali lagi mencipta sejarah tersendiri dengan menggondol tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Kejayaan tersebut merupakan pencapaian tertinggi dalam semusim bagi pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia yang mengatasi pencapaian pasukan Selangor sebelum ini.

Kejayaan tersebut diteruskan lagi pada musim apabila lebih awal mengesahkan mempertahankan kejuaraan dalam saingan Liga Super baru-baru ini. Kejayaan terbaru ini disusuli pula dengan kejayaan satu lagi pasukan dari Kedah yang berstatus kelab iaitu Kuala Muda Naza yang merangkul kejuaraan bagi peringkat Liga Perdana pada musim pertamanya dalam liga tersebut. Tahniah buat kedua-dua pasukan dari Kedah ini. Kejayaan ini mengambarkan dominasi pasukan-pasukan Kedah dalam Liga Malaysia pada musim ini.

Apa yang dicapai oleh pasukan bola sepak Kedah pada hari ini diyakini hasil daripada perancangan yang baik dan usaha keras yang bersungguh-sungguh daripada pihak pengurusan pasukan yang ingin melihat bola sepak Kedah kembali dimartabatkan. Bola sepak Kedah pernah mengalami zaman suramnya dan kini di atas landasan yang tepat untuk terus merangkul kejayaan yang gemilang.

Program pembangunan bola sepak Kedah yang telah menunjukkan hasilnya ini pastinya dicemburui oleh pasukan-pasukan lain. Pelaburan yang sabar dengan memberi penekanan daripada peringkat akar umbi nyata tidak sia-sia apabila Kedah berjaya membentuk pemain-pemain muda yang berkualiti dan berbakat besar. Tidak mustahil Kedah akan menjadi kilang mengeluarkan pemain-pemain berbakat seperti Brazil suatu hari nanti.

Kejayaan hari ini harus dilihat daripada keprihatinan dan sokongan yang penuh bermakna daripada peminat no. 1 iaitu Sultan Kedah. Masih lagi diingati bagaimana kesanggupan baginda berjalan kaki hampir 2 km untuk menyaksikan dan memberi sokongan kepada pasukan Kedah dalam Final Piala FA musim lalu. Minat baginda kepada sukan bola sepak ini mencetus motivasi dan semangat kepada pasukan bola negeri dan rakyat Kedah untuk turut sama bukan sahaja berkongsi minat tetapi bersama-sama merealisasi apa yang diharapkan baginda.

Perkembangan bola sepak di negeri ini tidak dapat menafikan sumbangan yang besar tokoh bola sepak Kedah iaitu Dato’ Ahmad Basri Akil dalam membangunkan program pembangunan yang ada pada hari yang membuahkan hasil yang cukup berjaya dan bergaya. Idea dan pandangan beliau terhadap pembangunan bola sepak di negara ini nyata relevan dan realistik. Walaupun beliau tidak digemari diperingkat nasional tetapi jasanya terhadap bola sepak khasnya kepada pasukan Kedah cukup besar dan amat bermakna.

Selain itu, kejayaan pasukan juga hasil daripada sokongan yang kuat dan tak berbelah bahagi daripada seluruh peminat dan rakyat Negeri Kedah yang sentiasa memenuhi stadium kebanggaan iaitu Stadium Darul Aman. Pengorbanan dan sokongan peminat hanyalah mengharapkan kejayaan yang berterusan daripada pasukan kesayangan ini.

Kepada pemain-pemain yang membarisi skuad bola sepak Kedah diharapkan anda terus bermain dengan sejiwa murni. Slogan keramat ‘biar jasa jadi kenangan’ harus disemat di dalam dada setiap pemain dan pengurusan. Kepada pemain yang berasal dari Kedah yang bermain untuk negeri-negeri lain diharapkan anda akan kembali menabur bakti terhadap perkembangan bola sepak Kedah melalui kelab-kelab yang berasal dari Kedah terutamanya Kuala Muda Naza.

Akhirnya, semoga bola sepak Kedah akan terus mengukir gemilang pada masa kini dan akan datang. Diharapkan akan dapat mengekalkan Piala FA dan Piala Malaysia di bumi Hijau Kuning ini.

Tiada ulasan: