Ahad, 11 Mei 2008

ISU NEGERI PERAK: MOHON MAAF SIFAT TERPUJI


Pengarahan pertukaran serta merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah menimbulkan kemelut sementara dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak yang diterajui Pakatan Rakyat. Berikutan itu Sultan Azlan Shah telah menitahkan Menteri Besar supaya menarik balik serta merta arahan pertukaran tersebut yang dianggap membelakangi Sultan Perak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Arahan pertukaran tersebut dikeluarkan disebabkan kesukaran untuk bekerjasama antara Datuk Jamry Sury dengan pentadbiran baru Negeri Perak. Datuk Jamry Sury telah dilantik ke jawatan tersebut secara pinjaman dari jabatan asalnya sejak tahun 2004 iaitu ketika Kerajaan Negeri Perak diperintah oleh Barisan Nasional.

Ekoran daripada titah Sultan Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar dalam kenyataannya kepada media beberapa hari lepas mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin bagi menyerahkan watikah memohon ampun atas tindakan pertukaran serta merta tersebut.

Permohanan ampun dari MB Perak ini mengambarkan sikap terpuji seorang pemimpin tertinggi peringkat negeri yang harus diteladani oleh semua pihak. Ditambah lagi perkara ini diperbesar-besar oleh pelbagai pihak yang nyata sedikit sebanyak menjejaskan imej beliau sebagai MB. Tetapi tindakan beliau mengakui kesilapan yang dilakukan kepada umum menjelaskan keperibadian mulia yang ada pada diri beliau dan sekaligus menaikan semula imej beliau dimata rakyat. Sikap pemimpin yang sebeginilah yang rakyat mahukan. Seorang pemimpin yang berani dan jujur walaupun dalam mengakui kesilapan. Rakyat Negeri Perak harus rasa bertuah mempunyai seorang MB yang sebegini yang boleh menjadi contoh kepada segenap lapisan rakyat. Ucapan tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana melahirkan seorang lagi Menteri Besar yang boleh dicontohi. Juga ucapan tahniah kepada rakyat Negeri Perak yang bijak memilih dalam pilihanraya yang lepas sehingga lahirnya seorang Menteri Besar yang terbaik.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada setiap rakyat Negeri Perak mengekalkan dan menyokong pentadbiran yang baik yang diterajui oleh Menteri Besar yang sebegini, khasnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Agak malang jika rakyat Negeri Perak melepaskan peluang mempunyai Menteri Besar seperti ini yang mempunyai keperibadian yang baik. Syabas Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dan juga kepada pemimpin politik yang lain. Sejarah telah dicipta oleh beliau, pastinya ia akan dikenang.

Kepada Datuk Jamry Sury, diharapkan dapat menggunakan peluang kedua yang diberikan oleh Baginda Sultan Perak dengan menjalankan tugas dan amanah rakyat secara profesional. Walaupun mempunyai pendirian politik yang berbeza, tetapi tiada kompromi dalam melaksanakan amanah yang datang daripada rakyat. Oleh itu pentingnya sikap profesional dalam menangani dan menguasai situasi sebegini. Semoga sikap yang ditonjolkan oleh Menteri Besar Perak tersebut dapat dijadikan yang baik. Semoga pentadbiran Negeri Perak sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah S.W.T daripada segala bencana dan pihak-pihak songsang.

Tiada ulasan: